Selasa, 14 Mei 2024 | 6:10pm
Jalan runtuh di Kampung Batu 3, Mambau disebabkan hakisan sungai. - Foto BH
Jalan runtuh di Kampung Batu 3, Mambau disebabkan hakisan sungai. - Foto BH

RM500,000 baik-pulih Jalan Kampung Batu 3, Mambau

SEREMBAN: Kementerian Kerja Raya meluluskan peruntukan segera RM500,000 bagi membaik-pulih jalan di Kampung Batu 3 Mambau dekat sini, yang runtuh selepas hujan lebat, Sabtu lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerja membaik-pulih laluan berkenaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan.

"Projek membaik-pulih jalan itu perlu diselesaikan secepat mungkin supaya dapat memudahkan rakyat terutama penduduk kampung berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Gantian 12 Bilik Darjah di Sekolah Kebangsaan Sendayan, di sini.

Yang turut hadir, EXCO Pendidikan negeri, Datuk Ismail Lasim, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan, Wan Hasnan Wan Musa.

Runtuhan di jalan terbabit mengakibatkan kira-kira 300 penduduk Kampung Sri Mantau, Mambau sukar berulang-alik.

Berita Harian X