Selasa, 14 Mei 2024 | 4:18pm
ART Bertingkat Johor Bahru akan melengkap Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura. - Foto Ar Chin Yee Chong dari SM Architects Sdn Bhd.
ART Bertingkat Johor Bahru akan melengkap Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura. - Foto Ar Chin Yee Chong dari SM Architects Sdn Bhd.

ART bertingkat di Johor Bahru

ISKANDAR PUTERI: Johor memilih pembinaan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di pusat bandar Johor Bahru, membabitkan tiga jajaran dengan jarak lebih 50 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata laluan itu melibatkan 32 hentian stesen.

Katanya, anggaran kos bagi pembinaan sistem pengangkutan awam itu hampir RM7 bilion .

"ART Bertingkat ini tidak gunakan jalan biasa seperti yang dicadangkan di Sarawak. Kita menggunakan sistem yang macam Sarawak tapi infrastruktur lain. Sarawak bina di atas jalan raya. Kita atas ('elevated').

"Kita memilih ART Bertingkat sebab boleh disiapkan dalam tempoh masa lebih pendek berbanding Transit Aliran Ringan (LRT). Kita nak melengkapi Rapid Transit System Link (RTS).

"RTS dijangka siap Disember 2026 mula beroperasi bulan Januari 2027," katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Fazli, terdapat tiga jajaran dicadangkan iaitu laluan Iskandar Puteri sepanjang 14.78 kilometer (km), laluan Skudai (18.8 km) dan laluan Tebrau (14 km).

Katanya, kajian sedang dijalankan dan dijangka siap pada Ogos tahun ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

"Pembinaan ART Bertingkat meliputi 90 peratus kawasan di dalam wilayah Iskandar Malaysia. Ia juga akan dilengkapi dengan pakej pengangkutan awam seperti bas yang akan disambungkan dengan stesen," katanya.

Berita Harian X