Isnin, 1 Jun 2015 | 12:03am

SIRI MISTERI: Kubur usang di dasar Tasik Pedu

KEINDAHAN Tasik Pedu. - Foto NSTP
KEINDAHAN Tasik Pedu. - Foto NSTP

SEKITAR Ogos tahun 2005, rahsia besar yang tersembunyi di dasar Tasik Pedu, Kedah, sejak lebih 42 tahun lalu terbongkar dan memberi kejutan kepada banyak pihak.

Sebelum itu, tiada siapa menyangka di sebalik ketenangan air empangan berkenaan yang berkeluasan sekitar 52 kilometer persegi dengan kedalaman kira-kira 60 meter, 'tersembunyi' rahsia yang terpendam selama puluhan tahun.

Rahsia itu terbongkar apabila kemarau panjang yang melanda negeri di utara tanah air itu menyebabkan air empangan berkenaan mulai susut yang menjadikan beberapa kawasan yang dahulunya ditenggelami air bertukar daratan apabila air mulai kering.

Ketika fenomena alam ini menimpa tasik berkenaan, sekumpulan pemancing yang pada suatu hari memasuki kawasan tasik itu ketika hari kian gelap, secara tidak sengaja menjumpai ratusan kubur lama dan batu nisan yang masih teguh berdiri.

Kumpulan pemancing berkenaan dikatakan baru selesai memancing dan sedang mencari batu untuk dijadikan pelapik bagi memasak untuk makan malam mereka. Mereka kehairanan kerana menemui banyak batu di kawasan itu dan selepas diteliti cara susunan batu itu, mereka terkejut dan mula menyedari kawasan yang dipilih sebagai tempat berehat mereka senja itu adalah kawasan perkuburan usang.

Kawasan perkuburan berkenaan dipercayai berusia lebih 200 tahun dan ia tidak kelihatan sebelum ini berikutan paras air empangan itu tidak pernah susut.

Ketika air empangan penuh, kawasan perkuburan seluas kira-kira 0.8 hektar yang terletak di bahagian barat daya dan kira-kira satu kilometer dari tebing tasik, berada pada kedalaman kira-kira 45 meter.

Ketika ditemui, kebanyakan kubur didapati masih berada dalam bentuk asal, malah batu nisan yang ditanam masih teguh berdiri walaupun sudah berpuluh tahun ditenggelami air. Kubur yang ditemui pula adalah dalam saiz yang pelbagai, berkemungkinan kawasan kubur itu menempatkan jenazah golongan dewasa dan kanak-kanak.

Susulan itu, Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) membuat tinjauan dan mendapati kira-kira 380 kubur orang Islam di tapak perkuburan lama itu. Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk kubur yang tidak ditemui kerana ditenggelami air di kawasan lain sekitar tasik, termasuk di lokasi paling dalam tasik berkenaan dan berdekatan pintu pelepasan air empangan.

Pada mulanya, MAIK mengambil keputusan untuk memindahkan kawasan perkuburan berkenaan, bagaimanapun ia dibatalkan.

Penemuan kubur di dasar Tasik Pedu itu menyebabkan ramai pihak tertanya-tanya akan sejarah kubur berkenaan, lebih-lebih lagi ia ditemui dalam jumlah yang banyak.

Berikutan itu, sejarah kawasan Tasik Pedu mula dirungkai bagi mencari jawapan pasti. Difahamkan, sebelum empangan itu dibina pada tahun 1963, kawasan sekitar tasik itu adalah hutan dan tiada penempatan manusia. Bagaimanapun, lama sebelum itu, kawasan berkenaan dipercayai pernah menjadi penempatan penduduk dan wujud beberapa kampung di situ, antaranya Kampung Mong Gajah yang menjadi lokasi penemuan ratusan kubur usang berkenaan.

Diceritakan, pada zaman dahulu, orang Islam dari Pattani, Thailand, yang ingin menunaikan ibadat haji akan melalui kawasan empangan berkenaan untuk ke Pulau Pinang. Dari Pulau Pinang, mereka menaiki kapal laut ke Makkah

Menurut cerita beberapa penduduk tempatan, berikutan kawasan berkenaan menjadi laluan jemaah haji, ia kemudiannya diterokai lima beradik dari Pattani lebih 100 tahun lalu.

Lima beradik itu ialah Pedu, Gube, Laso, Labo serta Gulau dan nama kawasan yang diteroka sekitar empangan itu dinamakan sempena nama mereka. Bagaimanapun, semua penempatan sekitar Pedu, Labo dan Laso dipercayai mula ditinggalkan pada tahun 1948 berikutan kawasan berkenaan menjadi 'kawasan hitam' iaitu lokasi sasaran komunis pada zaman itu.

Akhirnya, kawasan yang ditinggalkan itu mula usang dan menjadi hutan sebelum ditenggelami air apabila Empangan Pedu dibina. Air dari Empangan Pedu digunakan untuk membekalkan air ke kawasan sawah sekitar Kedah.

Berita Harian X