Khamis, 16 Julai 2015 | 12:08am
TINJAUAN barang tiruan di pasar raya sekitar Kuala Lumpur. - Foto Amran Hamid
TINJAUAN barang tiruan di pasar raya sekitar Kuala Lumpur. - Foto Amran Hamid

Tidak peka bahaya guna barang tiruan


RM10.13 juta! Itulah nilai rampasan pelbagai barangan tiruan untuk lima bulan pertama tahun ini membabitkan 265 kes berbanding RM13.16 juta sepanjang tahun lalu yang mencatatkan 2,156 kes.

Ia membabitkan rampasan barangan seperti makanan, ubatan, rokok, kosmetik, ubatan, minuman keras, bahan petroleum, barang elektrik, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, perkakasan komputer, pakaian, jam tangan, barangan kulit, kasut, cermin mata dan cakera optik.

Produk berasaskan pakaian ternyata menjadi tumpuan sindiket barang tiruan apabila 87 kes membabitkan produk bernilai RM355,803 dikesan.

Alat telekomunikasi juga turut menjadi pilihan dalam pasaran gelap apabila 24 kes membabitkan rampasan bernilai RM149,150 dicatatkan manakala barangan kulit seperti beg tangan dan dompet mencatatkan 81 kes membabitkan rampasan bernilai RM648,595.

BH Plus mendapatkan penjelasan Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin, berhubung isu lambakan barang tiruan yang seakan tiada nokhtahnya.

Roslan, berkata walaupun kes yang dicatatkan pada pertengahan tahun ini mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu, nilai rampasan yang besar menunjukkan industri barangan tiruan masih berada pada tahap kritikal dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

"Kesedaran mengenai bahaya dan akibat menggunakan barangan tiruan masih di tahap rendah. Ini kerana, sikap kedekut dan tidak kisah sesetengah masyarakat membuatkan mereka lebih selesa menggunakan barang ciplak.

"Kebanyakan rakyat negara ini terlalu memuja barangan berjenama terutama buatan luar negara, namun kurang mampu memilikinya disebabkan harga yang terlalu mahal.

PRODUK berasaskan pakaian turut menjadi tumpuan sindiket barang tiruan. - Foto Amran Hamid
PRODUK berasaskan pakaian turut menjadi tumpuan sindiket barang tiruan. - Foto Amran Hamid

"Sebagai jalan singkat, mereka memilih produk sama walaupun berbeza dari segi kualiti, malah jauh lebih murah asalkan mereka tetap kelihatan bergaya pada pandangan orang ramai," katanya ketika ditemui BH Plus di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, paling membimbangkan adalah penggunaan ubat tiruan seperti pil kurus atau produk kecantikan yang boleh menjejaskan kesihatan, sekali gus membawa maut kepada pengguna.

"Rakyat di negara ini perlu tahu, bukan semua bahan yang terkandung di dalam ubat berkenaan selamat. Pengguna perlu peka terhadap kandungan bahan yang digunakan di dalam produk berkenaan.

PENGGUNA produk kecantikan tiruan berdepan risiko kesihatan. - Foto Amran Hamid
PENGGUNA produk kecantikan tiruan berdepan risiko kesihatan. - Foto Amran Hamid

"Jika terdapat sebarang keraguan mengenai produk yang dibeli, pengguna dinasihatkan berjumpa terus dengan pakar kesihatan kerana kita tidak mahu timbul sebarang kejadian tidak diingini. Jangan dah terhantuk baru nak menyesal," katanya yang kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih memburu barang tiruan.

Roslan berkata, bagi pengguna yang khuatir ditipu peniaga tidak bertanggungjawab, mereka perlu mengetahui ciri sah pada sesuatu produk seperti pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM), Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (SIRIM) atau International Organization for Standardization (ISO).

Katanya, jika terdapat sebarang keraguan atau aduan mengenai sesuatu barangan, pengguna boleh menyalurkan aduan berkenaan menerusi emel di e-aduan@kpdnkk.gov.my atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip KPDNKK ADUAN hantar ke 15888.

BEG tangan turut popular di kalangan sindiket barang tiruan. - Foto Amran Hamid
BEG tangan turut popular di kalangan sindiket barang tiruan. - Foto Amran Hamid

Sementara itu, Roslan berkata, kesan penjualan barangan tiruan bukan hanya kepada pengguna serta pemilik cap dagang, malah kepada negara itu sendiri.

Katanya, ia secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara disebabkan pelabur asing tidak yakin melabur di Malaysia akibat lambakan barangan tiruan yang mudah didapati di pasaran terbuka negara ini.

Roslan turut menasihatkan orang ramai, terutama pemilik cap dagang, supaya segera membuat laporan jika mengetahui jenama atau produk mereka disabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membuat, mengedar dan menjual barangan tiruan dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara pada kesalahan pertama dan denda maksimum RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya pada kesalahan kedua manakala bagi syarikat pula denda tidak melebihi RM500,000.

JAM tangan antara produk barangan tiruan yang berjaya dirampas KPDNKK dalam operasi sepanjang tahun lalu. - Foto Amran Hamid
JAM tangan antara produk barangan tiruan yang berjaya dirampas KPDNKK dalam operasi sepanjang tahun lalu. - Foto Amran Hamid

Ditanya mengenai hukuman yang dikenakan kepada pembeli pula, Roslan berkata, setakat ini, tiada sebarang akta atau hukuman yang dapat disabitkan kepada pembeli.

"Pembeli tidak dikenakan sebarang hukuman kerana akta sedia ada sudah cukup berat untuk menghukum individu yang terus-menerus mengedar barangan tiruan ini.

"Namun, janganlah kerana tidak ada sebarang hukuman dikenakan, pembeli terus menyokong industri tiruan ini. Bagi menyedarkan orang awam mengenai bahaya barangan tidak asli ini juga, pihak kementerian sentiasa mengadakan kempen kesedaran di pusat beli-belah dan tempat awam, termasuk sekolah di seluruh negara," katanya.

Bagi meningkatkan lagi usaha memerangi kegiatan tidak bermoral itu, KPDNKK bersama 33 agensi kerajaan, termasuk Kastam Diraja Malaysia, SIRIM dan syarikat milik barangan berjenama menubuhkan pasukan khas pada 2003 bagi mengatasi masalah lambakan barangan tiruan itu.

BARANGAN tiruan dikatakan lebih menjimatkan kos peniaga kerana mudah dijual di kaki lima. - Foto Amran Hamid
BARANGAN tiruan dikatakan lebih menjimatkan kos peniaga kerana mudah dijual di kaki lima. - Foto Amran Hamid

Menerusi pasukan khas terbabit, KPDNKK bertindak menghantar pegawai risikan di kawasan yang dikenal pasti sebagai syurga barang tiruan seperti di Bukit Bintang, Jalan Petaling dan Chow Kit, manakala di kawasan luar bandar pula, lokasi seperti di Padang Besar, Perlis; Batu Feringgi, Pulau Pinang; Kota Kinabalu, Sabah dan beberapa bandar besar di seluruh negara turut menjadi perhatian kementerian berkenaan.

Langkah berkenaan disifatkan sebagai tonik berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah kemasukan barangan tiruan ke negara ini kerana berlakunya penurunan kes dalam statistik tahunan yang dicatatkan KPDNKK.

Berita Harian X