Ahad, 6 September 2015 | 12:09am
MONYET proboscis yang terdapat di Taman Negara Bako. - Foto Saifullizan Tamadi
MONYET proboscis yang terdapat di Taman Negara Bako. - Foto Saifullizan Tamadi

Taman Negara Bako simpan hampir semua spesis tumbuhan Borneo

TAMAN Negara Bako terletak kira-kira 37km dari Bandar Raya Kuching. - Foto Saifullizan Tamadi
TAMAN Negara Bako terletak kira-kira 37km dari Bandar Raya Kuching. - Foto Saifullizan Tamadi

SEKIRANYA anda antara kumpulan pengembara yang menyukai alam semula jadi, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Taman Negara Bako (TNB) di Sarawak yang hanya terletak kira-kira 37 kilometer dari Bandar Raya Kuching.

Biarpun TNB didakwa sebagai taman negara terkecil di Asia Tenggara, namun ia adalah yang tertua di Sarawak selain dikatakan paling unik kerana menyimpan hampir semua spesis tumbuhan Borneo.

Sudah banyak kali penulis berkunjung ke TNB bermula tahun 1980an dan baru-baru ini, sekali lagi datang taman negara terbabit yang diwujudkan pada tahun 1957.

Kunjungan dua hari ke kawasan seluas 27 kilometer persegi yang terkenal dengan pemandangan semula jadi yang menakjubkan itu, cukup menyeronokkan.

Sebelum kunjungan itu, penulis berbual dan bertanya beberapa perkara mengenai taman negara itu dengan bekas Renjer Taman Negara Saifuddin Senawi, 55, yang pernah bertugas selama lima tahun di kawasan terbabit bermula jam 1985.

Katanya, apa yang menarik di TNB berbanding tempat lain ialah hampir semua jenis tumbuhan yang terdapat di Borneo boleh ditemui di taman negara itu.

Beliau berkata, di TNB pengunjung boleh melihat pelbagai jenis haiwan liar seperti babi hutan yang bertaring, monyet proboscis atau (orang belanda berhidung besar yang hanya terdapat di Borneo), 150 spesis burung dan haiwan kecil seperti sang kancil.

"Keunikan lain yang paling ketara di TNB berbanding taman negara lain di dunia ialah ia mempunyai tujuh jenis hutan dalam sebuah taman iaitu hutan pantai, paya, bakau, bukit, kerangas, gunung dan hutan batu kapur.

"Terdapat 16 laluan hutan berkod warna yang menawarkan pelbagai pilihan untuk berjalan kaki dan mendaki, jadi pengunjung boleh memilih trek berdasarkan keupayaan atau masa yang yang ada. Pengunjung bukan saja akan berpeluang melihat malah memijak kawasan laut, pantai, paya bakau, bukit, air terjun dan gunung," katanya.

HAKISAN pada batu pasir di taman ini mencipta satu pantai tebing curam, tanjung berbatu dan teluk berpasir. - Foto Saifullizan Tamadi
HAKISAN pada batu pasir di taman ini mencipta satu pantai tebing curam, tanjung berbatu dan teluk berpasir. - Foto Saifullizan Tamadi

Kawasan terlindung, terpencil

Bagi penulis, TNB memang menarik kerana kawasan itu terlindung dan terpencil, manakala tanjung tinggi berbatu dengan cerun curam menghasilkan pemandangan mengagumkan kerana menghadap Laut China Selatan.

Hakisan pada batu pasir di taman itu mencipta satu pantai tebing curam, tanjung berbatu dan teluk berpasir. Hakisan ombak di kaki tebing pula mengukir banyak tanjung berbatu yang berbentuk menarik dan 'sea stacks' dengan corak berwarna dibentuk oleh pemendapan besi.

Sebahagian daripada pembentukan batu dapat dilihat pada Pantai Teluk Assam.

Masa terbaik untuk melihat hidupan liar di Bako adalah selepas waktu subuh dan sebelum senja, ketika haiwan sedang aktif.

Tempat terbaik kaji burung

Berdasarkan pengalaman terbaru itu, penulis percaya TNB adalah tempat yang menarik untuk mengkaji burung, ekoran hampir 150 spesis burung sudah direkodkan di situ.

Kita hanya akan dapat sampai ke TNB selepas menumpang bot kecil selama 30 minit dari jeti terminal nelayan di Kampung Bako.

JETI terminal nelayan di Kampung Bako. - Foto Saifullizan Tamadi
JETI terminal nelayan di Kampung Bako. - Foto Saifullizan Tamadi

Terminal yang dibina pada tahun 2005 dengan kos RM1.38 juta itu mempunyai ruang menyambut tetamu, kedai cenderamata, kafeteria, ruang menunggu, tempat letak kenderaan dan tandas awam.

Sejurus tiba di terminal, anda perlu terus ke kaunter untuk membuat pendaftaran dan bayaran Permit Taman Negara RM10 dan RM20 jika warga asing.

Selepas itu, anda hendaklah ke kaunter bot untuk membuat bayaran bot sehala RM15 seorang. Setiap bot boleh membawa 6 hingga 8 penumpang.

Sebelum berlepas semua pengunjung akan diberi taklimat mengenai keselamatan dan cara mengguna pelbagai peralatan keselamatan yang disediakan.

PERJALANAN ke Taman Negara Bako dengan menaiki bot. - Foto Saifullizan Tamadi
PERJALANAN ke Taman Negara Bako dengan menaiki bot. - Foto Saifullizan Tamadi

Ringkasan Perbelanjaan Trip Taman Negara Bako

1. Tiket Bas No 6 Bako dari pusat bandar raya Kuching ke Terminal Taman Negara Bako > RM3.50 sehala

2. Permit Taman Negara > RM10 ( pengunjung tempatan) dan RM20 ( pelancong asing)

3. Bot Jeti Kampung Bako ke Taman Negara Bako > RM15 sehala

4. Bot ke Batu Landmark Bako > RM35 sebuah bot

Tips Dan Petua

1. Bekalan air yang mencukupi

2. Bekalan roti buat alas perut

3. Payung (sekiranya cuaca panas)

4. Baju Hujan (persediaan apabila hujan pada bila-bila masa)

5. Pakai kasut sukan atau trekking yang sesuai dan selesa

6. Baju dan seluar tambahan jika bercadang mandi laut atau air terjun.

7. Beg berzip dan kedap air untuk menjamin gajet dan telefon bimbit kekal kering.

Peringatan

1. Bas paling awal ke Bako bermula jam 7 pagi

2. Bas terakhir dari Bako jam 5 petang

3. Bas terakhir dari Taman Negara Bako jam 4 petang.

Waktu Operasi Pejabat:

* Sabtu, Ahad : Tutup

* Isnin - Jumaat : 8 pagi hingga jam 5 petang

Berita Harian X