Sabtu, 25 April 2015 | 12:03am

Isteri tidak kongkong saya - Hisyam Hamid


KUALA LUMPUR: Kebarangkalian untuk mana-mana isteri berdepan ancaman bersuamikan lelaki kacak di arena dunia seni hiburan boleh berlaku. Tak mustahil pasti ada sekelumit perasaan cemburu. Tambahan pula isteri yang erat di sisi turut memikul tugas sebagai pengurus dalam memastikan kerjaya seni suami teratur dan lancar.

Di Malaysia, ramai artis tanah air yang menggunakan khidmat ahli keluarga termasuk suami dan isteri untuk memikul mandat sebagai pengurus. Aaron Aziz, Ifa Raziah, Anita Sarawak antara yang menggunakan insan tersayang ke sana ke mari dalam rutin seni. Hisyam Hamid juga tidak terkecuali memilih isterinya, Rosmawati Hanafi bertindak sebagai pengurus kerjaya lakonannya.

Ketika timbul isu isterinya bersikap lebih sudu daripada kuah, Hisyam, 30, dan isterinya tidak cepat melatah menangani perkara berkenaan. Tidak timbul dia dikongkong atau dicemburui isteri, sebaliknya Hisyam percaya Rosmawati sudah mula faham dengan rentak dunia seni dan apa yang dilakukan mereka berdua ialah demi meneruskan kelangsungan dalam hidup.

HISYAM bersama isteri yang erat di sisi turut memikul tugas sebagai pengurus dalam memastikan kerjaya seni suami teratur dan lancar. - Foto Nik Hariff Hassan
HISYAM bersama isteri yang erat di sisi turut memikul tugas sebagai pengurus dalam memastikan kerjaya seni suami teratur dan lancar. - Foto Nik Hariff Hassan

Tiada syarat

"Isteri tidak pernah menyimpan perasan cemburu terhadap saya. Dia faham dengan gelagat peminat yang tertarik untuk mendekati saya kerana kerjaya. Dia tak perlu melatah dalam hal ini dan percayakan saya. Dia yakin dan tahu saya dapat membezakan dan meletakkan garis sempadan dalam pergaulan. Asalkan tidak melampaui batasan, saya juga tahu posisi saya di mana.

"Isteri juga tidak pernah meletakkan syarat tertentu dan memadai jika saya tahu membawa diri ketika keluar bekerja. Dalam situasi tertentu, kami akan berbincang mengenai skrip tetapi saya memberinya kebebasan untuk memilih yang bersesuaian. Dia tahu batasan antara aspek profesionalisme dan peribadi," kata Hisyam.

HISYAM mula berlakon drama sejak usia 18 tahun tetapi namanya mula dikenali di Singapura beberapa tahun selepas itu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
HISYAM mula berlakon drama sejak usia 18 tahun tetapi namanya mula dikenali di Singapura beberapa tahun selepas itu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Tambah anak

Sejak Jun tahun lalu, pelakon kelahiran Singapura ini sudah menetap sepenuhnya di Malaysia bersama isteri tersayang. Cuma saat ini, dua anaknya masih berada di Singapura.

Walaupun berjauhan, andai ada kesempatan dan kelapangan masa, Hisyam dan isterinya pasti berulang alik dari KL ke Kota Singa untuk bertemu dua cinta hati mereka - Nurish Syameliah, 8, dan Hayden, 6.

Malah sempat diusik mengenai bila lagi anak mereka akan mendapat adik, Hisyam tersenyum.

"Soal tambah anak ini selalunya mula terdetik kalau saya ada penggambaran yang membabitkan anak kecil. Jadi mulalah timbul keseronokan dan perasaan ingin tambah anak. Tapi perasaan itu akhirnya berlalu pergi saja.

"Kesibukan kerja membataskan semua. Tapi kalau ada rezeki untuk tambah anak dan sangkut, kenapa tidak. Tapi kalau tak, saya sendiri tak merancang ke arah itu. Insya-Allah kalau ada rezeki dan dipermudahkan, saya nak bawa dua anak kami menetap di Malaysia," katanya yang kini sedang melunaskan penggambaran drama Memori Cinta Suraya.

PELAKON, Hisyam Hamid (kiri) dan Aaron Aziz. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Hisyam Hamid (kiri) dan Aaron Aziz. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Tuntutan kerjaya lakonannya di Malaysia sejak beberapa tahun ini selepas meletup dengan drama rantaian Ariana Rose di TV3 membuatkan dia tidak menang tangan dan waktu cutinya juga sudah mula berkurangan.

"Tapi saya tetap bersyukur kerana dapat isteri yang memahami. Anak saya yang kecil pun tahu yang ayah mereka keluar bekerja untuk mencari duit. Semuanya untuk kesenangan mereka juga termasuk membeli permainan dan bayar yuran persekolahan.

"Selalunya kalau ada saja cuti memang keutamaan saya kepada keluarga dan kawan jatuh ke tangga kedua," katanya.

DARI kiri: Hisyam bersama Shaheizy Sam, Amar Baharin, Wak Doyok dan Shah Iskandar ketika memperagakan pakaian Lords Tailor sempena Anugerah Bintang Popular BH 2014. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
DARI kiri: Hisyam bersama Shaheizy Sam, Amar Baharin, Wak Doyok dan Shah Iskandar ketika memperagakan pakaian Lords Tailor sempena Anugerah Bintang Popular BH 2014. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Di persimpangan

Hisyam mula berlakon drama sejak usia 18 tahun tetapi namanya mula dikenali di Singapura beberapa tahun selepas itu. Hanya selepas membintangi drama Ariana Rose di TV3, barulah dia bernafas di bumi Malaysia, tahun lalu.

Katanya, beliau pernah berada di persimpangan jalan sama ada memilih meneruskan kerjaya sebagai pelakon di Malaysia tetapi hidup berjauhan dengan anak-anak serta meninggalkan kerjaya tetap sebagai anggota bomba. Namun, akhirnya beliau memilih untuk berlakon sepenuh masa.

"Biarpun sudah lama berkecimpung di arena seni, saya sejujurnya masih menganggap diri ini masih hijau. Saya sasarkan dua ketiga tahun lagi untuk terus mengukuhkan nama di Malaysia. Namun hingga saat ini, saya bersyukur dengan rezeki yang tak putus putus.

"Masih jauh lagi perjalanan saya dan banyak benda lagi nak kena belajar," katanya.

HISYAM memilih isterinya, Rosmawati Hanafi bertindak sebagai pengurus kerjaya lakonannya. - Foto Nik Hariff Hassan
HISYAM memilih isterinya, Rosmawati Hanafi bertindak sebagai pengurus kerjaya lakonannya. - Foto Nik Hariff Hassan

Drama Memori Cinta Suraya yang dilakonkan Hisyam diadaptasi dari telenovela Mexico. Ia diterbitkan sebanyak 148 episod.

"Projek drama ini dijangka disiarkan ke beberapa negara kerana setakat ini saya dimaklumkan sudah 10 negara berminat menyiarkannya. Setakat ini 60 episod tengah disiapkan. Penggambaran bermula sejak September tahun lalu.

"Selain penggambaran drama ini, saya juga terbabit dalam penggambaran filem Kau Yang Satu arahan Osman Ali. Filem ini juga adaptasi novel dan turut dibintangi Aaron Aziz dan Izara Aishah," katanya.

PROFIL

Nama: Hisyam Hamid
Asal: Singapura
Usia: 30 tahun
Pendidikan: Ijazah Pengurusan Perniagaan di Royal Melbourne Institute of Technology University
Nama Isteri: Rosmawati Hanafi
Anak: Nurish Syameliah, 8, dan Hayden, 6
Drama: Anak Metropolitan 2, Sahabat, Kasih Ayah, Cut Amirah, Ariana Rose, Memori Cinta Suraya

Berita Harian X