Ahad, 26 Mei 2024 | 2:47pm
Pesawah menunjukkan kangkung liar yang menyebabkan sistem perparitan tersumbat sehingga sawah mereka ditenggelami air menyebabkan tanaman padi rosak di Kampung Tok Pauh. Foto NSTP Wan Nabil Nasir
Pesawah menunjukkan kangkung liar yang menyebabkan sistem perparitan tersumbat sehingga sawah mereka ditenggelami air menyebabkan tanaman padi rosak di Kampung Tok Pauh. Foto NSTP Wan Nabil Nasir

Lebih 30 hektar sawah digenangi air

PENDANG: Kira-kira 20 pesawah di Kampung Alor Ali dan Kampung Tok Pauh, di sini kerugian puluhan ribu setiap musim berikutan lebih 30 hektar sawah digenangi air, dipercayai akibat sungai tidak diselenggara dengan baik menyebabkannya semakin cetek, selain dipenuhi kangkung liar sehingga saluran air terganggu dan bertakung.

Pesawah, Abdul Hamid Ghafar, 45, berkata keadaan itu berlarutan sejak lima tahun lalu biarpun sudah berpuluh kali aduan dibuat kepada pihak bertanggungjawab.

"Apabila musim hujan, ini lah masalah kami, air bertakung, sedangkan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) minta kami ikut jadual tanaman, tapi macam mana nak ikut kalau air masih bertakung.

"Begitu juga pada musim panas, air tak boleh masuk ke dalam sawah menyebabkan proses tumbesaran padi terbantut, setiap kali musim tanam padi kami akan rugi RM1,000 bagi setiap 0.3 hektar atau satu relung sawah yang kami usahakan," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Ali, di sini hari ini.

Sementara itu, pesawah, Ahmad Puzi Bahari, 62, berkata kali terakhir sungai di kawasan kampung itu diselenggara adalah tujuh tahun lalu, namun ia kembali cetek.

Katanya, pesawah di dua kampung berkenaan pernah mengumpul wang sebanyak RM50 seorang untuk menyewa jengkaut bagi membuang kangkung di sungai itu, namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah itu sepenuhnya.

"Sungai ini perlu didalamkan tapi kosnya terlalu tinggi, kami tak mampu nak sewa jengkaut untuk tempoh yang lama, lagi pun setiap kali musim padi, kami hanya balik modal dan ada yang rugi, tambahan pula terpaksa bayar hutang kepada tauke padi dan MADA (beli benih).

"Aduan demi aduan dibuat termasuk dalam mesyuarat unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tapi belum ada tindakan sewajarnya, kami bukan mahu mencari salah pihak lain tapi bantulah kami yang terpaksa menanggung kerugian setiap musim sejak lima tahun lalu," katanya yang lebih 40 tahun mengusahakan sawah.

Bagi pesawah, Rosli Ahmad, 52, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menanggung kos membayar sewa jentera membajak dan membeli benih sebanyak dua kali.

"Jika MADA tidak mengambil tindakan kami tak tahu bila kami boleh mula menabur benih, saya harap MADA mendengar aduan kami menerusi pihak media dan mereka ambil tindakan untuk bersih dan memperdalamkan sungai dengan segera.

"Keadaan sungai yang cetek ini juga menyebabkan air melimpah ke beberapa rumah penduduk pada musim hujan," katanya.

Berita Harian X