Sabtu, 18 Mei 2024 | 3:53pm
 G Sivapakiam yang menyewa di Flat Taman Sintar Indah menunjukkan pelekat serangga yang dipenuhi lalat.- Foto NSTP/ Nur Izzati Mohamad
G Sivapakiam yang menyewa di Flat Taman Sintar Indah menunjukkan pelekat serangga yang dipenuhi lalat.- Foto NSTP/ Nur Izzati Mohamad

'Nak makan minum pun susah kadang kala terasa seperti tergigit lalat'

NIBONG TEBAL: Penduduk yang mendiami Flat Taman Sintar Indah, di sini runsing apabila unit perumahan mereka diserang ribuan lalat sehingga menyebabkan kehidupan seharian terganggu.

Seorang pekerja swasta, Shahirah Hashim, 25, berkata tiga kali kediamannya diserang lalat sejak menyewa di flat berkenaan Ogos lalu.

"Di sini saya lihat, musim lalat ikut bulan dan hampir 10 bulan menyewa di sini, kali ini (bulan Mei) makin teruk, sampai nak makan dan minum pun susah, kadang kala terasa seperti tergigit lalat.

"Saya tinggal di sini dengan mak dan ayah yang mempunyai masalah kesihatan. Kehadiran lalat ini boleh mengundang keracunan makanan.

"Hampir segenap rumah ini dihurungi lalat, dalam tandas, bilik, dapur dan di luar rumah jangan cakaplah terlalu banyak hinggakan saya nak pergi kerja pun lalat ikut sampai ke dalam kereta," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Shahirah yang bekerja di sebuah kilang di Batu Kawan, berkata sekiranya masalah itu tidak ditangani segera dia merancang menyewa di tempat lain.

Situasi sama dirasai penduduk G Sivapakiam, 61, yang mahu tindakan segera diambil untuk mengurangkan masalah serangan lalat di kawasan itu.

"Memang ada ladang ternakan berhampiran dan kita harap ia boleh diselesaikan dengan cara baik. Kasihan kami penduduk dan risau masalah ini boleh mengancam kesihatan kami, tambahan pula banyak duit dihabiskan untuk beli perangkap lalat serta penyembur racun," katanya.

Difahamkan, masalah itu didakwa berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak sistematik dari tiga ladang, dipercayai ternakan ayam yang terletak berhampiran.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H'ng Mooi Lye mengadakan tinjauan ke flat berkenaan bagi melihat lebih dekat permasalahan yang berlaku.

Tinjauan hampir satu jam bersama wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) itu turut dikejutkan dengan serangan lalat yang tidak henti.

Ketika sesi temubual pihak media dengan Mooi Lye dan penduduk, ia turut diganggu lalat yang menghurungi anggota badan serta peralatan kamera dan telefon pintar.

Pada masa sama, terdapat juga ribuan lalat sudah mati bertaburan di lantai dan tangga serta terlekat di siling kawasan flat terbabit, keadaan itu sangat meloyakan.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, pihak MBSP dan DVS telah mengadakan lawatan ke atas ladang ternakan terbabit dan meminta supaya penternak membuat kerja-kerja semburan ubat serangga bagi mengawal lalat membiak sekali gus menghurungi kawasan penempatan penduduk.

"Lawatan dibuat susulan aduan diterima dan didapati, masalah ini berlaku pada bulan tertentu iaitu ketika proses pengeluaran ayam yang mana penternak didapati tidak menguruskan sisa dengan baik.

"Oleh itu, MBSP dan DVS telah meminta kerja-kerja pengawalan dilakukan dengan membuat semburan ubat yang mana kita dapati ia telah dimulakan," katanya.

Berita Harian X