Ahad, 12 Julai 2015 | 12:02am

Terlepas pandang ke rumah P Ramlee

KERETA dan beca yang pernah digunakan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee. - Foto Surianie Mohd Hanif
KERETA dan beca yang pernah digunakan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee. - Foto Surianie Mohd Hanif

DI Amerika Syarikat, ada Muzium Elvis Presley yang dikenali sebagai Graceland di Memphis, manakala di Liverpool, England pula ada muzium The Beatles dikenali juga sebagai The Beatles Story dan di Stockholm, Sweden mereka mewujudkan galeri kumpulan muzik terkenal yang mengangkat nama negara Scandinavia ini, iaitu The Abba .

Semua muzium atau pustaka peringatan ini tidak sekadar mengangkat individu yang cukup popular dalam dunia hiburan dan muzik, tetapi juga menjadi tarikan pelancongan dari seluruh dunia.

Agak berbeza di Malaysia apabila Pustaka Peringatan P Ramlee di Kuala Lumpur tidak lebih sebagai ikon dalam bidang seni. Walaupun diiktiraf sebagai seniman agung, tetapi tanggapan umum mengenai Allahyarham Tan Sri P Ramlee hanya sekadar 'penggiat seni semata-mata'.

Mungkin atas sebab itu, ramai yang terlepas pandang untuk mengunjungi Pustaka Peringatan P Ramlee. Bahkan, pustaka ini tidak disenaraikan sebagai antara destinasi pelancongan utama untuk dilawati.

PUSTAKA Peringatan P Ramlee di Kuala Lumpur. - Foto Surianie Mohd Hanif
PUSTAKA Peringatan P Ramlee di Kuala Lumpur. - Foto Surianie Mohd Hanif

Pustaka ini pada asalnya adalah kediaman terakhir P Ramlee. Pada Mac 1986 iaitu kira-kira 13 tahun selepas P Ramlee meninggal dunia, kerajaan menjadikan pustaka peringatan yang berfungsi sebagai muzium mini. Di sini, tersimpan khazanah berharga seperti koleksi peribadi dan karya seni yang dihasilkan oleh seniman agung itu.

Turut dipamerkan nota muzik dan alat muzik seperti piano yang sering digunakan P Ramlee, surat, keratan akhbar, skrip dan poskad yang dikirimkan kepada keluarga, terutama untuk isterinya, Puan Sri Saloma.

Selain boleh melihat koleksi yang dipamerkan, pengunjung juga akan dihiburkan dengan lagu-lagu nyanyian P Ramlee dan Saloma selain sedutan filem serta kata bual P Ramlee dalam filem yang dibintanginya.

DIORAMA set penggambaran filem Penarik Beca. - Foto Surianie Mohd Hanif
DIORAMA set penggambaran filem Penarik Beca. - Foto Surianie Mohd Hanif

Malah pengunjung juga dapat melihat secara dekat set penggambaran filem Penarik Beca. Menerusi diorama dipisahkan dengan kaca tembus pandang, pengunjung dapat melihat pondok usang, beca tua dan replika P Ramlee sebagai teraju utama filem itu.

Ketua Seksyen Pengurus Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia, Mahani Muhammad berkata, sejak ditubuhkan, Pustaka Peringatan P Ramlee berjaya mencatatkan kehadiran ramai pengunjung, bukan sahaja pelawat tempatan tetapi juga dari luar negara, khususnya Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Galeri ini menjadi destinasi wajib dikunjungi pelancong dari Singapura. Mereka bukan sekadar ingin mengetahui riwayat hidup seniman itu tetapi turut bermurah hati memberi sumbangan untuk memajukan lagi tempat ini," katanya.

PAKAIAN yang digunakan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Saloma turut dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee. - Foto Surianie Mohd Hanif
PAKAIAN yang digunakan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Saloma turut dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee. - Foto Surianie Mohd Hanif

Bagi Arkib Negara pula, Mahani berkata, usaha untuk mendapatkan koleksi berharga yang pernah menjadi milik Allahyarham tidak pernah padam sebaliknya, menyambut baik mana-mana individu yang sudi menjualkan barangan kepunyaan seniman itu jika ada dalam simpanan mereka.

Bagaimanapun, nilai barang ditawarkan bergantung kepada pertimbangan Jawatankuasa Penilai yang ditubuhkan khusus menangani sebarang urusan jual beli.

"Antara koleksi yang berjaya dikumpulkan, saya diberitahu Allahyarham P Ramlee sangat menyayangi biola yang pernah dimainkan sewaktu mengalunkan lagu Tanya Sama Pokok dalam filem Anakku Sazali," katanya seraya memberitahu ada lebih 200 koleksi berharga dipamerkan di galeri berkenaan.

PIANO dan meja makan yang pernah digunakan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee. - Foto Surianie Mohd Hanif
PIANO dan meja makan yang pernah digunakan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dipamerkan di Pustaka Peringatan P Ramlee. - Foto Surianie Mohd Hanif

Namun, paling mencuri tumpuan adalah ruang makan yang turut menempatkan piano kesayangannya. Berbanding ruang lain yang menjalani 90 peratus pengubahsuaian, ruang itu mengekalkan susun atur, perabot dan kelengkapan asal bagi memberi gambaran gaya hidup sebenar seniman itu bersama keluarganya.

Banyak lagi riwayat P Ramlee yang boleh diselongkar dan dihayati terutama generasi muda yang hanya mengenali beliau lewat filem dan lagu dendangannya.

INFO

  • Pustaka Peringatan P Ramlee
  • Lokasi: Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak, Kuala Lumpur
  • Waktu lawatan: 9 pagi hingga 5 petang (Selasa hingga Ahad), Isnin tutup
  • Bayaran Masuk: Percuma

Berita Harian X