Isnin, 27 April 2015 | 12:14am

Malaysia tiada calon pemandu F1 berkaliber

TIADA calon yang benar-benar berkaliber.

Itu kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, mengenai pelumba dari Malaysia, yang boleh dianggap bersedia untuk beraksi di perlumbaan elit, Formula Satu (F1).

Selain itu, Razlan turut menegaskan antara perkara yang menjadi penghalang Malaysia untuk memiliki pemandu berlumba pada perlumbaan elit itu ialah kos yang diperlukan. Ia disifatkan sebagai 'amat mahal'.

KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Azhar Ramli
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Azhar Ramli

Malah, katanya, tiada siapa yang benar-benar boleh dipersalahkan, termasuk SIC sendiri seandainya Malaysia yang menganjurkan F1 sejak tahun 1999, gagal untuk mempunyai pelumba beraksi di perlumbaan berprestij itu ketika ini.

"Masalah F1 adalah kos. Ia terlalu mahal. Selain itu, langkah untuk seseorang pelumba itu beraksi sebelum ke F1 juga amat banyak. Ia tidak mustahil jika anda mempunyai duit. Jadi halangan nombor satu adalah kos. Malah, kita perlu faham untuk menguruskan pasukan kecil yang beraksi di belakang juga memerlukan kos sehingga 100 juta dolar (lebih RM300 juta).

"Jadi, susah buat kita sebagai (pengendali) litar untuk sokong perkara ini. Ia berbeza dengan Kejuaraan Dunia (MotoGP) kerana kelas ketiga iaitu Moto3, ia tidaklah terlalu mahal," katanya.

Mengulas mengenai pelumba yang Malaysia miliki ketika ini antaranya Jezeman Jaafar, yang berlumba dengan tajaan PETRONAS, Razlan menyifatkan ia bergantung kepada kemampuan pelumba itu sendiri.

Malah baginya, tiada sebab untuk syarikat gergasi petroleum negara itu meletakkan seorang pelumba negara beraksi di perlumbaan itu tanpa sebarang jaminan.

PEMANDU Program Pembangunan Petronas F3, Nabil Jeffri. - Foto Abdullah Yusof
PEMANDU Program Pembangunan Petronas F3, Nabil Jeffri. - Foto Abdullah Yusof

"Syarikat seperti PETRONAS, mereka ada pasukan sendiri, kewangan yang kukuh dan merekalah yang perlu memberi penekanan kepada perkara ini. Namun, kita perlu faham, mereka juga perlukan pelumba yang mampu memberi kejayaan, bukan hanya meletakkan pelumba saja. Jika tidak sudah lama mereka masukkan Jazeman.

"Mungkin Jazeman belum mendapat keputusan yang membolehkan PETRONAS letak dia di F1, jadi dia perlulah meningkat setiap tahun. Tidak banyak syarikat di negara kita yang boleh letak pelumba di F1 dan langkahnya juga terlalu banyak."

Selain Jazeman, Razlan turut menyifatkan seorang lagi pelumba negara yang berkemampuan beraksi di F1 ialah Nabil Jeffri, yang tahun ini beraksi di Kejuaraan Formula 3 Eropah.

Begitupun, sama seperti Jazeman, Nabil perlu terlebih dulu membuktikan dirinya sebelum mampu memancing pasukan ternama untuk menjadikannya pelumba F1.

Malah, seandainya mereka berjaya menjadi juara dalam kejohanan yang disertai, tiada kepastian mereka akan diberikan tempat untuk beraksi di F1.

Sekalipun menyifatkan perlumbaan F1 sebagai mahal, Razlan berkata, Malaysia pernah mempunyai peluang untuk mempunyai pasukan untuk beraksi di kejuaraan elit itu, namun melepaskannya.

KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Azhar Ramli
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Azhar Ramli

Sejak SIC siap dibina pada tahun 1999, Malaysia tidak pernah gagal menjadi penganjur perlumbaan F1 sehingga kini dan sekalipun dianggap negara kecil, terdapat tiga syarikat gergasi negara yang menjadi penaja utama pasukan beraksi.

Ketika itulah, kata Razlan, ia adalah peluang terbaik negara.

"Kita mempunyai peluang pada tahun 2010, yang mana ada tiga syarikat dari Malaysia yang menjadi penaja utama di F1. Kita memiliki Caterham, Lotus dan PETRONAS ketika itu dan peluangnya sudah ada. Jika kita guna semua sumber yang kita miliki, kita mungkin boleh mengambil alih pasukan pertengahan seperti Sauber ataupun Williams. Namun, peluang seperti itu sudah tidak ada.

"Saya pernah memberi cadangan ini untuk kita gabungkan segala sumber yang ada namun semuanya menolak dan mereka semua mempunyai agenda sendiri," katanya.

Mengulas pandangan yang menyebut SIC lebih kepada memberi tumpuan pada perlumbaan jentera dua roda, Razlan berkata, apa yang dilakukan pihaknya adalah untuk menyemarakkan kehadiran penonton ke SIC.

Ketika ini, SIC bersama Drive M7 menaja pasukan untuk berlumba di Kejuaraan Dunia Moto3 dengan meletakkan Muhammad Zulfahmi Khairuddin sebagai pelumba.

"Kita perlu lihat, litar mana di dunia yang mempunyai pasukan dalam F1? Tiada. Untuk pasukan di MotoGP, ada tiga, Qatar, Brno dan kita, SIC.

"Begitupun, objektif SIC berbeza. Kita tubuhkan pasukan untuk mempromosi acara dengan lebih berjaya dan untuk MotoGP, ia memang berjaya. Begitupun, berbalik kepada F1, ia terlalu mahal," katanya yang menyokong cadangan Malaysia memerlukan lebih banyak litar kekal berskala lebih kecil berbanding SIC.

PEMANDU Mercedes AMG Petronas Lewis Hamilton, pelumba Scuderia Ferrari, Sebastian Vettel dan Nico Rosberg pada perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia, di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan
PEMANDU Mercedes AMG Petronas Lewis Hamilton, pelumba Scuderia Ferrari, Sebastian Vettel dan Nico Rosberg pada perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia, di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan

Memegang tugas selaku CEO SIC sejak lapan tahun lalu, Razlan tidak pernah sesekali meletakkan sasaran bila Malaysia akan mempunyai pelumba di F1.

"Saya tidak pernah letak sasaran untuk letak pelumba F1 kerana faham ia terlampau mahal. Ketika Alex Yoong, saya tidak ingat bagaimana impaknya. Namun bagi saya, ketika itu dia masih belum bersedia dan kita mungkin hanya nak letak driver (pemandu). Tajaan ketika itu juga banyak," katanya.

Mengulas mengenai status kontraknya yang tamat Oktober ini,Razlan enggan mengulas lanjut dan menyerahkan segala-galanya kepada Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab memutuskan perkara terbabit.

"Perkara ini saya serahkan kepada Lembaga Pengarah SIC dan mereka akan beri cadangan kepada kepada Kementerian Kewangan. Jika mereka rasa saya buat kerja yang baik, mereka perlu memberi kepercayaan kepada saya," katanya yang mengakui kerjanya di SIC masih belum selesai terutama membabitkan pembangunan di litar kebanggaan negara itu.

Info menarik

- Pelumba terakhir negara dan tunggal beraksi dalam F1 ialah Alex Yoong pada musim 2001 hingga awal 2002.

- Pelumba kedua ialah Fairuz Fauzy, namun hanya beraksi pada sesi ujian pertama GP Malaysia pada 2012.

KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Azhar Ramli
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali. - Foto Azhar Ramli

BIODATA
Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali
Asal: Ampang, Selangor
Tarikh Lahir: 20 November 1972
Umur: 43 tahun
Status: Berkahwin

Anak: Empat orang

Berita Harian X