Khamis, 16 Mei 2024 | 11:34am
Kemarau berterusan sejak empat bulan lalu menyebabkan ternak diberikan rumput kering selepas tanaman rumput tidak mengeluarkan hasil. -Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Kemarau berterusan sejak empat bulan lalu menyebabkan ternak diberikan rumput kering selepas tanaman rumput tidak mengeluarkan hasil. -Foto NSTP/Siti Rohana Idris

Kemarau berterusan, penternak terkesan kos makanan ternakan naik sekali ganda

KOTA BHARU: Fenomena El Nino atau kemarau berterusan yang melanda sejak empat bulan lalu di negeri ini menggusarkan penternak lembu berikutan kesukaran mendapatkan rumput segar untuk ternakan.

Rata-rata penternak terpaksa mengeluarkan kos tambahan hampir sekali ganda untuk membeli rumput atau jerami dan bekalan air kerana kemarau yang berlaku menjejaskan penanaman rumput yang diusahakan kebanyakan penternak.

Penternak lembu, Mohd Hanif Mat Hussin, 30, berkata, beliau mengeluarkan lebih RM2,000 sebulan untuk membeli rumput dan jerami serta bekalan air untuk diberikan kepada 14 ekor lembu ternakannya.

Beliau yang sudah hampir 15 tahun menternak lembu berkata, cuaca kering kebelakangan ini menyebabkan rumput yang ditanam bersama empat lagi penternak lain seluas 1.2 hektar kering dan gagal mengeluarkan hasil.

"Perkara itu menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk membeli rumput atau jerami dari Kedah dan secara purata, ia menelan kos hampir RM300 sebulan.

"Faktor kemarau juga menyebabkan air dari sumber perigi semakin kering menyebabkan kami perlu membeli bekalan air untuk keperluan minuman lembu saja dan tidak termasuk air untuk memandikan lembu.

"Perigi di rumah belum lagi kering sepenuhnya tetapi semakin hari tidak mampu menampung untuk kegunaan kami sekeluarga apatah lagi untuk lembu peliharaan saya," katanya ketika ditemui di kandangnya di Kampung Kubang Edang, Peringat, di sini.

Mohd Hanif berkata, kos pembelian dedak juga meningkat kerana pemberian rumput atau jerami sudah dikurangkan dan mereka juga perlu menjaga pemakanan lembu terutama bagi lembu yang sudah dipilih untuk dikorbankan pada Aidiladha nanti.

Seorang lagi penternak, Mohd Adam Mohd Alami, 17, berkata, penternak juga berdepan dengan risiko kematian lembu peliharaan kerana kekurangan air dan perkara itu agak membimbangkan mereka.

Katanya, jika dulu, adakalanya lembu akan dimandikan untuk menjaga kebersihan selain menyejukkan tubuh tapi kini bekalan air terpaksa dicatu hanya untuk keperluan minuman saja.

"Sekarang air hanya digunakan untuk minuman lembu saja dan untuk memandikan lembu saya sudah tidak mampu kerana majoriti kami yang tinggal di sini menggunakan air dari perigi sendiri, bukannya air kerajaan (yang dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd).

"Cuaca panas terik berterusan seperti ini tanpa terkena air (mandi) boleh menyebabkan lembu lemah akibat kelesuan haba dan berisiko untuk mati," katanya.

Berita Harian X