Rabu, 26 Ogos 2015 | 12:01am
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Istiadat Pertauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA Ke-34 di Universiti Putra Malaysia. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Istiadat Pertauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA Ke-34 di Universiti Putra Malaysia. - Foto Muhd Asyraf Sawal
MATAN Iskandar (tengah) dicium ibu dan bapanya selepas menerima tauliah. - Foto Muhd Asyraf Sawal
MATAN Iskandar (tengah) dicium ibu dan bapanya selepas menerima tauliah. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan watikah pentauliahan kepada pegawai kadet PALAPES pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES ke-34 di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini. - Foto NSTP
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan watikah pentauliahan kepada pegawai kadet PALAPES pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES ke-34 di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini. - Foto NSTP

Bentuk disiplin, jati diri menerusi PALAPES

PEGAWAI Kadet PALAPES IPTA melakukan perbarisan pada Istiadat Pertauliahan Diraja. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PEGAWAI Kadet PALAPES IPTA melakukan perbarisan pada Istiadat Pertauliahan Diraja. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PERJUANGAN barisan wira negara yang mengerah tenaga tanpa mengira penat lelah demi menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air menjadi pendorong buat pegawai kadet Lettenan Muda Matan Iskandar Matan Ibrahim untuk menyertai pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pelajar tahun tiga jurusan Sarjana Muda Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, latihan selama tiga tahun di PALAPES akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam menabur bakti bersama pasukan berkenaan.

"Saya bertekad mahu menjadi sebahagian daripada mereka (angkatan tentera) dan turut sama berjuang demi negara tercinta.

"Sebaik saja menerima pentauliahan, saya akan menyertai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM dan berkhidmat di bawah unit KD Sri Klang," katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Pada masa sama, dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga, terutama ibu bapa yang banyak memberi dorongan dan menyuntik semangat untuk menghabiskan latihan ketika dirinya melalui saat-saat sukar.

"Kecederaan lama di lutut ketika bermain ragbi kembali sakit dan tidak dapat mengikuti latihan berat seperti rakan lain, antara cabaran yang perlu saya lalui sepanjang tempoh tiga tahun itu.

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat PALAPES di UPM. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat PALAPES di UPM. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Perkara itu sedikit sebanyak melemahkan mental saya, namun berkat sokongan ibu bapa, saya bersyukur dapat menghabiskan juga latihan ini sebagai pegawai kadet," katanya.

Sementara itu, Pegawai Rendah Muda Muhammad Syahiran Abd Shukor tidak menyangka dipilih sebagai pegawai kadet terbaik PALAPES Darat UPM dan menganggap ia sebagai rezeki hasil usaha keras serta kesungguhannya sepanjang menjalani latihan.

Anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, latar belakang keluarga dalam bidang ketenteraan turut mendorong minatnya terhadap pasukan beruniform itu, selain minat dalam aktiviti lasak seperti menembak dan latihan strategi dalam hutan.

"Bapa saya, Abd Shukor Husin adalah bekas tentera. Kakak sulung, Syaidatul Shima adalah anggota Askar Wataniah dan kini berkhidmat sebagai jurulatih di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Baling, Kedah, manakala abang pula seorang anggota tentera udara.

"Berada dalam PALAPES menjadikan saya lebih berdisiplin, selain semangat kerjasama dan hormat-menghormati," katanya.

Bagi Pegawai Kadet Udara Kong Fui Feng dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), perbezaan agama dan jantina bukanlah penghalang untuknya menimba ilmu dalam bidang ketenteraan udara.

Anak jati Sarikei, Sarawak itu berkata, melalui latihan selama tiga tahun itu, dia bukan saja belajar berdikari, malah hubungan bersama rakan yang majoritinya Melayu dan beragama Islam menjadi lebih erat.

"Saya banyak mendalami budaya Melayu dan agama Islam sepanjang berada dalam latihan. Rakan yang saling membantu membuatkan saya tidak kekok, malah hubungan kami semakin erat dari sehari ke sehari," katanya.

 

PEGAWAI Kadet PALAPES melaungkan 'Daulat Tuanku' di hadapan Sultan Selangor pada Istiadat Pertauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA Ke-34 di Universiti Putra Malaysia. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PEGAWAI Kadet PALAPES melaungkan 'Daulat Tuanku' di hadapan Sultan Selangor pada Istiadat Pertauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA Ke-34 di Universiti Putra Malaysia. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Sementara itu, Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam ke-34 yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini, mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi upacara pentauliahan terbesar PALAPES sejak tahun 1982.

Bertemakan Watan Mendaulat Nusa, istiadat yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu membabitkan seramai 1,628 pegawai kadet daripada 18 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Upacara kemuncak penuh adat ketenteraan itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Naib Canselor merangkap komandan PALAPES UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya berharap semua penerima tauliah pada hari itu menjadi contoh dan modal insan kepada yang lain.

Pada masa sama, baginda turut berharap mereka dapat meneruskan semangat patriotik demi kecintaan kepada negara serta memberi nilai tambah dalam diri, sama ada dari segi rohani mahu pun jasmani.

"Beta juga ingin mengingatkan saudara saudari (pegawai kadet) supaya dapat meneruskan sumbangan bakti yang tinggi untuk negara dalam segala aspek di mana juga berada dan boleh menyumbang mengekalkan keamanan serta kesejahteraan negara daripada anasir tidak diingini.

"Beta juga menyeru saudara saudari melaksanakan segala amanah yang diberikan sebagai satu cabaran yang ditangani secara baik dan bijaksana.

"Yang penting, beta mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini, rakyat sentiasa hidup secara harmoni, bertolak ansur dan berbaik-baik sesama sendiri," titahnya.

Titah baginda, semua pegawai kadet yang menerima tauliah pada hari itu akan meneruskan kerjaya sama ada dalam angkatan tetap atau dalam pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus menyumbang kepada pertahanan dan kesejahteraan negara dalam menghadapi sebarang ancaman luar mahu pun dalam negara.

PALAPES universiti awam melakukan perbarisan pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA Ke-34. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PALAPES universiti awam melakukan perbarisan pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES IPTA Ke-34. - Foto Muhd Asyraf Sawal

INFO

Sejarah awal PALAPES bermula dengan penubuhan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah Cawangan Universiti Malaya pada 3 April 1965.

Pada awal penubuhannya, hanya 30 pelajar menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah, Perak.

Pasukan itu kemudian dikembangkan ke IPTA lain susulan peristiwa 13 yang Mei yang menyaksikan penubuhan Kompeni A di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ketika itu dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM), Kompeni B di UPM dan Kompeni C di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dahulunya, PALAPES dikenali sebagai Reserve Officer Training Unit (ROTU) dengan matlamat melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan ATM, selain menyokong usaha kerajaan dan IPTA untuk membentuk kualiti seorang warga negara yang sempurna, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara.

Berita Harian X