Ahad, 24 Mei 2015 | 12:02am

Generasi muda pertahankan tarian ngajat

NGAJAT menambah keunikan masyarakat Iban. - Foto Khalid Latip
NGAJAT menambah keunikan masyarakat Iban. - Foto Khalid Latip

TARIAN ngajat sudah cukup sebati dengan kehidupan masyarakat Iban di Sarawak, malah turut menjadi sebahagian identiti etnik itu.

Diwarisi sejak turun-temurun, penggunaan kostum tradisi menarik setiap kali tarian ini dipersembahkan dengan alunan pelbagai peralatan muzik tradisi seperti gong, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sape, ia kelihatan begitu unik, terutama di kalangan pelancong asing.

GONG, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh merupakan antara alat muzik penting dalam persembahan ngajat. - Foto Khalid Latip
GONG, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh merupakan antara alat muzik penting dalam persembahan ngajat. - Foto Khalid Latip

Dalam kalangan masyarakat Iban, ngajat adalah sebahagian tradisi terpenting mereka, yang bukan sahaja dipersembahkan setiap kali tiba Hari Gawai, malah untuk menyambut kehadiran tetamu, terutama ketika berlangsungnya sesuatu acara atau majlis rasmi.

Bagi Penghulu Bidai Gisang, tidak lengkap sambutan Hari Gawai atau sesuatu majlis yang dianjurkan tanpa persembahan tarian tradisi itu, malah ia seolah-olah sudah menjadi satu kewajipan sejak berzaman.

PERSEMBAHAN tarian ngajat yang merupakan tarian tradisional yang dulunya hanya dapat dinikmati ketika perayaan Gawai dan musim menuai. - Foto Khalid Latip
PERSEMBAHAN tarian ngajat yang merupakan tarian tradisional yang dulunya hanya dapat dinikmati ketika perayaan Gawai dan musim menuai. - Foto Khalid Latip

"Kebanyakan anak muda Iban hari ini boleh menguasai tarian ini dengan baik kerana mereka sudah terbiasa sejak kecil.

"Ia diperturunkan dari generasi ke generasi, menjadikan Ngajat tidak pernah lapuk ditelan zaman.

"Bagi masyarakat Iban, kami cukup bangga mempersembahkan tarian kepada orang luar yang berkunjung ke rumah panjang kami. Ia bukan sekadar tanda hormat dan meraikan tetamu, malah sebahagian daripada inisiatif kami memperkenalkan budaya Iban kepada mereka," katanya.

NGAJAT berjaya menambat hati pengunjung. - Foto Khalid Latip
NGAJAT berjaya menambat hati pengunjung. - Foto Khalid Latip

Bidai berkata, memang secara umumnya, masyarakat mengenali ngajat hanya sebagai tarian tradisional, namun tidak ramai mengetahui warisan kesenian dan kebudayaan itu terbahagi kepada beberapa kategori, dengan setiap satunya mempunyai makna tersendiri dan dipersembahkan dalam acara tertentu sahaja.

"Ngajat dipersembahkan dalam sambutan Hari Gawai sebagai simbol kesyukuran. Ngajat Bunuh lazimnya dipersembahkan oleh kaum lelaki sebagai simbolik menghadapi musuh dan memburu,, manakala Ngajat Induk dipersembahkan golongan wanita yang memaparkan kelembutan dan kehalusan seni budaya serta adat istiadat kami.  

AKSI penari lelaki dan wanita dalam satu acara keramaian. - Foto Khalid Latip
AKSI penari lelaki dan wanita dalam satu acara keramaian. - Foto Khalid Latip

"Begitu juga Ngajat Lesong, Ngajat Ngalu Temuai, Ngajat Pua Kumbu dan Ngajat Kuta, setiap satunya mempunyai formasi gerakan tersendiri dan maksud yang tersirat serta menggambarkan aktiviti rutin kaum Iban," katanya.

Ketua Jawatankuasa Sukan dan Hiburan Rumah Panjang Bani Nga Entabai Julau, Patrick Tidat, berkata arus pemodenan turut mempengaruhi perubahan semasa tarian tradisional berkenaan.

SAMBUTAN gawai di Sarawak cukup unik melambangkan perpaduan antara pelbagai kaum. - Foto Khalid Latip
SAMBUTAN gawai di Sarawak cukup unik melambangkan perpaduan antara pelbagai kaum. - Foto Khalid Latip

Tarian itu pula dulunya hanya dapat dinikmati ketika Hari Gawai dan musim menuai, namun kini sudah diperkembangkan untuk memperkasakan sektor pelancongan negeri, selain membantu mempromosikan budaya masyarakat Sarawak.

"Ngajat menjadi salah satu daya tarikan pelancong untuk ke Sarawak. Sebagai generasi pewaris, kami bangga kerana semakin ramai anak muda mempelajari tarian ini, malah ia turut dipersembahkan oleh kaum lain. Ini jelas membantu usaha pemuliharaan warisan kesenian dan kebudayaan kami itu," katanya.

SEMAKIN ramai anak muda mempelajari tarian unik ini. - Foto Khalid Latip
SEMAKIN ramai anak muda mempelajari tarian unik ini. - Foto Khalid Latip

Bagi penggiat seni, Regina Inpa, 22, dari Mupong, Bintangor, penari lelaki mengenakan kostum tradisi seperti topi burung kenyalang, tajai dan ruai yang melambangkan kepahlawanan.

Sebagai aksesori tambahan katanya, mereka akan mengenakan simpai (gelang), langgu (subang), sirat, baju burung, gagong, pedang atau ilang dan terabai.

"Hiasan kepala bagi penari wanita mengandungi motif tertentu, selain melambangkan keindahan flora dan fauna di Sarawak. Gagong pula pakaian pahlawan atau penari lelaki yang dibuat daripada kulit haiwan. Penari lelaki memakai kain merah yang diikat pada bahagian pinggang hingga ke paras lutut selain topi yang dihias dengan bulu burung.

BUSANA tari yang digunakan dalam setiap persembahan. - Foto Khalid Latip
BUSANA tari yang digunakan dalam setiap persembahan. - Foto Khalid Latip

"Bagi penari wanita pula, mereka menggunakan kain kebat, tangu, rawai, sugu tinggi, enyawil. Setiap pakaian pula boleh mencecah harga sehingga RM2,000. Kain pua kumbu yang digunakan pula ditenun melalui proses yang cukup teliti bagi memastikannya berkualiti tinggi.  

"Keindahan Ngajat bukan sahaja membezakan kami dengan suku kaum lain di Sarawak, malah menambah nilai keunikan tradisi masyarakat Iban yang sememangnya terkenal dengan keajaiban dan mistik tersendiri," katanya.

SEMAKIN ramai anak muda mempelajari tarian unik ini. - Foto Khalid Latip
SEMAKIN ramai anak muda mempelajari tarian unik ini. - Foto Khalid Latip

INFO

  • Ngajat adalah simbol kebudayaan utama di kalangan masyarakat Iban yang diwarisi turun-temurun
  • Terbahagi kepada lima kategori tarian - Lesong, Ngajat Bunuh, Ngajat Induk, Ngajat Ngalu Temuai, Ngajat Pua Kumbu dan Ngajat Kuta
  • Perhiasan kepala disebut `Sugu Tinggi' manakala set pakaian wanita dipanggil `Ngepan Iban'
  • Setiap rentak yang dimainkan bersesuaian dengan upacara dianjurkan
  • Antara peralatan muzik digunakan ialah gong, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sape

Berita Harian X