Rabu, 9 September 2015 | 12:04am
PRESIDEN Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Anis Yusal Yusoff turut tampil di pentas puisi pada majlis itu. - Foto Aziah Azmee
PRESIDEN Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Anis Yusal Yusoff turut tampil di pentas puisi pada majlis itu. - Foto Aziah Azmee

Puisi Merdeka padat semangat cintakan negara

KUMPULAN Fazleena and The Lasykar mendendangkan lagu berjudul Aman pada Malam Puisi: Integriti Inspirasi Merdeka di Auditorium Integriti, IIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee
KUMPULAN Fazleena and The Lasykar mendendangkan lagu berjudul Aman pada Malam Puisi: Integriti Inspirasi Merdeka di Auditorium Integriti, IIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

PATRIOTISME tidak semestinya dilaungkan dalam ungkapan yang keras dan bernada tinggi, sebaliknya boleh disampaikan secara puitis dan tenang serta dibawa dengan gaya persembahan santai.

Ia jelas menjelma pada Malam Puisi: Integriti Inspirasi Merdeka di Auditorium Integriti, Institut Integriti Malaysia (IIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini jelas terasa apabila sebahagian penyair dan deklamator memilih gaya penyampaian santai dalam memberi makna dan nilai kebebasan.

Acara anjuran IIM dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), bertujuan menggalakkan pengamalan integriti dan menyemarakkan patriotisme melalui seni puisi dalam masyarakat.

Hampir enam dekad menyusuri merdeka membuatkan sebahagian anak bangsa alpa dengan keamanan yang dikecapi sehingga memandang remeh terhadap apa yang mereka nikmati.

Hal itu itu disampaikan dengan gaya persembahan sarat kreativiti oleh deklamator, Amran Ibrahim Rahidi yang mengenakan jubah serba hitam dan membawa lampu sambil bertongkat ketika mempersembahkan sajak Manuskrip Bangsa Merdeka.

Dengan ampuh kesedaran

segera kita padamkan api sesal dalam sekam

kita patahkan gunting hasutan dalam lipatan

kita tanggalkan topeng segala kepuraan

Kembalilah kita nyalakan kandil hakiki

menyuluh arah haluan yang murni

dengan tekad jalinan perpaduan suci

menggilap kemilau permata sejati.

SEBAHAGIAN penyair yang hadir menampilkan gaya santai dan tersendiri, Lin Haslinaz, Shamsudin Othman, Khalid Salleh, Roslan Madun dan Amran Ibrahim Rahidi.
SEBAHAGIAN penyair yang hadir menampilkan gaya santai dan tersendiri, Lin Haslinaz, Shamsudin Othman, Khalid Salleh, Roslan Madun dan Amran Ibrahim Rahidi.

Kemunculan seniman serba boleh, Khalid Salleh dengan puisinya Makna Perempuan dan Kalau Aku Jadi PM terus membuatkan suasana acara senyap seketika dengan lontaran suaranya yang padu.

Khalayak penonton turut dibuai dengan suara deklamator wanita, Lin Haslinaz dalam puisi khusus untuk generasi muda yang menghargai perjuangan kemerdekaan bertajuk Ikrar Dari Anak Pasca Merdeka.

Anak-anak pasca merdeka,

mari kita bentangkan kembali

tikar perpaduan yang telah mereka anyam dahulu

agar tidak hilang jejak-jejak bakti

agar tidak timbul warna-warna kesal di kemudian hari

agar tidak basah bermandi air mata darah lagi

agar masih merimbun hijau Malaysiaku

tanah tumpah, darahku!

Gelanggang turut dimeriahkan dengan deklamasi puisi oleh Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad yang mencuri perhatian ramai menerusi sajak berjudul Berpada-pada mengenai sikap sesetengah manusia yang gemar mengambil kesempatan terutama terhadap golongan bawahan.

Jika kau pinta darah kami untuk menyambung nyawamu

ambillah sekadar yang perlu untuk mengganti darahmu yang hilang

tapi jangan kau sedut seluruh darah dari saraf kami

sehingga yang tinggal hanya tulang-belulang

sampai kami tak bermaya untuk membuka mata

kami tak meminta kau memberikan seluruh pengorbananmu kepada kami

kami tidak meminta apa-apa milikmu

tapi yang kami minta hanyalah kefahaman

kau perlu berpada-pada.

Acara yang dikendalikan Pengerusi Tetap PENA, Ibrahim Ghaffar itu turut menyaksikan Presiden IIM, Dr Anis Yusal Yusoff; Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Shamsudin Othman dan dua mantan juara sayembara deklamasi kebangsaan iaitu Mohamad Tarmizi Kassim dan Ahmad Shukri Abdullah tampil di pentas puisi.

Malam puisi apresiasi kemerdekaan yang berlangsung lebih dua jam itu juga dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan Kopratasa yang mendendangkan lagu popular mereka, iaitu Masihkah Kau Ingat dan Permata Untuk Isteri.

Khalayak turut dihiburkan oleh penyanyi lagu rakyat, Roslan Madun dan Kumpulan Fazleena and The Lasykar yang mendendangkan lagu berjudul Aman pada acara yang turut dihadiri oleh Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Johan Jaaffar dan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah.

Berita Harian X