Sabtu, 18 Mei 2024 | 1:46pm
Syed Abu Hussin (dua kiri) meninjau kediaman Alias di Kampung Jelutung, yang musnah akibat banjir. - Foto BH/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Syed Abu Hussin (dua kiri) meninjau kediaman Alias di Kampung Jelutung, yang musnah akibat banjir. - Foto BH/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

Rumah rosak akibat arus deras

BUKIT GANTANG: Seorang mangsa banjir di Kampung Jelutung, berputih mata apabila kediamannya runtuh dan dihanyutkan arus deras.

Alias Awang, 56, berkata barang perniagaannya iaitu kosmetik dan wang simpanan lebih RM3,000 turut dihanyutkan banjir.

Katanya, sewaktu kejadian beliau berada di Pulau Pinang kerana urusan kerja.

"Pada jam 8.00 malam, orang kampung memaklumkan rumah saya tidak selamat kerana tanah runtuh bawah rumah.

"Kira-kira jam 2.00 pagi, seluruh rumah habis runtuh dan dibawa arus Sungai Bukit Gantang," katanya di sini, hari ini.

Alias berkata, beliau kehilangan segala-galanya dan kini tinggal di pondok yang tiada bekalan elektrik di Banggul Nering berhampiran rumahnya.

"Pada 2022, rumah saya dalam pembinaan di atas tanah pusaka keluarga juga musnah akibat banjir," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Syaidatul Roraniza Abdul Aziz, 35, berkata lapan motosikal dan tiga buah kereta serta sebuah lori miliknya dan pekerja musnah ditenggelami air.

Menurutnya lagi selain kenderaan peralatan kerja seperti mesin rumput, mesin pemotong dan peralatan lain turut musnah ditenggelami air.

Sementara itu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ketika berkunjung ke kediaman berkenaan, berkata pihaknya akan membina sebuah rumah kecil di atas tanah milik mangsa dan akan membantu membaik pulih peralatan dan kenderaan mangsa yang rosak akibat banjir.

Menurutnya, 150 buah keluarga terkesan dengan kejadian banjir di Bukit Gantang dan pihaknya telah menyampaikan bantuan awal sebanyak RM75,000 kepada mangsa.

Berita Harian X