Ahad, 26 Mei 2024 | 3:34pm
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (dua dari kiri) melawat projek perumahan Taman Seri Molek Perdana yang terbengkalai lebih 10 tahun. Foto NSTP Omar Ahmad
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (dua dari kiri) melawat projek perumahan Taman Seri Molek Perdana yang terbengkalai lebih 10 tahun. Foto NSTP Omar Ahmad

Johor jangka selesai 9 projek perumahan sakit dan terbengkalai

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri dijangka akan membantu menyelesaikan sembilan projek perumahan sakit dan terbengkalai membabitkan 2,314 unit rumah dan kedai pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata daripada jumlah itu tujuh adalah projek sakit iaitu Taman Seri Molek Perdana, Taman Residensi Larkin Indah, Taman Permata Layang, Taman Seri Saujana di Kota Tinggi, Taman Pelangi, Taman Seri Unas Permai di Muar dan Taman Impiana Kulai fasa dua yang membabitkan tujuh pemaju dengan anggaran nilai keseluruhan RM 412.93 juta.

Beliau berkata, dua projek perumahan terbengkalai akan disiapkan tahun ini iaitu Taman Kulai Utama dan Taman Permata Impian, Kulai yang membabitkan anggaran nilai RM 18.37 juta.

"Tahun lepas, kita bersama dengan pemaju dan juga pelbagai agensi berkaitan berjaya mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi 951 unit rumah membabitkan lima projek perumahan sakit, iaitu Taman Residensi di Kota Tinggi, Taman Sri Saujana di Kulai, Taman Seri Desa Impian Bandar Tenggara, Taman Koperasi Nelayan Endau dan Taman Desa Permai.

"Bagi projek rumah terbengkalai yang kita berjaya dapatkan CCC tahun lalu ialah projek Taman Desa Kempas membabitkan 157 unit rumah," katanya selepas melawat projek perumahan sakit terbengkalai, Taman Seri Molek Perdana, di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata, isu perumahan sakit terbengkalai sukar diselesaikan jika membabitkan projek syarikat sendiri, selain ditambah situasi pemaju lari serta gulung tikar.

"Kalau projek yang pemaju lari dan gulung tikar memang kita ambil masa lama untuk cari balik (pemaju). Di Kulai misalnya kita dapat cari pemaju yang sudah muflis.

"Projek sakit dan terbengkalai ini penyelesaiannya tidak semesti rumah itu siap. Ada cara kita minta pampasan. Sebab pemaju kata mereka tidak boleh buat rumah dengan kos 10 tahun lepas kerana kos sekarang sudah tentu 30 hingga 40 peratus tinggi. Mereka tidak mampu buat rugi hampir RM10 juta.

"Di Taman Permata Impian Kulai misalnya sudah 20 tahun terbengkalai, pemaju patut siapkan 200 lebih rumah mampu milik tetapi mereka tidak dapat buat atas alasan kerugian dan kos terlalu tinggi.

"Jadi kita bincang, kita minta pemaju beri pampasan kepada pembeli. Kita tidak boleh masuk campur sebab ini antara pemaju dan pembeli. Kerajaan negeri hanya buka laluan perbincangan dan biar pemaju selesaikan. Itu cabaran kita hendak bantu rakyat. Perlu situasi menang-menang antara dua pihak," katanya.

Berita Harian X