Khamis, 26 March 2015 | 12:04am
Mardiana menunjukkan kemudahan dan teknik penjagaan haiwan dan unggas di AD Serama Farm. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mardiana menunjukkan kemudahan dan teknik penjagaan haiwan dan unggas di AD Serama Farm. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Mardiana mahir mengawankan ayam serama

PESONA ayam serama bulu berwarna-warni menerbitkan minat segelintir individu terhadap spesies unggas mahal itu.

Bagi Mardiana Mohd Noor, 37, bertitik tolak daripada minat yang mendalam kepada ayam serama, akhirnya menjadi usahawan dengan mengusahakan ladang haiwan berkenaan secara besar-besaran.

Pengarah Urusan AD Serama Farm, Mardiana Mohd Noor.
Pengarah Urusan AD Serama Farm, Mardiana Mohd Noor.

Kini ladang miliknya, AD Serama Farm, 'dihuni' lebih 1,000 ayam serama dan ia menjadikan dunia lebih bermakna kerana dapat menikmati keindahan, keunikan dan telatah haiwan ternakan itu.

"Saya rasa seronok apabila dikelilingi ayam serama. Haiwan ternakan ini sangat istimewa. Bagi yang tidak meminati unggas ini, mereka mungkin menganggap ia membazir kerana harga ayam itu mahal. Tapi bagi peminat tegar, mereka tidak kisah, malah ada yang sanggup berhabis puluh-puluh ribu ringgit bagi mendapatkan seekor ayam serama idaman," katanya ketika ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Ladang diusahakan kira-kira lima tahun lalu, terletak di pinggir ibu kota boleh disifatkan sebagai mini zoo kerana ia turut memuatkan unggas lain termasuk beberapa spesies burung, itik dan kucing.

Pesona ayam serama dengan bulu berwarna-warni menerbitkan rasa cinta terhadap spesies unggas mahal itu sehingga mendorong Mardiana membuka AD Serama Farm. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Pesona ayam serama dengan bulu berwarna-warni menerbitkan rasa cinta terhadap spesies unggas mahal itu sehingga mendorong Mardiana membuka AD Serama Farm. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Puas bertanding

Mardiana atau mesra dipanggil Diana mula meminati ayam serama sejak lapan tahun lalu dan aktif menyertai banyak pertandingan di dalam dan luar negara membabitkan ayam berkenaan.

Katanya, minat itu banyak dicetuskan oleh suaminya, Azhar Ngah, 45.

"Dalam tempoh setahun, saya menyertai lebih 30 pertandingan ayam serama. Malah saya sanggup pergi ke mana saja tempat yang menganjurkan pertandingan. Hadiahnya tidaklah seberapa, kadangkala cuma piala dan sedikit wang, tetapi kepuasan adalah melihat ayam serama kita beraksi mengembangkan dada sewaktu diadili. Ini yang menyeronokkan dan rasa puas," katanya.

Mardiana dan suami akan membentuk lentik ayam serama dengan mengurut unggas itu ketika masih kecil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mardiana dan suami akan membentuk lentik ayam serama dengan mengurut unggas itu ketika masih kecil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sinar mata Mardiana bagaikan bercahaya setiap kali diajukan persoalan mengenai ayam serama. Minat itu nyata tulus apabila beliau tahu bagaimana 'petua' untuk mencantikkan ayam berkenaan.

"Untuk mendapat baka ayam serama yang cantik, kita turut 'kahwinkan' haiwan ini. Begitu juga untuk mendapatkan balung yang cantik, kadangkala kita potong bahagian yang perlu. Ayam itu juga perlu kerap diberi vitamin.

"Ayam itu juga mesti kerap dimandikan dan dijemur untuk memastikan ia bebas daripada hama. Malah, setiap ayam serama diletakkan dalam sangkar mengelakkan daripada digigit nyamuk. Satu sangkar menempatkan ayam jantan dan betina.

"Saya dan suami sependapat, haiwan sihat dan cergas memerlukan pasangan. Sama juga seperti manusia. Penjagaan ayam serama tidak boleh buat ala kadar kerana ia akan memudarkan 'kecantikan' dimiliki haiwan itu," katanya.

pqc

Selain ladang ayam serama, Mardiana turut sibuk dengan perniagaan peralatan sukan jenama sendiri AD Pro yang baharu saja menjengah pasaran. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Selain ladang ayam serama, Mardiana turut sibuk dengan perniagaan peralatan sukan jenama sendiri AD Pro yang baharu saja menjengah pasaran. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Harga beribu ringgit

Wanita berasal dari Terengganu ini berkata, seekor anak serama yang baik boleh mencecah harga dari serendah RM50 hingga puluhan ribu ringgit.

Istilah 'tengok ayam' sudah serasi dengan Mardiana.

Katanya, nilai tinggi ayam serama bermula daripada balung hingga ke kakinya dan sama ada ia aktif atau tidak ketika pertandingan berlangsung.

"Bagi pelanggan yang mahu membeli ayam serama, kita akan tanya berapa bajet mereka untuk seekor. Dengan bajet yang ada, kita akan syorkan ayam yang mana untuk dibeli," katanya.

Mardiana berkata, Facebook AD Serama Farm mempunyai lebih 2,000 peminat dan beliau kerap berinteraksi dengan pelayar untuk berkongsi pelbagai cerita, pengalaman dan ilmu berkaitan ayam serama.

Di negara ini memang ramai peminat ayam serama. Bagaimanapun disebabkan tidak banyak pendedahan cerita mengenai ayam serama ini menjadikan ia dilihat begitu 'sepi'.

Mengikut Mardiana, ayam serama yang ditetaskan hasil daripada 'sumbang mahram' akan menghasilkan anak yang bukan saja tidak cantik tetapi tidak panjang umur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mengikut Mardiana, ayam serama yang ditetaskan hasil daripada 'sumbang mahram' akan menghasilkan anak yang bukan saja tidak cantik tetapi tidak panjang umur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

'Sumbang mahram' ayam serama

Sungguhpun aspek penjagaan ayam serama nampak mudah, namun cabaran paling besar dihadapi Mardiana ialah ketika ingin mendapatkan telur kerana ia dipengaruhi faktor cuaca dan kesuburan ayam itu.

"Jika cuaca terlalu sejuk atau panas akan merendahkan kemampuan ayam betina untuk bertelur," katanya.

Mencungkil rahsia ayam serama yang cantik, Mardiana berkata, anak yang dijangka ditetaskan perlu dikacukkan antara jantan dan betina.

Katanya, menjadi 'pantang ' jika ayam itu berlaku 'sumbang mahram'.

"Setiap telur dan anak baharu ditetaskan akan mempunyai 'sijil kelahiran' masing-masing. Ayam yang ditetaskan hasil daripada 'sumbang mahram' akan menghasilkan anak yang bukan saja tidak cantik tetapi tidak panjang umur.

Suntikan ubat cacing, asid amino, minyak ikan dan vitamin B kompleks diberi untuk membantu meningkatkan kesihatan dan kecantikan ayam serama. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Suntikan ubat cacing, asid amino, minyak ikan dan vitamin B kompleks diberi untuk membantu meningkatkan kesihatan dan kecantikan ayam serama. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Untuk mengacukkan ayam, kita perlu 'membantu' ayam itu semasa proses mengawan.

"Bantuan daripada kita diperlukan kerana bentuk tubuh ayam yang lentik dan kecil, kadangkala menyebabkan ayam jantan tidak mampu mengawan dengan baik," katanya.

Begitupun, ayam hasil kacukan tidak semestinya terus 'menjadi' cantik melentik.

"Selalunya saya dan suami akan membentuk lentik ayam itu dengan proses mengurut ayam serama ketika masih kecil," katanya.

Suka haiwan

Mardiana, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia 17 tahun, mengakui sejak kebelakangan ini beliau kurang memasuki pertandingan kerana menumpukan perniagaan peralatan sukan jenama sendiri AD Pro yang baharu saja menjengah pasaran, selain sibuk mengusahakan ladang serama dan kedai haiwan peliharaan, AD Pet Shop.

"Secara peribadi tidak masuk pertandingan ayam serama tetapi tetap mewakilkan ayam untuk bertarung atas meja pertandingan," katanya yang turut ditemani oleh ibunya, Zaiton Bidi dan adiknya, Norhana.

Pencinta haiwan ini turut menjadikan kediamannya di Gombak, Selangor sebagai zoo mini dengan dilengkapi ikan arapaima dan haruan Afrika yang dijaga sejak lapan tahun lalu.

Selain meminati haiwan, Mardiana turut memanfaatkan masa terluang dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama suaminya.

"Saya memiliki model terkini motosikal spider berwarna kelabu dan kuning," katanya.

INFO : Ayam serama

* Sangkar - Memastikan keselesaan serama. Sangkar perlu diletakkan mentol lampu. Suhu dalam proses penetasan tidak boleh lebih atau kurang daripada 37.5 darjah celsius hingga 38 darjah celsius. Sangkar haiwan perlu cukup luas menempatkan haiwan ini. Jejaring halus perlu dipasang untuk mengelakkan gigitan nyamuk.

* Badan - Cantik melentik serama bukan semula jadi, tetapi perlu diurut supaya terbentuk cantik. Semakin lentik, semakin mahal ayam serama.

* Latihan - Dalam pertandingan ayam serama, tidak boleh harapkan tuah semata-mata. Ayam itu perlu latih sejak awal. Ayam terlatih akan terus melentikkan badannya atau berjalan melenggok dengan cantik depan juri.

* Telur - Kelembapan udara diambil kira, untuk penetasan telur. Untuk telur berusia satu hingga dua minggu, kelembapan diatur pada sekitar 65 peratus hingga 70 peratus.

Dua atau tiga hari menjelang menetas, kelembapan telur harus ditambah hingga antara 95 peratus hingga 100 peratus.

Udara terlalu kering akan membuat kulit telur menjadi keras. Akibatnya, anak ayam susah memecahkan cengkerang sehingga boleh menyebabkan mati.

* Kebersihan - Sangkar perlu kerap dibersihkan bagi mengelakkan jangkitan kuman, hama, kutu atau kulat. Alas bahagian sangkar dengan permaidani untuk keselesaan dan ia perlu ditukar selalu supaya sentiasa bersih.

Bekas makanan atau minuman perlu sentiasa dibersihkan dan diletakkan pada bahagian tepi bagi memberi ruang pada ayam melompat-lompat.

* Kesihatan - Suntikan ubat cacing, vitamin tambahan bagi membantu kesihatan dan kecantikan ayam serama.

Kebiasaannya penggemar dan penternak ayam memberikan asid amino, minyak ikan, vitamin B kompleks dan sebagainya. Kalau sakit, segera bawa ke klinik haiwan untuk rawatan.

Berita Harian X