Ahad, 28 Jun 2015 | 12:09am

Kenapa Aaron Aziz 'lamar' Nora Danish?


MENJADI hero kacak idaman ramai, Aaron Aziz berpeluang mendekati ramai pelakon wanita cantik di negara kita.

Tidak kira di layar perak mahupun di kaca televisyen, Aaron sudah 'mendampingi' ramai aktres jelita tanah air.

PELAKON, Aaron Aziz. - Foto Munira Abdul Ghani
PELAKON, Aaron Aziz. - Foto Munira Abdul Ghani

Maya Karin, Lisa Surihani, Izara Aishah, Fasha Sandha, Rita Rudaini, Siti Saleha, Nur Fathia, Nadiya Nisaa dan Tiz Zaqyah, antara yang pernah bergandingan dengan aktor kelahiran Singapura ini.

Terbaharu, papa hot kepada tiga anak itu bergandingan dengan pelakon terkenal, Nora Danish.

Pernah bekerjasama dengan si cantik yang mempunyai ramai pengikut di laman Instagram itu menerusi supertelefilem Cikgu Timah Sekolah Bandar, mereka sekali lagi disatukan dalam filem Sayu Yang Syukur (SYS) terbitan Nusan Bakti Corporation Sdn Bhd.

Filem SYS turut menjadi percubaan kedua Aaron yang dua kali pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2011 dan 2013 di kerusi pengarah.

Sebelum ini, dia pernah mengarahkan filem Romeo Kota yang ditayangkan beberapa bulan lalu. Lalu kenapa kini, Aaron terpanggil untuk memilih Nora sebagai gandingannya.

Sebelum ini Nora pernah disatukan dengan hero kacak antaranya seperti Farid Kamil, Shaheizy Sam, Adi Putra.

Kepada BH PLUS, Aaron berkongsi cerita mengenai alasan konkrit dia melamar wanita berdarah campuran Arab dan Burma itu sebagai pelakonnya.

AARON Aziz digandingkan dengan Nora Danish (kanan) dalam filem SYS.
AARON Aziz digandingkan dengan Nora Danish (kanan) dalam filem SYS.

Menurut Aaron, sebagai pengarah dia juga bertindak membuat keputusan memilih pelakon mana yang dirasakan sesuai.

"Lapan puluh peratus kenapa saya condong memilihnya untuk berlakon dalam filem arahan saya saya kali ialah kerana sebelum itu kami pernah berlakon dalam supertelefilem.

"Telefilem itu lebih kepada genre komedi dan tak ada babak percintaan. Saya optimis kami boleh melakukan yang lebih daripada sebelum ini untuk filem pula.

"Nora juga diakui mempunyai populariti yang hebat. Dia juga sangat kebal di laman sosial. Lihat saja pengikutnya di laman Instagram. Dia sangat sporting dan bersedia menerima teguran.

"Dia sebenarnya tidak memberi saya halangan untuk memperbetulkan diri dia dalam aspek lakonan dan sekali gus ke arah mencapai apa yang saya inginkan dalam filem ini.

"Dia pelakon yang sangat profesional. Dia membuatkan saya selesa untuk menjalankan tugas sebagai pelakon dan pengarah pada masa yang sama," kata suami kepada Diyana Halik itu.

Dalam filem SYS, Aaron memegang watak sebagai Que Daim manakala Nora pula memikul tanggungjawab untuk peranan Nurliana.

Atas satu peristiwa mereka bertemu dan Que Daim sebenarnya mahu memohon maaf di atas apa yang dilakukannya terhadap Nurliana. Que Daim digambarkan sebagai lelaki kaya yang boleh memperoleh apa sahaja yang diingini.

Tanpa disedari, Que Daim memendam perasaan cinta terhadap Nurliana. Namun Nurliana bukan gadis lain yang senang untuk dia dapat sekelip mata. Cintanya ditolak dan sungguh tragik.

Malah pada masa yang sama, Nurliana juga banyak bermain dengan emosi kerana dalam dilema berdepan dengan kemelut kehidupan serta memilih dua lelaki yang hadir.

ANTARA babak lakonan dalam filem SYS.
ANTARA babak lakonan dalam filem SYS.

Filem ini mengambil lokasi di sekitar Jelebu, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Kuala Lumpur. Aaron turut menjelaskan, filem arahannya itu menyerlahkan kelainan tersendiri. Kebimbangan tetap berlegar di fikiran Aaron kerana menggunakan formula dan konsep lain, sekali gus menanti debaran bagaimana penerimaan penonton yang selama ini lebih disajikan dengan genre serta formula yang sama.

AARON Aziz juga bertanggungjawab sebagai pengarah untuk filem SYS.
AARON Aziz juga bertanggungjawab sebagai pengarah untuk filem SYS.

"Sebagai pengarah, saya melihat gandingan kami (dengan Nora) sebagai sesuatu yang segar. Sudah tentu mana-mana produksi mengharapkan gandingan yang dipilih akan disukai penonton.

"Ia antara satu perkara penting yang sering difikirkan pengarah apabila menghasilkan sesebuah cerita. Saya yakin dan optimis, gandingan segar ini akan diterima.

"Genre yang diketengahkan ialah kisah cinta tragik dan bukan kisah cinta yang selalu kita tonton. Memang tak ada babak cinta yang comel antara kami. Apa yang cuba ditonjolkan mempunyai metafora. Ia sangat simbolik.

"Watak Que Daim sendiri yang saya bawakan ibarat beluncas. Orang akan sentiasa nampak keburukan pada dirinya dek skeptikal dan persepsi negatif. Jika hari-hari dipandang negatif, maka negatiflah jadinya. Maka itu timbul judul kepada filem ini sendiri iaitu Sayu Yang Syukur," katanya.

AARON Aziz melihat cubaan mengarah filem kedua sebagai satu peluang untuk memperbaiki dan mencabar diri melakukan perkara di luar kebiasaan.
AARON Aziz melihat cubaan mengarah filem kedua sebagai satu peluang untuk memperbaiki dan mencabar diri melakukan perkara di luar kebiasaan.

Ditanya mengenai percubaan keduanya mengarah filem, Aaron melihat peluang dan kesempatan indah ini untuk terus memperbaiki dirinya menjadi lebih baik sekali gus mencabar diri melakukan perkara di luar kota mahupun kebiasaan diri. Tiada alasan buat dirinya untuk menolak peluang mengarah ini. Baginya, kegagalan mengarah pertama kali bukan alasan untuk tidak mengarah lagi.

Kegagalan lalu harus dijadikan pengalaman dan semangat untuknya terus menggilap bakat sebagai pengarah. Beberapa faktor juga dilihat menjadi penyumbang kenapa filem Romeo Kota gagal menarik penonton ke panggung. Barangkali faktor tidak kena masa mungkin menjadi faktor sambutan terhadap filem pertama arahan aktor tampan, Aaron Aziz agak hambar.

Dengan kesedihan tragedi menimpa pesawat penerbangan Malaysia MH370 dan MH17 belum reda, ditambah pula nahas pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia dan banjir besar di Pantai Timur, tidak mungkin peminat di seluruh negara berduyun menonton filem Romeo Kota yang diterbitkan Excellent Pictures.

"Pengalaman pertama mengarah filem itu dijadikan azimat untuk saya terus menguji diri. Alhamdulillah sekali lagi saya diberi peluang untuk mengarah. Kali ini lebih dengan cara yang tertib. Dari awalan hinggalah kesudahan filem ini, saya terbabit. Saya diberi kuasa dalam menentukan skrip, praproduksi dan sehinggalah ke penggambaran.

"Setakat ini saya sangat berpuas hati dan memanjat kesyukuran dengan apa yang dilakukan sepanjang penggambaran berlangsung. Sekarang tumpuan dan cabaran saya kepada proses penyuntingan pula. Harap-harap tak ada footage yang korup. Penggambaran mengambil masa dalam masa 25 hari.

"Terima kasih juga kepada tenaga pelakon yang menerima tawaran saya seperti Nora Danish, Arja Lee, Raja Ema, Datuk Tarmimi Siregar, AR Badul, Dira Abu Zahar dan Sari Yanti. Semua mereka termasuk krew sangat membantu dan memberi sokongan," katanya.

Hakikat berada di kerusi pengarahan bukan perkara mudah yang disangka. Tambah pula kepada sesiapa yang tidak mempunyai latar belakang atau ilmu mengarah dengan betul, kerja mengarah itu satu tanggung jawab dan amanah besar. Skeptikal pelakon terjun ke kerusi pengarah juga sering kedengaran dan ada yang masih was-was dengan mereka.

Tetapi ada yang membuktikan status pelakon bergelar pengarah juga harus diberi perhatian besar. Aaron sendiri melihat kepercayaan yang diberi sebagai ukuran untuk dirinya meneroka pengalaman baharu dan ia dilakukan demi mengejar impian yang dipendam selama ini. Jadi sejauh mana seriusnya, Aaron untuk bergelar pengarah?

AARON Aziz pernah mengarahkan filem pendek, iklan komersial, telefilem dan video muzik.
AARON Aziz pernah mengarahkan filem pendek, iklan komersial, telefilem dan video muzik.

Memang sejak dahulu lagi saya suka mengarah. Saya pernah mengarahkan filem pendek, iklan komersial, telefilem dan video muzik. Cuma untuk perspektif filem, skalanya lebih besar. Selama ini kita mengarah dengan duit sendiri tetapi kini ia dibikin atas pelaburan duit orang yang pastinya mengharapkan keuntungan.

"Jadi saya harus serius dengan serba serbi yang dilakukan termasuk hal membabitkan pengarahan ini. Bukan nama saya sahaja yang memikul tanggung jawab melunaskan filem ini. Semua yang berkaitan memainkan peranan penting dan berfungsi. Kalau saya rosakkan usaha semua yang diberi untuk filem ini sebanyak 250 peratus, umpamanya saya akan sia-siakan segala-galanya," katanya.

Pertemuan dengan Aaron baru-baru ini ketika bertemunya di Lakesight, Plaza Kelana Jaya ketika berlangsungnya majlis berbuka puasa dan majlis keraian drama Dan Calonnya Adalah 2 disiarkan menerusi portal Tonton (www.tonton.com.my), si kacak ini turut ditanya mengenai gandingan sulungnya dengan Zara Zya yang dilihat berjaya mencipta gandingan baru yang diminati.

AARON Aziz bersama Zara Zya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
AARON Aziz bersama Zara Zya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Dia (Zara) sangat senang untuk bekerjasama dengannya. Muka dia nampak bengis dan garang tapi tak pun sebenarnya. Dia pelakon baharu yang sedang meningkat naik. Dia juga pelakon baru yang tak perasaan diva yang memerlukan pelakon lama daripadanya seperti saya untuk berlagak diva juga. Kalau dia kekalkan prestasi dan sikap yang sama...terus merendah diri, dia boleh pergi jauh," katanya.

Ramadan tahun ini juga, Aaron terpaksa melanggar prinsipnya selama ini yang lebih banyak memperlahankan rentak kerjaya seni ketika menyambut puasa kerana akan berlakon dengan sebuah filem aksi di Hong Kong. Dia akan terbang ke Hong Kong pada 29 Jun ini dan kembali ke tanah air dua hari sebelum Syawal menjelma.

"Sebelum ini saya pernah berlakon pegang watak penjahat untuk sebuah filem dari Hong Kong berjudul Special Female Force, tetapi sekadar memegang peranan kecil dan melakonkan beberapa babak saja. Ketika itu saya menjalani penggambaran dua hari di Hong Kong dan seminggu di Malaysia. Alhamdulillah menerusi kenalan dan rangkaian yang sama dari filem itu, saya ditawarkan berlakon kali ini pula.

"Kali ini, ada sebuah produksi di Hong Kong yang menawarkan saya watak pelakon pembantu pula. Inilah peluang saya untuk mengetengahkan bakat lakonan ke peringkat antarabangsa. Cuma penggambaran berlangsung di bulan Ramadan. Saya kena ikut jadual mereka. Ia cerita aksi dan judulnya dalam bahasa Cina," katanya.

Info Aaron Aziz

* Mula aktif berlakon sejak 2001 di Singapura lagi dan kemudiannya melebarkan sayap ke Malaysia

* Turut menjalankan perniagaan kafe, Kidz & Creme yang mula beroperasi sejak pertengahan tahun 2014 di Setia Alam, Shah Alam

* Nama sebenar beliau ialah Aaron Mustapha Aziz

* Pernah menjadi pengacara Fear Factor Selebriti Malaysia

* Aaron berkahwin dengan Diyana Halik sejak 12 tahun lalu dan mempunyai tiga cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 10; Dwi Ariana, 8, dan Dahlia Arissa, 4.

Berita Harian X