Khamis, 6 Jun 2024 | 4:27pm
aub Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman (tengah). - Foto Bernama
aub Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman (tengah). - Foto Bernama

Ceroboh tanah kerajaan tanam Musang King

BENTONG: Seramai 45 pekebun durian Musang King yang dikesan menceroboh tanah kerajaan dan melanggar arahan mahkamah, ditahan di daerah Raub sepanjang 'Ops Sekat' selama sebulan bermula 30 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata tangkapan membabitkan warga tempatan dan asing.

Sepanjang operasi, katanya, 44 motosikal dan 12 buah kenderaan pacuan empat roda turut dirampas, selain masing-masing empat unit lori, kereta dan jentera pengorek.

Katanya, operasi bersepadu disertai lebih 200 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Raub, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) serta Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Barat turut menyita dua jengkaut.

"Kita membuka 50 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Kanun Keseksaan, Kanun Tanah Negara , Akta Perhutanan Negara dan Akta Imigresen.

"Ops Sekat dijalankan bagi memastikan pekebun durian di Raub tidak terus menceroboh tanah kerajaan untuk menanam durian Musang King," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

Pada 30 April lalu, Mahkamah Tinggi memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa negeri mengambil semula tanah kerajaan dan hutan simpan yang diteroka di Raub.

Yahaya berkata, Ops Sekat membabitkan lapan kawasan tumpuan termasuk di Sungai Ruan, Tranum, Ulu Dong, Tras dan beberapa kawasan sekitar.

Katanya, pihak polis turut memantau pembinaan 'parit gajah' di beberapa kawasan bagi mengelak hutan berkenaan diceroboh.

"Sepanjang Ops Sekat, kita turut melakukan pemantauan udara untuk meninjau kawasan bukit dan hutan yang sukar diakses kenderaan," katanya.

Berita Harian X