Selasa, 4 Ogos 2015 | 12:02am
TIDAK ramai lagi wanita Orang Ulu yang mengekalkan tradisi telinga panjang. - Foto Abdul Rahman Adam
TIDAK ramai lagi wanita Orang Ulu yang mengekalkan tradisi telinga panjang. - Foto Abdul Rahman Adam
WANITA Orang Ulu berpakaian tradisional bersama anting-anting. - Foto Abdul Rahman Adam
WANITA Orang Ulu berpakaian tradisional bersama anting-anting. - Foto Abdul Rahman Adam
PENARI berpakaian tradisional Orang Ulu dari Kampung Budaya Sarawak bersedia untuk menyambut tetamu sempena Majlis Penutupan Pesta Gawai di Kubah Ria. - Foto Jeakqleyn Yacho
PENARI berpakaian tradisional Orang Ulu dari Kampung Budaya Sarawak bersedia untuk menyambut tetamu sempena Majlis Penutupan Pesta Gawai di Kubah Ria. - Foto Jeakqleyn Yacho

Cuping telinga panjang tambah jelita gadis Orang Ulu


500 GRAM! Itulah berat bagi sepasang anting-anting tembaga yang sering digunakan wanita masyarakat Orang Ulu di wilayah utara Bumi Kenyalang bertujuan memanjangkan cuping telinga mereka.

Malah, cuping telinga yang panjang dianggap sebagai `aset' penting gadis atau wanita dari etnik berkenaan bagi memikat lelaki untuk mengahwini mereka walaupun kaedah itu kelihatan agak menyakitkan.

Bagi masyarakat Orang Ulu, cuping telinga yang panjang adalah lambang kecantikan bagi gadis dan wanita mereka, sekali gus dikekalkan sebagai amalan tradisi.

Namun, seiring dengan perkembangan, tradisi itu semakin dilupakan, dengan generasi muda etnik itu tidak lagi berminat mengamalkannya, sebaliknya memilih cara yang lebih moden untuk kelihatan cantik.

CUPING telinga yang panjang adalah lambang kecantikan bagi gadis dan wanita Orang UIu.
CUPING telinga yang panjang adalah lambang kecantikan bagi gadis dan wanita Orang UIu.

Sebaliknya, pemakaian aksesori perhiasan diri itu, yang turut dikenali sebagai 'anting-anting loyang' hanya diamalkan oleh generasi tua, menyebabkan tradisi telinga panjang berkenaan semakin dilupakan.

Lebih membimbangkan apabila ada segelintir generasi muda Orang Ulu berasa malu untuk mengamalkan tradisi itu kerana menganggap penampilan sedemikian agak pelik.

Bagi Anthonia Abong Anyi, 71, berasal dari Hulu Baram, di sini, memiliki cuping telinga panjang menjadi satu kebanggaan bagi dirinya.

"Tidak mudah untuk memiliki cuping telinga yang panjang. Ia perlu melalui proses yang rumit dan cukup menyeksakan. Namun, apabila panjang cuping telinga sudah mencecah paras bahu, kepuasannya tidak dapat digambarkan.

"Adalah menjadi satu kebanggaan bagi setiap wanita kami (Orang Ulu) untuk memiliki cuping telinga yang panjang. Ia adalah identiti gadis dan wanita etnik ini yang seharusnya dibanggakan, malah tradisi itu perlu dipulihara untuk tatapan generasi masa depan," katanya.

ANTING-anting tembaga seberat 500 gram sering digunakan wanita Orang Ulu untuk memanjangkan cuping telinga.
ANTING-anting tembaga seberat 500 gram sering digunakan wanita Orang Ulu untuk memanjangkan cuping telinga.

Katanya, pemakaian anting-anting berat itu dan tradisi telinga panjang bukan hanya diamalkan oleh golongan wanita Orang Ulu, malah golongan lelakinya.

"Secara tradisi, ibu bapa mula melubang dan meregang cuping telinga bayi mereka dengan memakaikan anting-anting berat, sama ada diperbuat dari tembaga atau logam lain.

"Berat anting-anting baru akan ditambah dari semasa ke semasa untuk terus meregangkan cuping telinga. Biasanya, sehingga ke paras bahu si pemakai.

"Anting-anting itu akan dipakai waktu siang hari dan akan dibuka pada waktu malam. Kebiasaannya, mereka menggunakan tembaga kerana ia kekuningan bersinar dan menyerupai warna emas. Saiz dan bentuknya pelbagai, ada yang menyerupai gelang dan ada juga berbentuk bulat dan bujur," katanya.

Abong berkata, wanita Orang Ulu menganggap semakin panjang cuping telinga mereka, semakin menyerlah kecantikan mereka. Biarpun tradisi meregangkan cuping telinga tidak lagi diamalkan hari ini, namun ia satu warisan yang tidak seharusnya dilupakan.

pqc

CUPING telinga yang panjang dianggap sebagai 'aset' di kalangan wanita Orang Ulu.
CUPING telinga yang panjang dianggap sebagai 'aset' di kalangan wanita Orang Ulu.

"Proses memanjangkan cuping telinga itu bukan mudah, malah mengambil masa yang agak lama sehingga bertahun-tahun untuk memperoleh panjang diingini.

"Ini bukan proses sehari dua.... bertahun-tahun kita terpaksa menanggung kesakitan.... ke sana-sini memakai anting-anting yang ada ketika beratnya boleh mencecah 500 gram sepasang. Namun, kita melakukannya bukan semata-mata mahu kelihatan cantik, sebaliknya mahu memulihara warisan ini," katanya.

Sementara itu, kakaknya, Ulawan Anyi, 88, menyatakan kekecewaannya terhadap sikap segelintir generasi muda etnik berkenaan yang enggan mengamalkan tradisi telinga panjang atas alasan tidak menepati trend semasa.

"Ini adat dan budaya kita.... jika tidak mereka (generasi muda) yang mewarisinya, siapa lagi yang akan memulihara tradisi ini untuk dilihat generasi masa depan. Bila kami sudah tiada (meninggal dunia), sudah pasti warisan ini lenyap selama-lamanya.

Bagi Sandra Akiem, 63, yang sudah lama berhijrah ke Bandaraya Miri, tidak ramai wanita Orang Ulu sama ada Kayan, Penan atau Kelabit yang masih memakai anting-anting loyang.

"Dulu, ia biasa dipakai waktu ada majlis keramaian seperti sambutan Gawai Dayak, Krismas, dan perayaan lain di rumah panjang. Jika pergi ke bandar, kita jarang pakai anting-anting kerana bimbang ia diragut. Ini kerana pernah berlaku kes anting-anting loyang wanita Orang Ulu diragut, mungkin disangka ia anting-anting emas.

PEMAKAIAN anting-anting loyang hanya diamalkan oleh generasi tua.
PEMAKAIAN anting-anting loyang hanya diamalkan oleh generasi tua.

"Sebab itu, jarang kita lihat wanita Orang Ulu pakai anting-anting berkenaan di bandar. Berbeza situasinya di rumah panjang," katanya sambil menambah hanya wanita Orang Ulu mengamalkan tradisi itu, tetapi wanita Iban tidak berbuat demikian.

Ketika ini dianggarkan hanya ada ratusan wanita Orang Ulu, khususnya di utara Sarawak terdiri daripada generasi tua masih kelihatan menyimpan cuping telinga panjang.

Malah, Persatuan Orang Ulu Sarawak (OUNA) tidak menolak kemungkinan tradisi itu akan lenyap apabila generasi tua itu sudah tiada.

Justeru, persatuan itu mahu supaya satu usaha dilakukan kerajaan dan pihak berkaitan untuk mengumpul maklumat secara terperinci bagi merekodkan tradisi itu sebelum ia lenyap.

INFO: Tujuan memanjangkan cuping telinga
- untuk kelihatan cantik
- memikat lelaki
- satu seni kecantikan diri
- lambang status dan kemewahan
- adat tradisi.

Berita Harian X