Isnin, 20 April 2015 | 12:04am
BOCEY yang dianggotai Acey, Abam dan Fard pantas mencipta nama walaupun masih boleh dianggap baru setahun jagung dalam industri hiburan tanah air.
BOCEY yang dianggotai Acey, Abam dan Fard pantas mencipta nama walaupun masih boleh dianggap baru setahun jagung dalam industri hiburan tanah air.

Bocey lupa diri, minta bayaran tinggi?

KUALA LUMPUR: Kumpulan Bocey menafikan perkhabaran yang mengatakan mereka kini sudah lupa diri serta mengenakan bayaran tinggi apabila diundang untuk membuat persembahan atau program lawak yang membabitkan mereka.

Terkesan dengan dakwaan sebegitu, anggota kumpulan pelawak yang mencipta nama menerusi Maharaja Lawak Mega tampil memperjelaskan keadaan dengan cerita mereka.

Mengikut Abam, dakwaan itu adalah tuduhan tidak berasas kerana setiap ahli kumpulan itu masih lagi tahu asal usul dan bukan mudah untuk mereka berada di tahap selesa sekarang tanpa sokongan peminat.

Kumpulan Bocey pada persembahan komedi Lawak Ke Der? di Istana Budaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Kumpulan Bocey pada persembahan komedi Lawak Ke Der? di Istana Budaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap kami kerana setakat ini belum ada mana-mana pihak yang menyuarakan pendapat berkenaan kami lupa diri. Kami sendiri terkejut apabila ada yang menanyakan sama ada kami lupa diri dan kami tidak tahu dari mana datangnya gosip ini.

"Sebagai artis, kami rasa kami cuba sedaya upaya untuk melayan peminat sama rata tetapi tidak tahu pula jika ada pihak yang terasa hati dengan tindakan kami tanpa disedari.

"Malah pihak yang mengenali kami pastinya tidak akan percaya gosip ini kerana tahu kami bukanlah seperti yang didakwa itu. Apa yang penting sekali, peminat adalah nyawa kami," kata Bocey kepada BH PLUS.

Namun kumpulan Bocey menyusun sepuluh jari kepada mereka yang terasa hati dengan sebarang perlakuan mereka. Mereka mengakui bahawa peminat adalah tunjang utama kerjaya Bocey dan sama sekali tidak mengenepikan kepentingan mereka.

BOCEY tidak ralat andai mana-mana anggota kumpulan itu lebih popular pada masa depan.
BOCEY tidak ralat andai mana-mana anggota kumpulan itu lebih popular pada masa depan.

"Walau apapun kami meminta maaf jika ada mana-mana pihak yang terasa hati dengan tindakan dan celoteh kami yang tidak kami sedari. Kadang kala kita sebagai manusia tidak sedar perlakuan kita itu membuatkan ada pihak tidak senang dengan kita," kata mereka.

Nama kumpulan Bocey yang dianggotai Acey, Abam dan Fard sudah tidak asing dalam dunia komedi walaupun masih boleh dianggap sebagai baru setahun jagung dalam industri hiburan tanah air.

Rezeki tiga sahabat itu melimpah ruah selepas memenangi tempat ketiga dalam program realiti Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013. Malah rezeki mereka terus tidak putus apabila menerima banyak tawaran berlakon serta undangan di pentas.

KADANG kala sebagai manusia biasa, tanpa sedar mungkin ada perlakuan kita yang menyinggung perasaan orang lain, ..Abam.
KADANG kala sebagai manusia biasa, tanpa sedar mungkin ada perlakuan kita yang menyinggung perasaan orang lain, ..Abam.

Mereka bertiga tidak ralat seandainya salah seorang ahli lebih menonjol dan diiktiraf berbanding ahli Bocey yang lain kerana ia bergantung kepada rezeki masing-masing.

"Memandangkan masing-masing kini mempunyai projek tersendiri, kami tidak ralat andai kata seorang daripada anggota kumpulan ini lebih naik pada masa depan.

"Ini kerana setiap ahli yang lebih menonjol itu bukan saja membawa nama sendiri tetapi turut membantu menaikkan nama kumpulan Bocey dalam industri," kata Abam mengakhiri perbualan.

Berita Harian X