Rabu, 24 Jun 2015 | 12:28am

Manuskrip lama dedah kehebatan bangsa

ANTARA yang dipamerkan pada Pameran Manuskrip Melayu ialah Hikayat dan Hakikat Keilmuan Sains Teknologi Alam Melayu di Muzium Warisan Melayu UPM. - Foto Saifullizan Tamadi
ANTARA yang dipamerkan pada Pameran Manuskrip Melayu ialah Hikayat dan Hakikat Keilmuan Sains Teknologi Alam Melayu di Muzium Warisan Melayu UPM. - Foto Saifullizan Tamadi

KEBIJAKSANAAN Melayu hanya dapat diketahui sekiranya kita mengkaji manuskrip lama yang sarat dengan khazanah keilmuan. Ia juga mendedahkan sifat intelektual orang Melayu yang menguasai pelbagai bidang utama, termasuk sains dan teknologi.

Pemikiran condong ke Barat perlu dihakis terutama dalam memandang rendah terhadap bangsa sendiri sedangkan banyak bukti berupa penemuan manuskrip dan artifak berusia berabad lalu menunjukkan kehebatan bangsa Melayu.

Pengarah Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Pauzi Abd Latif, berkata penganjuran Pameran Manuskrip Melayu: Hikayat dan Hakikat Keilmuan Sains Teknologi Alam Melayu bertujuan membuka mata masyarakat untuk melihat sendiri kelebihan orang Melayu khususnya dalam bidang sains.

"Semua manuskrip, alatan lama dan artifak dalam pameran ini ialah milik Muzium Warisan Melayu UPM yang didapati hasil usaha keras kami, termasuk mendapatkannya daripada pengumpul koleksi sejarah dan pergi sendiri ke lokasi yang dipercayai mempunyai bahan berkenaan.

"Malah, koleksi manuskrip yang ada adalah edisi tunggal yang hanya boleh didapati di muzium ini, bahkan nilai keseluruhannya mencecah RM500,000, sekali gus membuktikan penting dan berharganya bahan ini," katanya.

Menyentuh mengenai koleksi manuskrip lama pada pameran itu, Muhammad Pauzi berkata, ia meliputi pelbagai bidang ilmu, termasuk ilmu hisab, pelayaran dan perubatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat pada abad ke-17 hingga ke-19 Masihi.

"Ia ditulis oleh tokoh terkenal seperti Tok Pulai Condong dari Kelantan; Tok Ku Paloh (Terengganu) dan Syeikh Omar Basheer al-Khalidi (Pulau Pinang).

"Ilmu persenjataan orang Melayu juga tidak kurang hebatnya walaupun kita tidak ada senapang yang canggih tetapi alat seperti keris, pemuras, meriam, terakol, tombak dan lembing sentiasa ada dalam genggaman pejuang Melayu silam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mempunyai manuskrip tulisan ulama terkemuka di Kelantan, iaitu Abdul Samad Faqih Abdullah pada abad ke-19 Masihi yang juga satu-satunya manuskrip lama menceritakan teknik pembuatan keris Hang Tuah dan Hang Jebat.

"Melalui manuskrip ini, pengarangnya memberitahu nama keris Hang Jebat sebagai 'Pengkarang' yang setahu saya tidak pernah disebut dalam mana-mana manuskrip lama yang lain," katanya.

DATUK Aripin Said giat memperkenalkan seni nazam dan berzanji kepada generasi muda supaya ia terus diwarisi. - Foto Saifullizan Tamadi
DATUK Aripin Said giat memperkenalkan seni nazam dan berzanji kepada generasi muda supaya ia terus diwarisi. - Foto Saifullizan Tamadi

Tambahnya, keris Sundang Panglima Muar yang boleh berdiri tegak tanpa perlu dipegang juga antara kebijaksanaan ilmu sains dalam masyarakat Melayu ketika itu yang mahir dalam mencari titik graviti tanpa perlu membaca sebarang jampi serapah.

Muzium Warisan Melayu yang tampil dengan slogan Ketamadunan Melayu Bermula Di Sini turut mempamerkan manuskrip yang tidak kurang menarik seperti Peraturan Bermain Football oleh Raja Ahmad Raja Musa yang ditulis pada tahun 1911 dan Kitab Tib oleh Sheikh Omar Basheer al-Khalidi di Pulau Pinang pada abad ke-19.

Selain itu, peminat rumah Melayu lama turut berpeluang menjejakkan kaki dan melihat sendiri seni pertukangan serta keindahan binaan. Antaranya, rumah Terengganu yang berusia hampir 150 tahun serta rumah Negeri Sembilan yang dibina sekitar 1920-an yang terletak bersebelahan dengan Muzium Warisan Melayu.

Berita Harian X