Sabtu, 8 Jun 2024 | 11:10am
Jengkaut turut digunakan untuk membantu memadam kebakaran di pusat pelupusan sampah daerah Besut di Kampung Paya Rawa. - NSTP/NURUL FATIHAH SULAINI
Jengkaut turut digunakan untuk membantu memadam kebakaran di pusat pelupusan sampah daerah Besut di Kampung Paya Rawa. - NSTP/NURUL FATIHAH SULAINI

Pusat pelupusan sampah daerah Besut terbakar lagi

BESUT: Kira-kira satu hektar kawasan di pusat pelupusan sampah daerah Besut di Kampung Paya Rawa, di sini, terbakar petang semalam, kejadian kali kedua dalam tempoh kurang sebulan.

Difahamkan, kali pertama tapak pelupusan sampah itu terbakar pada 14 Mei lalu, membabitkan kawasan kira-kira 0.6 hektar, dipercayai akibat cuaca panas berterusan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Azam Mohamad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.50 petang semalam sebelum menghantar sepasukan lapan anggota dan pegawai ke lokasi.

"Kebakaran membabitkan keluasan hampir satu hektar daripada enam hektar pusat pelupusan sampah itu. Pihak bomba dibantu syarikat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang giat menjalankan kerja-kerja pemadaman.

"Kami juga terpaksa menggunakan jengkaut bagi melancarkan proses pemadaman di bahagian bawah timbunan sampah selain menggunakan kaedah pemadaman secara terus di kawasan terbakar," katanya di sini hari ini.

Azam berkata, kebakaran itu juga menyebabkan asap tebal dan sedikit sebanyak membataskan pergerakan anggotanya untuk penugasan pemadaman.

"Kami akan memastikan kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam masa terdekat," katanya.

Berita Harian X