Ahad, 10 Mei 2015 | 12:05am

Lumba haram merata tempat

 

KUALA LUMPUR: Hanya suka-suka, selain seronok beradu kemahiran memandu laju.

Itu alasan diberikan dua pelumba haram yang aksi mereka sempat dirakamkan BH, ketika tinjauan di Lebuhraya Besraya, awal pagi semalam.

Tidak menolak ditemuramah ketika berhenti di sebuah stesen minyak terletak di lebuh raya berkenaan, kedua-duanya yang mahu dikenali sebagai Amir, 27 dan Jabar, 24, mengakui tujuan berlumba hanya untuk keseronokan.

WARTAWAN BH menemubual seorang lelaki yang terbabit dengan aktiviti lumba haram. - Foto Asyraf Hamzah
WARTAWAN BH menemubual seorang lelaki yang terbabit dengan aktiviti lumba haram. - Foto Asyraf Hamzah

  Amir, pegawai bank dari Ampang, mengakui mengubah suai enjin dan ekzos kereta Toyota Vios TRD miliknya, untuk meningkatkan daya pecutan bagi tujuan berlumba.

  "Biasanya kami datang secara berkumpulan untuk berlumba, terutamanya malam minggu, sama ada berlumba sesama sendiri atau kumpulan kereta lain. Siapa nak berlumba, berlumbalah, biasanya secara suka-suka, tiada pertaruhan. Ia lebih kepada kepuasan diri sendiri," katanya selain memaklumkan lebuh raya itu antara lokasi kegemarannya untuk berlumba kerana laluan lurus sehingga enam kilometer dan mudah membuat pusingan U.

KERETA berlumba pada waktu malam di Lebuhraya Besraya. - Foto Zulfadhli Zulkifli
KERETA berlumba pada waktu malam di Lebuhraya Besraya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

  "Pada malam minggu, kami kena berhati-hati kerana ramai mat motor (penunggang motosikal) menggunakan laluan ini untuk berlumba. Kenalah pandai-pandai masuk (untuk berlumba). Pada malam minggu, suasana di sini sangat meriah kerana ramai yang akan datang menonton, kami jadi lebih syok berlumba," katanya lagi.

  Bagi Jabar pula, beliau suka menunjuk kehebatan memandu laju dengan pesaingnya kerana seronok apabila aksi mereka berlumba menarik perhatian ramai.

  "Seronok bila tengok ada penonton di kiri dan kanan jalan. Semangat berlumba meluap-luap kalau ada 'awek' yang menonton, lagi seronok nak tunjuk kita hebat. Ketika mula cuba berlumba dulu, memang ada rasa takut, tapi saya banyak menonton filem lumba kereta, saya belajar dari situ. Lama-lama jadi berani dan sekarang memandu laju dah jadi rutin walaupun ke lokasi dekat," katanya yang bekerja sebagai jurureka hiasan dalaman, yang menggunakan BMW 5 Series.

Jabar yang tinggal di Negeri Sembilan, sanggup memandu jauh ke lebuh raya berkenaan, semata-mata untuk berlumba terutama pada malam minggu.

Umpama litar perlumbaan, itulah gambaran paling tepat bagi pengguna yang melalui Lebuhraya Besraya sekitar Seri Kembangan dan Serdang, pada malam minggu serta cuti umum.

  Situasi itu dirasai di antara persimpangan Plaza Tol UPM dan Seri Kembangan, angkara aktiviti liar pemandu kereta dan penunggang motosikal.

  Tinjauan mulai jam 11 malam kelmarin hingga jam 3 pagi semalam, mendapati laluan itu sibuk dengan pelbagai kategori pemanduan secara berbahaya membabitkan pelesit jalanan yang datang dari merata tempat sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

AKSI berbahaya penunggang motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) yang dijadikan litar lumba terutama pada malam minggu atau cuti umum. - Foto Rasul Azli Samad
AKSI berbahaya penunggang motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) yang dijadikan litar lumba terutama pada malam minggu atau cuti umum. - Foto Rasul Azli Samad

GELAGAT penunggang motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) yang dijadikan litar lumba terutama pada malam minggu atau cuti umum. - Foto Rasul Azli Samad
GELAGAT penunggang motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) yang dijadikan litar lumba terutama pada malam minggu atau cuti umum. - Foto Rasul Azli Samad

  Sepanjang empat jam tinjauan di sebuah stesen minyak dekat Seri Kembangan, mendapati lokasi terbabit diselubungi deruman enjin kereta dan motosikal yang bakal beraksi.

  Lokasi sama menjadi titik pertemuan beberapa individu yang dikenal pasti sebagai ahli kelab motosikal dan kelab kereta, yang akan mengaturkan perlumbaan mengikut kategori pilihan sebelum mereka beraksi di Lebuhraya Besraya atau Lebuhraya PLUS.

  Antara kelab kereta yang dikesan berada di lokasi berkenaan adalah kumpulan pemilik PERODUA (Myvi dan Viva), PROTON (Iswara, Satria, Wira, Perdana dan Inspira), Honda (Civic dan City), Toyota (Vios), Nissan GTR dan BMW. 

  Bagi motosikal pula, perlumbaan membabitkan pelbagai model yang diubah suai dengan penunggang mewakili kelab tertentu terdiri daripada rakyat tempatan dan pekerja asing yang bekerja di kawasan perindustrian berhampiran.

  Antara lokasi perlumbaan dimulakan, termasuk Plaza Tol Sungai Besi sehingga Plaza Tol UPM; persimpangan lampu isyarat Plaza Tol UPM sehingga Stesen Komuter Serdang, selekoh Lebuhraya Besraya berhampiran Petronas sehingga Stesen Komuter Serdang serta laluan bertentangan.

  Kehadiran penonton di kiri dan kanan laluan Lebuhraya Besraya, yang menjadi tumpuan lumba haram itu umpama memberi galakan dan dorongan kepada penunggang motosikal dan pemandu kereta untuk terus melakukan aksi bahaya mereka.

Begitu juga suasana di sekitar Dataran Keretapi Tanah Melayu (KTM), Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Silibin, Meru Raya, Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Jelapang.

KIRA-KIRA 200 penunggang motosikal berkumpul membanjiri Jalan Jelapang, Ipoh untuk berlumba. - Foto Muhaizan Yahya
KIRA-KIRA 200 penunggang motosikal berkumpul membanjiri Jalan Jelapang, Ipoh untuk berlumba. - Foto Muhaizan Yahya

Golongan mat rempit atau samseng jalanan yang turut menggelar diri mereka kumpulan 'langgar langit' dan 'hati kering', terus menunjukkan taring beraksi di beberapa laluan sekitar bandar raya ini.

  Bermula kira-kira jam 11 malam, mereka berkumpul dalam kumpulan kecil di beberapa lokasi awam sebelum bergerak ke lokasi ditetapkan untuk perlumbaan haram. Kira-kira jam 3.15 pagi semalam, kira-kira 200 penunggang motosikal berkumpul dan membanjiri Jalan Jelapang sebelum memulakan aksi bahaya di laluan berkenaan. Mereka menggunakan laluan lurus sepanjang kira-kira 500 meter di situ untuk berlumba sebelum membuat pusingan U ke laluan bersebelahan bagi meneruskan aksi sama, termasuk dengan lagak ala Superman.

Tinjauan lebih dua jam di Jalan Pantai Lido di Johor Bahru mendapati laluan itu semakin `meriah' menjelang tengah malam. Suasana mulai bingit di laluan sepanjang tiga kilometer itu dengan deruman enjin motosikal yang tiba secara berkumpulan.

  Bergerak secara kumpulan atau sendirian, sebaik memasuki Jalan Pantai Lido, mereka mula memecut motosikal sehingga mengundang rasa kurang selesa kepada pengguna lain, lebih-lebih lagi jalan berkenaan menjadi laluan utama ambulans ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

`PELESIT' jalanan sedang beraksi di Jalan Pantai Lido, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
`PELESIT' jalanan sedang beraksi di Jalan Pantai Lido, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

  Di Kota Kinabalu, aktiviti lumba haram berpusat di Jalan Coastal bermula dari simpang lampu isyarat kompleks beli-belah Center Point ke simpang lampu isyarat Sutera Harbour Resort di Sembulan, dekat sini.

Tinjauan BH bermula jam 12 tengah malam hingga 3 pagi itu mengesan satu kumpulan motosikal disertai lima atau enam penunggang berlumba di laluan berkenaan, selain beberapa kereta dipandu laju beriringan sesama sendiri. Namun, aktiviti berbahaya itu berkurangan dipercayai disebabkan kehadiran kereta peronda polis yang beberapa kali melewati laluan berkenaan.

Berita Harian X