Isnin, 6 Julai 2015 | 12:07am
"SEBAGAI seorang pelakon luar yang mencari rezeki di negara orang perlu bekerja dengan ikhlas dan menerima kritikan yang diberikan" - Hisyam. - Foto Zunnur Al Shafiq
"SEBAGAI seorang pelakon luar yang mencari rezeki di negara orang perlu bekerja dengan ikhlas dan menerima kritikan yang diberikan" - Hisyam. - Foto Zunnur Al Shafiq

Saya tumpang cari rezeki di Malaysia - Hisyam Hamid


WATAK Harith menerusi drama rantaian popular, Ariana Rose, melonjakkan nama Hisyam Hamid dalam persada hiburan tempatan.

Namun, drama itu juga umpama 'titik permulaan dan noktah' buat pelakon kelahiran Singapura itu. Banyak pihak berpendapat perjalanan seninya semakin suram.

Hisyam tenang menerima tanggapan begitu. Baginya, status beliau yang sudah berumahtangga dan bebas daripada belenggu kontroversi sebagai antara faktor utama yang menyaksikan 'kemerosotannya' dalam dunia hiburan.

Hisyam menafikan beliau terjejas berikutan kebanjiran barisan hero baru yang jauh lebih muda sebaliknya melihat perkara itu sebagai persaingan sihat bagi menghasilkan karya lebih berkualiti.

"Sebenarnya saya memandang lambakan hero baharu ini sebagai satu persaingan sihat. Jadi pelakon lama boleh menganggap ia sebagai motivasi bagi memberikan yang lebih baik dalam mutu lakonan.

HISYAM menafikan beliau terjejas dengan kebanjiran barisan hero baru yang jauh lebih muda. - Foto Zunnur Al Shafiq
HISYAM menafikan beliau terjejas dengan kebanjiran barisan hero baru yang jauh lebih muda. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Kita tak selama-lamanya berada di atas, jadi kehadiran mereka ini dapat memberi kesedaran untuk kita menjadi rendah diri dan tidak hanyut dalam arus populariti.

"Sebenarnya, isu saya semakin suram tidak timbul kerana saya sedang memberikan sepenuh fokus untuk drama bersiri Memori Cinta Suraya. Telenovela popular bahasa Sepanyol, A Love To Remember kini diangkat Astro untuk diadaptasikan menjadi drama Melayu sebanyak 148 episod," kata Hisyam kepada BH.

Selain Hisyam, drama bersiri Memori Cinta Suraya membariskan pelakon popular seperti Anzalna, Miera Leyana dan Liza Abdullah. Drama arahan Feroz Kader itu dijangka menemui penonton mulai 17 Ogos ini di Astro Prima.

Drama itu adalah hasil kerjasama produksi terbesar program Sepanyol, Azteca dengan Astro dan syarikat produksi tanah air, Global Station.

Sementara itu, Hisyam tidak melatah dengan kenyataan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang baharu, Datuk Seri Azalina Othman, yang menyeru supaya syarikat produksi tempatan memberi keutamaan kepada artis tempatan dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi dunia perfileman negara.

Sebaliknya, beliau bersetuju dan menerima secara baik kenyataan yang diberikan oleh Azalina sambil mengakui kehadirannya sebagai menumpang mencari rezeki di negara orang.

HISYAM bersama isteri, Rosmawati Hanafi dan dua anaknya. - Foto Zunnur Al Shafiq
HISYAM bersama isteri, Rosmawati Hanafi dan dua anaknya. - Foto Zunnur Al Shafiq

Hisyam akui keutamaan harus diberikan kepada pelakon yang berasal dari Malaysia sendiri, namun mengakui juga persaingan seumpama itu bagus untuk kemajuan industri hiburan.

"Saya bersetuju keutamaan harus diberikan dulu kepada penduduk setempat. Saya sendiri tiada masalah berhubung isu itu.

"Sebagai seorang pelakon luar yang mencari rezeki di negara orang perlu bekerja dengan ikhlas dan menerima kritikan yang diberikan.

"Contohnya, bekerja dengan ikhlas dengan datang lokasi penggambaran dengan tepat, berdisiplin dan memberikan komitmen kerja yang baik. Itu adalah antara cara yang menunjukkan kita betul-betul ikhlas mencari rezeki demi menampung keluarga," ujar Hisyam dalam nada tenang.

Selain Hisyam, antara pelakon luar lain yang berjaya mencipta nama di Malaysia ketika yang juga ini kebanyakannya dari Singapura adalah Aaron Aziz, Adi Putra,Shah Iskandar, Elfaeza Ul Haq, Nina Iskandar serta Randi Panggalila dari Indonesia.

INFO HISYAM

Nama: Hisyam Hamid

Asal: Singapura

Usia: 30 tahun

Pendidikan: Ijazah Pengurusan Perniagaan di Royal Melbourne Institute of Technology University

Nama Isteri: Rosmawati Hanafi

Anak: Nurish Syameliah, 8 dan Hayden, 6.

Drama: Anak Metropolitan 2, Sahabat, Kasih Ayah, Cut Amirah, Ariana Rose, Memori Cinta Suraya

  • Hisyam sudah berkecimpung dalam bidang lakonan sejak 12 tahun lalu di Singapura dan bertapak di Malaysia sejak September 2013.
  • Beliau tidak menyembunyikan statusnya sebagai seorang suami dan bapa kepada dua orang anak. Hisyam mendirikan rumah tangga sejak sembilan tahun lalu.
  • Hisyam mengakui lebih berhati-hati selepas insiden berpelukan antara beliau dan Ifa Raziah bagi menjayakan sebuah program dikecam oleh banyak pihak.
Berita Harian X