Ahad, 2 Ogos 2015 | 12:05am
ANTARA bangunan warisan, bangunan yang lebih dikenali sebagai Pasar Seni atau 'Central Market' di Jalan Hang Kasturi. - Foto Farizul Hafiz Awang
ANTARA bangunan warisan, bangunan yang lebih dikenali sebagai Pasar Seni atau 'Central Market' di Jalan Hang Kasturi. - Foto Farizul Hafiz Awang

Sehari jalan-jalan di Pasar Seni

SEBELUM ini, rakan setugas penulis pernah diarahkan membuat liputan mengenai Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai Central Market (CM) dalam kalangan pelancong asing. Dalam penulisannya, dia berpandangan bahawa bangunan itu buruk, sekali gus berasa tidak perlu menelaah sejarahnya.

Namun, pandangannya berubah sebaik meninjau 'isi' dalam bangunan dibina pada tahun 1888 yang disifatkannya terancang, meriah dengan pelbagai kedai cenderamata serta kraftangan bercirikan Malaysia dan Asia Tenggara dan restoran. Malah, jika berhasrat mengabadikan diri dalam potret, tempat ini paling disyorkan berikutan lambakan pelukis berbakat dengan harga berpatutan.

Secara jujur, penulis juga sudah lama tidak menjengah pasar seni walaupun lokasinya tidak sampai sepuluh minit pemanduan dari pejabat sedangkan ketika zaman bersesak menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dahulu, Pasar Seni atau popular dengan nama CM menjadi persinggahan wajib.

Di CM, kita boleh mencari buku serta novel terpakai, menikmati teh tarik panas di restoran mamak di aras bawah, berlegar-legar sambil melihat kepelbagaian barangan antik dan seni buatan tempatan.

Di luar CM pula, kita boleh terhibur dengan gelagat penghibur jalanan atau buskers. Cuma penampilan mereka yang agak selekeh menimbulkan tanggapan kurang elok daripada mereka yang lalu lalang di sini.

Kuih Mochi dan Kacip Fatimah

PASAR Seni pada asalnya adalah pasar basah. - Foto NSTP
PASAR Seni pada asalnya adalah pasar basah. - Foto NSTP

Kunjungan kali ini meskipun atas tuntutan kerja, tetap menggamit memori 'mengukur jalan' meneroka bangunan berusia 127 tahun itu yang sebelum ini adalah pasar basah.

Sebelum meneruskan misi lawatan sehari, penulis mengisi perut di Restoran Gyuniku Signature (GS) terletak di Lorong Cina kira-kira 40 langkah dari pintu masuk utama.

CM kini membahagikan kawasannya kepada beberapa zon bertujuan menyajikan kepelbagaian budaya dan produk tempatan kepada pelancong.

Selain Lorong China, kawasan dengan keluasan 123.7 meter panjang, 60.8 meter lebar dan setinggi 7.9 meter itu turut memiliki Lorong Melayu, Lorong India serta Malacca Jonker Street yang mengangkat keunikan produk Baba Nyonya. Seni bina menarik Rumah Kampung pula menjadi tunjang tarikan The Blue Mansion.

HIDANGAN Tee Ya Gula Melaka sebagai pemanis mulut di Restoran Gyuniku Signature (GS) di Pasar Seni, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan
HIDANGAN Tee Ya Gula Melaka sebagai pemanis mulut di Restoran Gyuniku Signature (GS) di Pasar Seni, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

Restoran GS tidak luas namun menghidangkan menu yang jarang ditemui seperti kuih mochi yang dibuat daripada tepung pulut bersalut kacang dan gula, Tee Ya bergula yang lazat dinikmati bersama kopi pekat dan popiah basah yang dimakan bersama kuah.

Konsep kampung yang diketengahkan pemiliknya, Wang Soo Kheng menerusi tampalan keratan akhbar menghiasi dinding bata merah, hiasan tumbuhan dalam pasu mencecah siling juga set koleh ayan antik lebih menghidupkan suasana.

"Pelanggan suka minum menggunakan koleh ini, lebih-lebih lagi minuman sejuk. Malah, ada yang berminat membeli namun saya tolak kerana susah hendak mencarinya lagi," katanya yang mendapatkan set itu di sebuah kedai antik di Pulau Pinang.

Sementara, untuk produk kesihatan, Asian Secrets tidak jauh dari restoran GS menawarkan pelbagai jenis herba dan akar kayu dalam bungkusan comel lagi ekslusif.

Pembantu Pengurusnya, Gillian Ung mengaku produknya turut diminati pelancong luar yang membelinya sebagai ole-ole. Antara yang popular adalah Tongkat Ali yang ditawarkan dalam bentuk akar kayu dan uncang teh disusuli Kacip Fatimah yang memberi banyak khasiat kepada wanita.

Koleksi buku, barang antik

PEMILIK Kota Pinang Enterprise, Victor CP Tan menunjukkan sebahagian koleksi jualannya kepada pelanggan yang berkunjung ke kedainya di Pasar Seni. - Foto Nik Hariff Hassan
PEMILIK Kota Pinang Enterprise, Victor CP Tan menunjukkan sebahagian koleksi jualannya kepada pelanggan yang berkunjung ke kedainya di Pasar Seni. - Foto Nik Hariff Hassan

Pencinta tegar barangan antik dan vintaj pasti tidak asing dengan pemilik Kota Pinang Enterprise, Victor CP Tan yang tidak lokek ilmu mengenai koleksi jualannya.

"Selain mengenalpasti kecenderungan antik yang dikumpul, penting bagi anda mengetahui sejarah juga latar belakangnya. Harga antik subjektif dan tiada nilaian khusus untuknya," katanya yang mula mengumpul antik sejak berusia 18 tahun dan kini, dalam usia mencecah 62, dia mempunyai himpunan koleksi barang antik termasuk gramofon, cawan dan piring seramik, pasu tembikar, barang kemas dan sebagainya.

KOLEKSI gelas keluaran khas Merdeka kesayangan Tan. - Foto Nik Hariff Hassan
KOLEKSI gelas keluaran khas Merdeka kesayangan Tan. - Foto Nik Hariff Hassan

Tan tidak terkecuali mempunyai koleksi kesayangan peribadi berupa gelas keluaran khas Merdeka yang didatangkan dalam tiga saiz berbeza.

"Saya tidak akan menjualnya walaupun ditawarkan harga mahal. Ini tanda kasih sayang dan semangat patriotik saya terhadap negara tercinta," ujarnya.

Kebetulan, pada hari itu Tan mengeluarkan koleksi buku lama untuk dijual termasuk yang paling berharga, Court and Kampung ditulis bekas residen British di Pahang, Hugh Clifford serta koleksi penulis termasyhur buku kanak-kanak, Enid Blyton pada zaman awal dia mencipta nama.

Penulis bertuah kerana berpeluang membeli satu daripada karyanya, The Mystery of Disappearing Cat terbitan tahun 1944.

Keseronokan panggung wayang 6D

Siapa sangka Pasar Seni juga mempunyai panggung wayang 6 D (enam dimensi). Terletak di Central Market Annexe, panggung wayang di sini menawarkan banyak pilihan filem untuk ditonton dan daripada pelbagai genre. Penulis memilih Pumpkin Ghost yang mengetengahkan inti pati cerita hantu musim Halloween.

Sangkaan hiburan ringan dan keanak-anakan meleset apabila dikejutkan dengan pelbagai kesan khas seperti elemen angin sewaktu adegan terbang ke angkasa, kerusi bergegar apabila melalui jalan berbatu dan memasuki gua dihuni labah-labah gergasi malah bunyi silau kapak dan tombak cukup mengerikan.

Secara jujur, penulis mendoakan masa hampir tujuh minit cepat berlalu kerana tidak tahan diasak pelbagai kejutan termasuk berlanggar dengan pokok, batu nesan, dikejar makhluk berwajah pelik malahan mendaki bukit dan gunung yang bagaikan perjalanan 'roller coaster'.

Menerusi tarikan terbaharu, CM bakal mempunyai muzium 3D tersendiri yang akan menemui orang ramai tidak lama lagi. Sewaktu lawatan ke situ, kerja pembikinannya hampir 80 peratus siap. Bertemakan hiburan keluarga, kanak-kanak pasti berhasrat bergambar bersama watak kartun animasi Madagascar manakala bagi pengunjung dewasa pasti seronok mengabadikan kenangan bersama The Beatles, Pierce Brosnan dengan karisma James Bond selain berangan-angan menjadi pasangan Jack dan Rose ketika bergambar di Kapal Titanic.

Pengurus Besar Illusion 3D Art Museum, Crystal Low, belum menetapkan harga tiket tetapi kemungkinan tidak lebih daripada RM20.

"Menariknya, pengunjung dapat menikmati lukisan tangan karya pelukis Derrick Lee bersama pasukannya. Lukisan itu lebih hidup dalam gambar," katanya.

Selain itu, jangan lupa singgah di tempat lain termasuk Zakir Batik yang menawarkan pelbagai corak batik moden dan tradisional di samping memborong barang kraf bertam, bemban, rotan, buluh, mengkuang dan ribu-ribu di Asli Craft. Selain mendapatkan produk asli kraf yang tidak ternilai, peniaga yang ramah-tamah di situ bermurah hati berkongsi ilmu mengenai khasiat herba dan akar kayu.

Berita Harian X