Rabu, 12 Ogos 2015 | 12:01am

Islam martabatkan falsafah, ilmu dalam puisi tradisional

DAKWAH dibawa ulama, keturunan Rasulullah terserlah pada falsafah di sebalik pantun, peribahasa dan bidalan.
DAKWAH dibawa ulama, keturunan Rasulullah terserlah pada falsafah di sebalik pantun, peribahasa dan bidalan.

NILAI falsafah dalam puisi tradisional Melayu seperti pantun, peribahasa dan bidalan yang memperlihatkan kebijaksanaan serta ketinggian ilmu yang sarat dengan nilai intelektual dan pengajaran sebenarnya berkait rapat dengan kedatangan Islam ke alam Melayu.

Ini kerana penyebaran ajaran Islam di rantau ini membawa masyarakat Melayu ke `dunia baharu' melalui proses Islamisasi, yang mengubah dari zaman kegelapan kepada kegemilangan sehingga alam Melayu dikenali di seantero dunia.

Pengasas Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam (KEMUDI), Tun Suzana Tun Othman, berkata pengaruh kuat ajaran Islam yang sebati dalam diri masyarakat silam terserlah dalam bait puisi tradisional Melayu yang mengutamakan syariat agama.

"Jika kita mengkaji kesusasteraan secara terperinci, banyak peribahasa dan bidalan hasil nukilan masyarakat Melayu tradisional menyampaikan mesej positif dan sarat pengajaran.

"Peribahasa seperti ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi bermaksud orang Islam perlu mengamalkan sifat tawaduk dalam diri, manakala air dicincang tidak akan putus pula mengangkat kepentingan persaudaraan dan menghargai silaturahim yang terbina.

"Pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat pula mengajak masyarakat bermuafakat dan berbincang dalam menyelesaikan atau membuat keputusan," katanya.

PENGASAS KEMUDI, Tun Suzana Tun Othman. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGASAS KEMUDI, Tun Suzana Tun Othman. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Tun Suzana berkata, nilai positif dan kerohanian dalam pantun serta peribahasa Melayu itu menunjukkan ulama silam berjaya mendidik bangsa Melayu ketika itu.

"Tidak hairanlah sejarah mencatatkan golongan ulama menghasilkan berpuluh ribu manuskrip pada abad ke-17 hingga 19 dalam pelbagai bidang, termasuk ilmu fardu ain dan kifayah," katanya.

Ia juga memperlihat kegemilangan ulama yang membina tembok keilmuan di alam Melayu yang pada mulanya pengarang lazimnya adalah daripada kalangan orang istana dan pembesar saja.

Tambahnya, catatan manuskrip Melayu Jawi pada zaman dulu khususnya yang berkaitan dengan ajaran Islam kebanyakannya tidak tercatat maklumat nama pengarang atau penyusun atau penterjemahnya boleh dikaitkan dengan sifat ulama yang tawaduk dan zuhud.

"Penulis dalam kebanyakan manuskrip menyembunyikan identiti dengan menggantikan sebagai 'faqir yang hina', 'faqir yang daif' atau 'al-faqir'.

"Ia berkaitan dengan pengaruh peradaban Islam yang menuntut umatnya bersifat tawaduk, apatah lagi jika pengarangnya ialah ahli tasawuf yang zuhud, iaitu tidak suka menonjolkan dirinya, apatah lagi mencari nama dan populariti," katanya.

Tun Suzana turut berkongsi sejarah pembabitan awalnya dalam pengkajian mengenai alam Melayu dan ulama Ahlul Bait sejak 15 tahun lalu.

SEBAHAGIAN hadirin pada Seminar Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan di Yayasan Restu Kompleks Taman Seni Islam, Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
SEBAHAGIAN hadirin pada Seminar Rantaian Ahlul Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan di Yayasan Restu Kompleks Taman Seni Islam, Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

"Saya mula menghasilkan buku pertama pada tahun 2000, iaitu berjudul Zuriat Rasulullah & Raja-Raja Melayu dan rentetan daripada naskhah ini membawa kepada pengkajian lebih meluas mengenai peradaban, ketamadunan dan budaya rumpun bangsa Melayu di alam Nusantara.

"Selepas itu, muncullah karya seperti 110 Soal Jawab Melayu Islam Beraja, Perang Bendahara Pahang 1857-63, Ketuanan Islam: Pertuanan Raja-Raja Melayu dan Ahlul-Bait: Rasulullah SAW, Dinasti Melayu & Akhir Zaman," katanya.

Beliau yang menyusun dan menghasilkan lebih 15 judul berkaitan sejarah, warisan, jati diri, peradaban dan ketamadunan orang Melayu itu berkata, pendedahan semula sejarah yang diabaikan itu amat penting kerana ia melambangkan identiti serta jati diri Melayu.

"Tidak ramai yang mengambil perhatian kepada kisah sejarah realiti bangsa kita, iaitu sejarah Raja-raja Melayu, bagaimana Islam menembusi Nusantara dan ilmu yang dibawa oleh ulama, sedangkan ia amat signifikan sebagai cerminan kepada masyarakat Melayu masa silam serta hari ini.

"Saya juga banyak mengkaji proses Islamisasi bangsa Melayu yang pada mulanya berjalan lancar, namun terhalang pada era kedatangan British yang menyebabkan sistem pentadbiran kita terencat dan banyak perkara negatif menimpa masyarakat dengan tempiasnya turut dilihat pada masa kini," katanya.

Berita Harian X