Ahad, 26 April 2015 | 12:06am
BONGKAH batu di kawasan tepi pantai yang menyerupai bentuk lembu. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BONGKAH batu di kawasan tepi pantai yang menyerupai bentuk lembu. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Batu berkaki tiga di Sandakan

KAWASAN terletaknya bongkah batu ini diwartakan sebagai taman warisan pada 2002. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KAWASAN terletaknya bongkah batu ini diwartakan sebagai taman warisan pada 2002. - Foto Poliana Ronnie Sidom

JALAN-jalan ke Sandakan, Sabah kurang lengkap jika tidak melihat sendiri Batu Sapi atau digelar batu berkaki tiga.

Ia antara ungkapan yang bakal anda dengar atau mungkin mahu mengetahui sendiri apabila berkunjung ke Sandakan, daerah di pantai timur Sabah yang terkenal sebagai tempat pemuliharaan Orang Utan di Sepilok dan menjadi pintu masuk ke destinasi eko pelancongan di negeri ini.

Batu Sapi adalah satu kawasan Parlimen dalam daerah Sandakan. Ia bukanlah bandar meriah tetapi kawasan perindustrian dengan sekelilingnya kilang dan hari ini, beberapa nama jalan, bulatan dan sekolah di kawasan itu turut menggunakan nama Batu Sapi.

PAPAN tanda menunjukkan bulatan yang mengambil nama sempena Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PAPAN tanda menunjukkan bulatan yang mengambil nama sempena Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Sebut namanya, pasti persoalan pertama terlintas adalah bagaimana ia diberi nama Batu Sapi dan keunikan di sebalik asal usulnya.

Menjadi mercu tanda utama daerah Sandakan sejak turun temurun, nama Batu Sapi berasal dari bongkah batu gergasi berbentuk seperti seekor sapi atau lembu dengan badan yang teguh berdiri di atas tiga kaki dan boleh dilihat dari teluk, kira-kira 12 kilometer dari bandar Sandakan.

Di sebalik kewujudan bongkah batu itu, ada beberapa mitos menceritakan bagaimana ia boleh berdiri kukuh di tepi muara laut itu.

Mengikut dongeng masyarakat setempat, asal usul tempat berdirinya Batu Sapi itu ialah sebuah perkampungan nelayan.

ANTARA perkampungan di atas air di kawasan Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ANTARA perkampungan di atas air di kawasan Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Kononnya suatu hari, seekor buaya besar berenang menuju ke kampung itu pada waktu Maghrib ketika seluruh penduduk berada dalam rumah.

Kebetulan pada waktu itu, seekor lembu jantan yang menyedari kehadiran buaya lantas terjun ke laut dan cuba melawannya hingga menarik perhatian seluruh orang kampung yang keluar menyaksikan kejadian aneh itu.

Ketika pertarungan semakin sengit, kedua-dua haiwan berkenaan disambar petir sebelum bertukar menjadi batu.

Penduduk Kampung Sundang, Mariani Saliman, 40, berkata mungkin kebenaran di sebalik mitos itu kerana jika diperhatikan ada satu struktur batu berbentuk buaya pada kaki batu berbentuk lembu tetapi hanya boleh dilihat ketika air surut.

"Ada juga yang kata sapi itu adalah seorang penduduk kampung yang dipanah petir kerana menderhaka kepada ibunya yang sakit. Sejauh mana kebenarannya, sukar dipastikan kerana ia cerita dongeng yang disampaikan nenek moyang.

"Apa yang pasti, kewujudan batuan ini cukup signifikan kepada penduduk setempat hingga digelar Batu Sapi," katanya.

ANTARA perkampungan di atas air di kawasan Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ANTARA perkampungan di atas air di kawasan Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Jolokan Bandar alam semula jadi

Dari segi geografi, Batu Sapi adalah formasi batuan atau batu tunggul yang terbentuk daripada runtuhan gerbang laut dan mengalami hakisan secara berterusan selama berjuta tahun.

Apa pun ceritanya, penduduk kawasan berkenaan boleh berbangga dengan kemajuan pesat Batu Sapi yang dulunya terkenal sebagai pengeluar kayu-kayan sebelum bertukar kepada hab perindustrian.

Jika dulu kilang pengeluar papan lapis tumbuh seperti cendawan sekitar 1980-an hingga awal 1990-an, keadaannya berubah hari ini dengan sebahagian besar beralih kepada pemprosesan minyak kelapa sawit.

ANTARA perkampungan di atas air di kawasan Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ANTARA perkampungan di atas air di kawasan Batu Sapi. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Bagaimanapun masih ada kilang yang beroperasi mengeluar kayu-kayan di Batu Sapi dalam skala sederhana dan kecil sehingga hari ini.

Sejajar kepesatan Parlimen itu yang mendapat jolokan bandar raya alam semula jadi, Batu Sapi turut serta dalam kemajuan itu menerusi pelbagai bentuk kemudahan prasarana dan infrastruktur.

Penduduk, Zainudin Salleh, 53, berkata keadaan itu merangsang pertumbuhan Batu Sapi dengan penyediaan pelbagai kemudahan terutama aspek pendidikan.

"Penduduk di sini rata-rata sudah beralih pekerjaan daripada nelayan kepada pekerja kilang dan kami berharap pembangunan rancak ini berterusan dan berupaya menjana ekonomi penduduk setempat serta generasi akan datang," katanya.

BANDAR Ramai-Ramai antara bandar satelit di kawasan Parlimen Batu Sapi yang menjadi tumpuan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BANDAR Ramai-Ramai antara bandar satelit di kawasan Parlimen Batu Sapi yang menjadi tumpuan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pantai indah di Bandar Ramai-Ramai

Dengan kepadatan lebih 30,000 penduduk, ia memiliki sebuah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, manakala lebih 10 sekolah rendah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Karamunting, SK Bahagia, SK Bandar Dua, SK Gas dan sekolah di pulau berhampiran.

Di Batu Sapi juga, terletak Bandar Ramai-Ramai iaitu antara bandar satelit di Sandakan, pantai pasir putih yang menjadi pusat rekreasi orang ramai selain pelabuhan Sandakan yang merancakkan lagi pembangunan kawasan berkenaan, sekali gus penjana peluang pekerjaan.

Kawasan terletaknya bongkah batu itu kemudian diwartakan sebagai taman warisan pada 2002.

GERBANG masuk ke Taman Warisan Batu Sapi di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
GERBANG masuk ke Taman Warisan Batu Sapi di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

FAKTA NOMBOR:

  • 12 kilometer dari bandar Sandakan
  • Lebih 30,000 penduduk Batu Sapi
  • Keluasan parlimen Batu Sapi ialah 1,318 kilometer persegi
  • Diwartakan sebagai taman warisan pada 2002

KAWASAN terletaknya bongkah batu ini diwartakan sebagai taman warisan pada 2002. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KAWASAN terletaknya bongkah batu ini diwartakan sebagai taman warisan pada 2002. - Foto Poliana Ronnie Sidom

INFO BONGKAH BATU SAPI:

  • Formasi batuan atau batu tunggul
  • Terbentuk daripada runtuhan gerbang laut dan hakisan selama jutaan tahun
  • Terletak berhampiran Kampung Gas, Sandakan
Berita Harian X