Rabu, 26 Ogos 2015 | 12:05am
PELBAGAI jenis perisa cecair vapor yang dijual pada harga RM15 hingga RM40 sebotol. - Foto e-mel
PELBAGAI jenis perisa cecair vapor yang dijual pada harga RM15 hingga RM40 sebotol. - Foto e-mel
CECAIR vapor biasanya hanya mengandungi campuran nikotin, gliserin dan pemanis. - Foto Amir Irsyad Omar
CECAIR vapor biasanya hanya mengandungi campuran nikotin, gliserin dan pemanis. - Foto Amir Irsyad Omar

Untung berganda jual cecair vapor


HANYA bermodalkan RM300 hingga RM350 sudah cukup untuk mengusahakan perniagaan menjual cecair vapor dan berupaya menjana keuntungan bersih antara RM400 hingga RM420 iaitu bagi setiap kandungan berat 500 miligram (mg).

Kos modal itu merangkumi bahan pembuatan asas seperti nikotin, gliserin, propelin glicol, perisa dan stevia atau pemanis, yang diadunkan bagi menghasilkan cecair vapor pelbagai perasa.

Malah kini, bahan untuk pembuatan cecair ini, terutama nikotin yang dilarang penjualannya kepada orang awam melainkan menerusi kebenaran doktor, dipasarkan secara berleluasa dan mudah didapati, termasuk menerusi pembelian secara dalam talian.

Bagi setiap adunan 500 mg ini, kebiasaannya ia akan menghasilkan 16 botol hingga 18 botol kecil berisi cecair perisa dengan berat antara 30 mg hingga 35 mg setiap satu. Setiap botol kecil ini dijual pada harga antara RM30 dan RM40.

ANTARA botol cecair vapor dengan pelbagai perasa yang terdapat di pasaran. - Foto Reuters
ANTARA botol cecair vapor dengan pelbagai perasa yang terdapat di pasaran. - Foto Reuters

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, mengawal pengedaran dan penjualan rokok elektronik khasnya cecair nikotin dengan menggunakan peruntukan di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Namun, sejauh manakah keberkesanan kawalan dan penguatkuasaan itu? Tidak keterlaluan jika dikatakan ia sekadar melepaskan batuk di tangga apabila penjualan dan penggunaan rokok elektronik ini dilihat semakin berleluasa.

Barangan dan kelengkapan vapor, termasuk cecair perisa terus dijual secara terbuka, termasuk di laman sosial. Malah, pihak terbabit juga secara terang-terangan menjual bahan untuk adunan cecair, termasuk nikotin selain memuat naik cara penyediaan cecair ini.

Tindakan ini sedikit sebanyak mendorong sesetengah pihak mencuba sendiri untuk membancuh cecair vapor sekali gus menghasilkan pelbagai perisa baharu di pasaran.

Justeru, tidak hairan apabila timbul dakwaan ada pihak yang memasukkan dadah dan alkohol dalam cecair ini, satu kaedah menjual bahan terlarang berikutan tiada kawalan dan penguatkuasaan.

ROKOK elektronik atau vapor juga dijual dalam pelbagai bentuk bagi menarik perhatian pembeli. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ROKOK elektronik atau vapor juga dijual dalam pelbagai bentuk bagi menarik perhatian pembeli. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Seorang pengguna vapor mengakui beliau tahu menyediakan cecair vapor, yang dipelajarinya menerusi YouTube.

"Saya tahu macam mana nak buat.. hanya belajar dari YouTube. Kaedah pembuatannya juga senang," kata individu berkenaan yang berasal dari Johor Bahru dan hanya mahu dikenali sebagai Zamri.

Buat masa ini, kata Zamri, 23, beliau turut menjual cecair vapor, yang diambil daripada pembekal di sekitar Cheras dan Ampang, yang dijual pada harga antara RM35 dan RM40 sebotol.

Ditanya sama ada beliau tahu ketiadaan label jelas mengenai pengedar dan kandungan boleh mengundang pelbagai implikasi dan keraguan, Zamri hanya menjawab, ia terpulang kepada keyakinan pembeli..

"Saya pun tidak tahu jika ada pembuatnya yang meletakkan bahan terlarang, sebab di botolnya memang tidak tertera bahan yang ada dalam cecair ini. Cuma yang kita, biasanya ia mengandungi campuran nikotin, gliserin dan pemanis, itu saja," katanya yang kini bekerja di sebuah stesen minyak di Pandan Indah, Ampang.

PENGUSAHA vapor menunjukkan beberapa jenis perisa yang dijual di kedainya. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENGUSAHA vapor menunjukkan beberapa jenis perisa yang dijual di kedainya. - Foto Sharul Hafiz Zam

Seorang penjual cecair vapor yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chong mengakui mengaut keuntungan besar menjual cecair berkenaan berikutan permintaan yang tinggi ketika ini.

"Boleh untung.. sebab hari ini makin ramai orang hisap vapor. Mereka yang merokok sebelum ini pun semua sudah bertukar selera dan mencari vapor. Mungkin ia lebih menjimatkan walaupun kos membeli kelengkapan vapor mahal.

"Saya hanya jual saja.. tidak buat (cecair). Ada pembekal yang 'supply'. Dalam seminggu kita akan 'restock' barang, ada juga yang kita jual di Facebook, Instagram dan blog," katanya mengakui perisa buah-buahan seperti mangga antara yang mendapat sambutan hangat pengguna vapor.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam jawapannya kepada BH Plus, mengakui sehingga kini, belum ada laporan jelas mengenai penyakit yang disebabkan oleh penggunaan rokok elektronik terbabit.

Bagaimanapun, berdasarkan penelitian awal, jelasnya cecair vapor yang mengandungi nikotin boleh mendedahkan pengguna kepada risiko kesihatan seperti penyakit jantung dan masalah saluran darah selain daripada keracunan akut sekiranya melebihi dos.

Tambahnya, kajian juga membuktikan nikotin boleh menggalakkan pertumbuhan sel kanser dan wanita mengandung yang menggunakan nikotin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan bayi yang mengalami kecacatan kelahiran berbanding dengan wanita yang bukan perokok.

TIMBALAN Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. - Foto Saifullizan Tamadi
TIMBALAN Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. - Foto Saifullizan Tamadi

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan untuk menentukan tahap sebenar risiko penggunaan vapor dan mahu semua pihak menunggu hasil kajian yang akan dibentangkan kelak.

Beliau turut menasihatkan penjual dan pengusaha cecair vapor supaya bersikap lebih bertanggungjawab dengan menghentikan sementara waktu penjualan bahan itu sehingga keputusan seterusnya daripada kementerian terbabit.

"Kementerian juga perlu turun padang memantau penjualannya bukan saja menasihatkan pengguna menerusi media massa. Perlu lakukan tinjauan dan bersemuka dengan penjual serta pembuat cecair vapor ini," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata komitmen pihaknya kini adalah memastikan cecair vapor itu tidak dikaitkan dengan sebarang penggunaan bahan terlarang seperti ganja dan air daun ketum.

Biarpun setakat ini masih belum ada penemuan mengenai salah guna dalam proses adunan cecair vapor, polis, katanya, sentiasa menjalankan risikan mengenai kemungkinan ia boleh berlaku terutama bagi individu yang mahukan ketagihan melebihi dos biasa.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff. - Foto Amir Irsyad Omar
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff. - Foto Amir Irsyad Omar

Beliau turut mengakui, setakat hari ini, tiada undang-undang berkaitan larangan menggunakan rokok elektronik, termasuk produk baharu yang popular dalam kalangan pelajar sekolah iaitu 'shisha stick'.

Mungkin ramai yang beranggapan langkah Kementerian Kesihatan yang baharu hendak menjalankan kajian mengenai penggunaan vapor, agak terlewat berbanding negara jiran Singapura, yang sudah pun mengeluarkan arahan larangan bermula 15 Disember ini.

Namun, langkah itu wajar bagi melindungi orang ramai daripada risiko dan kemudaratan yang mungkin wujud dalam penggunaan produk terbabit.

Penjualan vapor yang berleluasa tanpa kawalan menyebabkan murid dan pelajar sekolah turut menjadi pengguna. Ikuti laporan, esok.

Berita Harian X