Selasa, 14 Mei 2024 | 2:39pm

Anak penuhi permintaan bapa pastikan masjid wakaf disiapkan

KUALA TERENGGANU: "Kami bersyukur dapat memenuhi permintaan bapa yang mahu pembinaan masjid hasil sumbangan peribadinya dapat disiapkan.

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk projek pembinaan masjid bernilai RM6.3 juta terpaksa ditangguhkan pada 2019, kami bersyukur niat dan impian bapa dapat diteruskan," kata Baharun, 40-an, anak kepada Allahyarham Datuk Mohd Rahim Abdullah.

Baharun dari Kampung Bukit Parit, di sini, berkata bapanya mewakafkan wang tunai RM4.5 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) untuk pembinaan masjid baharu di Kampung Laut, di sini, pada akhir 2018.

Katanya, pembinaan masjid baharu yang mampu memuatkan 1,000 jemaah bermula pada April 2019.

"Projek pembinaan masjid di atas tanah wakaf itu gagal disiapkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum disambung semula pada 2000.

"Sebelum bapa meninggal dunia pada Mac tahun lalu, arwah setiap hari akan ke tapak projek untuk melihat kerja-kerja pembinaan masjid berkenaan," katanya.

Terdahulu, Baharun menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Cadangan Meroboh Masjid Sedia ada dan Membina semula Masjid baharu di Kampung Laut, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Pengarah Kerja Raya negeri, Dr Hasli Ibrahim menyerahkan dokumen penyerahan projek kepada Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Ismail.

Baharun berkata, arwah bapanya yang juga kontraktor meminta masjid yang kos keseluruhan dibiayainya diteruskan sehingga siap.

"Dengan persetujuan kami sekeluarga termasuk ibu, Teh Abdullah, 72, kami bersetuju meneruskan amanat arwah bapa, walaupun peruntukan asal tidak mencukupi sebanyak RM1 juta," katanya.

Baharun berkata sebelum bapanya meninggal dunia, projek itu sudah siap 80 peratus dan arwah mewasiatkan kos tambahan RM1 juta.

"Walaupun arwah bapa tidak sempat menunaikan solat di masjid ini, kami bersyukur dapat memenuhi impiannya," katanya.

Baharun (tengah) menyaksikan majlis penyerahan dokumen projek disampaikan Dr Hasli (kiri) kepada Shaikh Harun hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Baharun (tengah) menyaksikan majlis penyerahan dokumen projek disampaikan Dr Hasli (kiri) kepada Shaikh Harun hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X