Selasa, 14 Mei 2024 | 4:17pm
Peniaga kedai makan, Zainab Miros, 75, menunjukkan air yang keruh selepas menggunakan telaga tiub ketika ditemui di Kampung Dewan Beta di sini. -Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Peniaga kedai makan, Zainab Miros, 75, menunjukkan air yang keruh selepas menggunakan telaga tiub ketika ditemui di Kampung Dewan Beta di sini. -Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Lima tahun bayar meter saja, setitik air pun tak keluar

KOTA BHARU: Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) menggesa kerajaan negeri menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu penduduk di negeri itu sejak sekian lama.

Mereka mendakwa masalah yang berlaku bukan perkara baru sebaliknya sudah puluhan tahun yang sehingga kini tidak mempunyai jalan penyelesaian.

Presidennya, Aiman Yusri Mohd Yusof, turut menyifatkan kerajaan negeri seolah-olah gagal menyelesaikan masalah berkenaan kerana sehingga kini rakyat berdepan masalah sama.

"Bukan hanya satu daerah, sebaliknya semua daerah berdepan masalah air. Ada yang saya turun padang melihat penduduk terpaksa mengambil air sungai sejak beberapa tahun disebabkan bekalan air tiada.

"Sehingga kini selepas lebih 30 tahun, saya tidak nampak usaha Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan kerajaan negeri dalam menangani masalah air.

"Sepatutnya AKSB atau kerajaan negeri menambah bilangan lori bagi menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas, bukannya hanya mengumumkan projek jangka masa panjang semata-mata," katanya ketika dihubungi.

Aiman Yusri berkata, beliau sedih melihat keadaan penduduk Kelantan yang sehingga kini tiada perubahan walaupun selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

"Saya merasakan masalah ini tidak akan selesai sehinggalah Kerajaan Pusat mengambil alih tanggungjawab ini," katanya.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Jelawat, Fahayu Ramli, 38, berkata sejak lima tahun lalu dia berdepan masalah air dan kini hanya membayar bil meter semata-mata.

"Sejak lima tahun lalu kehidupan kami anak beranak hanya bergantung kepada air telaga tiub. Lebih sedih air telaga tiub keruh dan berbau menyebabkan habis pakaian rosak.

"Paip AKSB tidak mengeluarkan air setitik pun sejak lima tahun lalu dan sudah letih untuk berharap kepada AKSB bagi menyelesaikan masalah air," katanya.

Berita Harian X