Khamis, 28 Mei 2015 | 12:27am

Mawar Rashid lemah semangat gara-gara GST


KECOH seketika nama Mawar Rashid, baru-baru ini. Semuanya gara-gara gadis manis ini tidak dapat menjawab secara tepat apa itu maksud Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Rakaman video ketidakpekaan Mawar terhadap isu semasa itu menjadi viral, malah beliau turut dihentam teruk kerana hal berkenaan. Ramai menyifatkan gadis ini hanya memiliki wajah cantik dan pengikut ramai di laman Instagram tetapi tidak peka dengan isu semasa.

Pelakon, Sharnaaz Ahmad sendiri terpanggil berkongsi komen di laman Facebook miliknya dan seakan menempelak Mawar dengan menulis "Apa yang kau orang cuba lahirkan di dalam industri? Jangan salah faham. Tapi ini agak sedih kalau bawa masuk ke dalam industri. Muka cantik tetapi pendidikan 'out'. Belajar dulu adik, baru fikir kemasyhuran."

Kesempatan bertemu pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, baru-baru ini, ketika berlangsungnya tayangan episod akhir Dewi Remaja 2014/2015, gadis berusia 20 tahun ini mengakui kehidupannya sedikit terjejas dengan peristiwa itu.

MAWAR bersama juara Dewi Remaja Raysha Rizrose.
MAWAR bersama juara Dewi Remaja Raysha Rizrose.

"Sejujurnya, saya memang patah semangat dek kontroversi berkenaan. Itu saya tak nafikan. Untuk orang baharu dan mentah seperti saya melalui perkara sebegitu, ia sangat menggerunkan. Daripada isu itu, orang mula mengandaikan saya tak berapa pandai. Saya bangkit dan pulih semangat semula dalam tempoh seminggu selepas kontroversi itu.

"Saya ambil dan pandang apa yang terjadi itu dari sudut positif. Saya tak mahu terus larut dengan keadaan sebegitu. Saya tak mahu kontroversi itu terus menghantui dan memberi kesan dalam hidup. Apa yang terjadi atas khilaf saya sendiri. Salah saya sendiri kerana tak peka isu semasa. Selepas ini, saya akan mempersiapkan diri dari sudut fizikal dan mental sebelum berdepan dengan apa sahaja kemungkinan.

"Kritikan yang diterima saya akan jadikan ruang untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri. Insya-Allah saya masih hijau dalam dunia seni ini. Saya akan terus kuatkan diri dalam meneruskan laluan seni ini. Saya tak boleh bersikap sambil lewa dan acuh tak acuh lagi selepas ini. Salah cakap, pasti saya akan pantas dihukum. Tak nak salah cakap dan bual lagi," katanya, yang juga seorang daripada lima finalis Dewi Remaja 2014/2015.

Hakikatnya, Mawar popular sebelum waktunya. Mawar sebelum ini pernah mencetuskan fenomena tersendiri apabila memuat naik video telatah cucu di laman Keek. Biar ada yang menyifatkan video yang dimuat naiknya bersifat bodoh, Mawar perlahan demi perlahan mengumpul peminat dan tak kurang juga pembencinya.

"Alhamdulillah, apa juga pandangan orang terhadap diri ini, saya sedar kita tak mampu memuaskan hati semua. Selepas menyertai Dewi Remaja, memang tak dinafikan ramai yang kenal saya. Tapi saya masih hidup seperti biasa. Cuma bezanya, sekarang ada tawaran berlakon yang datang. Saya tak tolak rezeki dan kini sudah mula menjalani penggambaran drama Puasa Oh Puasa untuk Astro Ceria.

"Kalau ada yang cakap saya popular sebelum waktunya, itu terserah dan ikutlah pandangan masing-masing. Tapi saya lihat ia kelebihan untuk diri sendiri. Malah, saya sangat menghargai peminat dan pengikut yang selama ini menyokong. Kerana mereka semualah saya ada di sini. Semua ini rezeki buat saya. Alhamdulillah," katanya sambil memberitahu ketika isu GST panas diperkatakan, pengikutnya di laman Instagram naik 10,000 dalam masa tiga hari.

Kini, Mawar sedang membiasakan diri melalui dunia glamor. Cuma dia berharap tidak hanyut dengan kemasyhuran yang baharu bermula. Dia mahu terus istiqamah dan berpijak di bumi nyata. Tingkah laku dan tutur kata harus dijaga sewajarnya.

Seperti kebanyakan selebriti dan artis tanah air yang menjadikan dunia seni sebagai batu loncatan untuk menceburi bidang lain, termasuk perniagaan, Mawar juga mahu memanfaatkan segala peluang dan rezeki di depan mata.

Selain berlakon, Mawar juga mahu mencuba nasib sebagai pengacara. Dia pernah menjadi hos di samping Elfira Loy untuk program The Bucket List di TV9 sebelum ini. Begitu juga dalam cabang perniagaan. Perniagaan kecil-kecilan menjual kanta lekap akan diperluaskan.

"Biarpun tak menang Dewi Remaja, saya percaya ruang dan peluang itu akan ada di depan mata. Untuk sampai ke tahap ini pun sudah memadai dan saya kena kerja kuat lagi untuk berjaya," katanya.

SELAIN berlakon, Mawar juga mahu mencuba nasib sebagai pengacara.
SELAIN berlakon, Mawar juga mahu mencuba nasib sebagai pengacara.

Info Mawar Rashid

  • Nama penuh: Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid
  • Dilahirkan pada 3 April 1995
  • Asal: Kelantan
  • Memenangi kategori Dewi Kegemaran pada pertandingan Dewi Remaja 2014/2015, yang ditentukan 100 peratus

    daripada undian peminat melalui laman sesawang rasmi

  • Akaun Instagram Mawar mencecah 274,000 pengikut
Berita Harian X