Sabtu, 25 April 2015 | 12:02am
TARIAN kuda kepang, apabila diadun dengan rentak muzik gamelan yang indah akan menyerlahkan satu elemen gerak tari yang penuh kesopanan dan mengasyikkan. - Foto Mohd Azren Jamaludin
TARIAN kuda kepang, apabila diadun dengan rentak muzik gamelan yang indah akan menyerlahkan satu elemen gerak tari yang penuh kesopanan dan mengasyikkan. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ANTARA seni tari yang dipersembahkan oleh Persatuan Warisan Seni Sri Johor. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ANTARA seni tari yang dipersembahkan oleh Persatuan Warisan Seni Sri Johor. - Foto Mohd Azren Jamaludin
UPACARA membuka gelanggang sebelum persembahan kuda kepang. - Foto NSTP
UPACARA membuka gelanggang sebelum persembahan kuda kepang. - Foto NSTP

Kuda Kepang dah 'jinak'


KULAI: Tarian kuda kepang, apabila diadunkan dengan rentak muzik gamelan yang indah akan menyerlahkan satu elemen gerak tari yang penuh kesopanan dan mengasyikkan. Berbeza sekali dengan apa yang ditonjolkan dalam persembahan tradisional yang ada unsur kerasukan.

Dengan tujuh peserta menari mengikut rentak muzik, menghayunkan patung kuda ke kiri dan ke kanan seperti sedang menunggangnya, disulami dengan libasan cemeti ke tanah, ia sudah cukup untuk menjadikan penonton khayal menyaksikannya.

Nyata, amat berbeza sekali suasana persembahan kuda kepang tradisi dengan tarian yang sudah diubah demi memenuhi kehendak untuk mengeluarkan kebudayaan popular masyarakat Jawa itu daripada terus diselubungi unsur khurafat dan syirik.

TARIAN kuda kepang oleh Persatuan Warisan Seni Sri Johor. - Foto Mohd Azren Jamaludin
TARIAN kuda kepang oleh Persatuan Warisan Seni Sri Johor. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Hanya kesenian

Dengan membuang terus amalan pemujaan dan kerasukan, kuda kepang kini dipersembahkan seperti tarian lain, hanya kesenian yang menjadi tunjang budayanya. Transformasinya menjadikan persembahan itu indah, bukan lagi mendebarkan.

Kumpulan Warisan Seni Sri Johor yang ditubuhkan pada awal tahun 1970-an oleh Allahyarham Sabtu Hamid adalah antara persatuan yang pernah dipanggil Jabatan Agama Islam Johor bagi membincangkan kenapa kuda kepang tradisi perlu diharamkan.

Kumpulan itu yang kini aktif di sekitar Felda Penggeli di sini, di bawah pimpinan anaknya, Mohd Yazid Sabtu, akur dengan hujah dan fatwa yang mengkelaskan persembahan dengan elemen mabuk dan pemujaan itu adalah haram.

PENGURUS Persatuan Warisan Seni Sri Johor, Mohd Yazid Sabtu. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGURUS Persatuan Warisan Seni Sri Johor, Mohd Yazid Sabtu. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Lambang kebudayaan

Tentu sekali sukar untuk warga Johor meninggalkan kuda kepang yang sudah sebati dengan mereka terutama bagi masyarakat Jawa kerana ia bukan seni baharu, malah di kawasan Parit Yaani, kuda kepang sudah dipersembahkan sejak era 1940-an.

Malah, dalam satu kongres kebudayaan di Universiti Malaya pada tahun 1970, persembahan kuda kepang diiktiraf dan diangkat sebagai lambang kebudayaan negeri Johor.

Namun, seni itu tidak terus hilang. Bukan kerana kedegilan mahu menentang fatwa tetapi dalam kuda kepang sendiri ada banyak elemen seni yang sebenarnya bersih daripada faktor syirik dan khurafat.

Mohd Yazid berkata, dalam bentuk persembahan moden ini, mereka kini lebih bebas untuk dijemput mengadakan persembahan, termasuk di istana dan di depan orang kenamaan. Malah, kuda kepang sudah merentas ke seluruh negara.

KUDA kepang yang dipersembahkan tanpa unsur pemujaan. - Foto NSTP
KUDA kepang yang dipersembahkan tanpa unsur pemujaan. - Foto NSTP

Menjunjung Kasih

"Tidak ada yang berat dan mabuk-mabuk lagi. Apa yang ada cuma upacara buka gelanggang sebelum persembahan, sekadar membaca Al-Fatihah dan beberapa surah lain. Sekadar berdoa memohon izin Allah untuk memulakan persembahan.

"Persembahan moden ini sebenarnya datang dari gaya persembahan lama juga. Kami gelar sebagai tarian 'Menjunjung Kasih'. Tarian kuda kepang ini sudah ada sejak zaman kesultanan Melayu Melaka dan dipersembahkan di depan Sultan.

"Kami cuma menjadikan ia baharu dengan memasukkan beberapa elemen lain dalam tariannya. Muziknya juga adalah gabungan irama baharu dan lama. Ada irama Wau Bulan dan Sitra Dewi," katanya.

Beliau berkata, dalam persembahan moden ini, ada tujuh penari yang diketuai seorang tekong dan dalam kumpulan mereka, adiknya sendiri iaitu Noraida Sabtu mengetuai tarian dengan sebahagian besar penarinya juga perempuan.

ANTARA alat muzik yang digunakan dalam persembahan kuda kepang. - Foto NSTP
ANTARA alat muzik yang digunakan dalam persembahan kuda kepang. - Foto NSTP

Bagai langit dan bumi

Peralatan muzik yang digunakan ketika mengiringi persembahan pula ialah gendang ibu, gendang anak, gong, saron, kenong dan angklung, manakala cemeti adalah prop utama yang digunakan ketua persembahan.

Wartawan BH diberi peluang menonton dan menilai sendiri kuda kepang moden dan kuda kepang tradisi bagi mencari perbezaannya. Ketara ia bagai langit dan bumi. Suasana tenteram dan damai ketika persembahan moden berubah menjadi kalut, debar dan lucu ketika mereka dirasuk.

Apapun, tarian kuda kepang memang indah. Nampak mudah tetapi sebenarnya rumit. Nampak ringkas tapi geraknya berseni. Lenggoknya bersahaja tetapi seiring ke tengah ke tepi. Kudanya, patung yang kaku tetapi perlu mahir mengendali.

Berita Harian X