Sabtu, 15 Jun 2024 | 7:08pm
 Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan menyampaikan kunci rumah kepada pembeli rumah Taman Nesa Delima Rantau, Rembau, hari ini. Foto NSTP Mohd Amin Jalil.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan menyampaikan kunci rumah kepada pembeli rumah Taman Nesa Delima Rantau, Rembau, hari ini. Foto NSTP Mohd Amin Jalil.

SKM lulus biaya RM85.9 juta kepada koperasi jalankan produk berskala besar

REMBAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan (TMP) sebanyak RM85.9 juta kepada koperasi yang menjalankan produk berskala besar, setakat April tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk R Ramanan, berkata khidmat pembiayaan itu bertujuan membantu koperasi dalam penyediaan dana untuk melaksanakan projek yang berdaya maju.

Katanya, pihaknya memberi jaminan untuk membantu memudahkan koperasi dan pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Bagi menggalakkan perkembangan koperasi, KUSKOP melalui SKM menawarkan pembiayaan menerusi Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan amaun maksima pembiayaan sebanyak RM30 juta secara bercagar serta pembiayaan tanpa cagaran adalah sebanyak RM200,000.

"Sehingga April 2024, SKM telah meluluskan pembiayaan tabung ini sebanyak RM85.9 juta kepada koperasi yang menjalankan produk berskala besar.

"Inisiatif ini diwujudkan bagi membantu dan memudahkan koperasi untuk melaksanakan projek berdaya maju," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Taman Nesa Delima, Rantau, dekat sini hari ini.

Ramanan berkata, terdapat 16,000 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan jumlah keanggotaan lebih tujuh juta orang, setakat 31 Mei lalui.

Beliau berkata, hanya terdapat segelintir koperasi yang tidak aktif disebabkan masalah pengurusan dan kewangan, namun SKM sedang berusaha membantu bagi memulihkannya.

Berita Harian X