Ahad, 17 Mei 2015 | 12:08am

Ketandusan buku ilmiah Malaysia

SAYED Munawar (kiri) bersama Mahadi (dua dari kiri), U-Wei (dua dari kanan) dan Razaisham (kanan) pada Wawancara Sofa Putih ITBM mengenai Filem/Teater Islamik Kontemporari: Orientasi Dakwah atau Keuntungan? di PWTC. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SAYED Munawar (kiri) bersama Mahadi (dua dari kiri), U-Wei (dua dari kanan) dan Razaisham (kanan) pada Wawancara Sofa Putih ITBM mengenai Filem/Teater Islamik Kontemporari: Orientasi Dakwah atau Keuntungan? di PWTC. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

BAGAIMANAKAH masa depan buku ilmiah di negara ini dan ke mana perginya ratusan profesor serta ribuan graduan yang dihasilkan saban tahun sehingga buku ilmiah sukar mendapat tempat di pasaran?

Apakah sarjana tidak menulis, manakala graduan pula tidak membaca, sekali gus menjadikan jualan buku ilmiah tidak mungkin semantap pasaran buku komersial?

Semua soalan itu mewarnai Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), yang berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sesi itu menggandingkan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), yang juga Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Saleeh Rahamad; Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Jeniri Amir dan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long.

Tanda tanya itu sudah dikesan seawal lontaran soalan pertama lagi yang bertanya apakah wujud pasaran untuk buku ilmiah di negara ini. Mohamad Saleeh mengakui semua perkara itu ada tetapi menganggap ia masih bergantung kepada pendekatan dan ketokohan penulis.

"Mungkin penulis ilmiah yang juga pensyarah universiti, bukunya selalu menjadi rujukan pelajar. Namun, cara pemasaran buku itu juga penting untuk membolehkan ia mendapat tempat di hati pembaca," katanya pada sesi yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar.

DR Jeniri Amir. - Foto Aziah Azmee
DR Jeniri Amir. - Foto Aziah Azmee

Jeniri pula mengingatkan buku ilmiah perlu dipasarkan bukan hanya sebagai buku untuk pelajar, bahkan sebagai buku umum.

"Kita ada 1.2 juta pelajar di negara ini, selain ribuan graduan yang dihasilkan setiap tahun sehingga buku tidak boleh dilihat sebagai khusus untuk pelajar.

"Saya percaya selagi anda belajar, masa depan buku ilmiah tetap ada. Pengalaman peribadi menghasilkan buku ilmiah adalah rujukan terbaik kerana setakat ini, tiada ada buku ilmiah yang saya tulis tidak laris," katanya.

Sementara itu, Ahmad Sunawari yang menyelenggarakan buku Falsafah Ibnu Khaldun terbitan ITBM berkongsi cara menjadikan sesuatu buku ilmiah boleh 'diterima' umum dengan menegaskan pengarang boleh mengangkat isu berat tetapi ia dijadikan lebih 'ringan' mengikut pendekatan yang ditulis.

Ahli panel optimis, lalu apa yang membimbangkan buku ilmiah dan masa depannya di negara ini? Wawancara Sofa Putih menjadi hangat apabila panel akhirnya mengakui meskipun masa depan buku ilmiah ada, ia belum cukup menjanjikan kerana tidak ramai pensyarah berminat untuk menghasilkan buku.

Dr Saleeh Rahamad. - Foto Aziah Azmee
Dr Saleeh Rahamad. - Foto Aziah Azmee

Mohamad Saleeh berkata, universiti tanah air masih dihambat 'gejala' jurnal kerana antara syarat yang digariskan untuk kenaikan pangkat ialah mesti menulis dalam jurnal antarabangsa.

"Kita kurang penulis, manakala tesis yang ada pula tidak layak terbit. Masalahnya, struktur dalam penulisan itu tidak dikuasai, selain kita berhadapan masalah kekurangan editor yang baik dan boleh menangani buku ilmiah," katanya.

Ahmad Sunawari menokok isu kekangan itu dengan mendedahkan kecenderungan profesor universiti menulis untuk pangkat semata-mata membahayakan dunia akademik kerana akan wujud kecenderungan tidak lagi menulis selepas mendapat kenaikan pangkat akibat beranggapan sudah berada di zon selesa.

"Menulis itu seperti menghasilkan filem dan lagu yang mesti datang dari hati. Kalau menulis untuk pangkat, kita akan berhenti sesudah dapat pangkat.

"Apa yang penting ialah kearifan tempatan dalam buku ilmiah sehingga tidak ada buku yang membincangkan kearifan tempatan iaitu falsafah Melayu. Tidak hairanlah, buku yang akan terus diperkatakan ialah Malay Dilema karya Tun Mahathir Mohamad dan Falsafah Takdir (Zaaba)," katanya.

Lebih membimbangkan lagi apabila Jeniri menambah satu lagi faktor yang membayangi masa depan buku ilmiah iaitu peminggiran bahasa kebangsaan di tanah air dalam konteks dunia akademik.

"Di ibu kota, banyak buku ilmiah yang dijual dalam Bahasa Inggeris sehingga susah untuk melihat karya berkenaan dalam bahasa kebangsaan.

Apatah lagi orang Malaysia tidak suka membaca buku dalam bahasa Melayu, manakala pensyarah universiti pula lebih gemar menggunakan buku rujukan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Justeru, di sebalik pandangan optimis ahli panel pada pembukaan sesi, masa depan buku ilmiah di negara ini tetap berdepan risiko kemungkinan bertambah malap sekiranya kerajaan tidak bertindak pantas untuk membantu penerbitan sedemikian.

Kemajuan dalam penerbitan buku ilmiah sebenarnya sama pentingnya dengan sektor lain yang turut mendapat lonjakan jauh seperti perbankan Islam dan penubuhan FELDA, yang boleh dianggap antara hasil daripada dasar pembangunan yang jauh lebih maju berbanding negara lain.

 DR Ahmad Sunawari Long. - Foto Aziah Azmee
DR Ahmad Sunawari Long. - Foto Aziah Azmee

Apatah lagi kemajuan dasar terbabit turut mendapat perhatian besar daripada dunia akademik tetapi apakah pencapaian yang dikaji itu hanya dibiarkan terperap dalam bentuk kajian sarjana atau doktor falsafah saja?

Sepatah kata Ahmad Sunawari sedikit menggusarkan, termasuk kepada khalayak sastera bukan sekadar buku ilmiah saja yang perlahan-lahan tenggelam di negara ini, bahkan juga karya sastera.

"Novel yang banyak di pasaran ialah novel popular. Bukan saja buku ilmiah yang kurang, bahkan novel yang berat isunya juga tidak mendapat perhatian," katanya.

Berita Harian X