Selasa, 14 Mei 2024 | 2:21pm
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye (kiri) mendengar penerangan berkaitan projek naik taraf Terminal Sungai Nibong (TSN) -- foto BERNAMA
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye (kiri) mendengar penerangan berkaitan projek naik taraf Terminal Sungai Nibong (TSN) -- foto BERNAMA

Pulau Pinang pantau, kumpul data pokok tua, berisiko tumbang

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mengumpul data bilangan pokok tua yang berisiko mengancam nyawa dan harta benda orang awam, berikutan insiden dua pokok tumbang di Jalan Macalister, Sabtu lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye, berkata pihaknya sudah meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyerahkan laporan penyelenggaraan pokok di kawasan seliaan masing-masing, dalam minggu ini.

"Saya telah mengeluarkan memo kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memohon supaya pemeriksaan dan penyelenggaran pokok-pokok berisiko dilakukan dan memang di setiap daerah ada pegawai bertugas sentiasa membuat rondaan secara berkala termasuk melantik kontraktor melakukan kerja-kerja pemangkasan dan sebagainya.

"Kebanyakan (maklumat) pokok juga memang ada dalam sistem, kalau ditambah dengan yang baru ditanam bilangannya mencecah jutaan (batang) jadi kita akan kumpulkan data bagi pokok berisiko," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Naik Taraf Terminal Bas Sungai Nibong di sini, hari ini.

Mooi Lye berkata, meskipun Pulau Pinang mempunyai dasar 'sayangi pokok' pihaknya sentiasa mengambil tindakan proaktif terhadap aduan berhubung risiko tahap keselamatan pokok terutamanya membabitkan pokok besar berusia puluhan tahun yang dikhuatiri mengancam keselamatan orang awam.

"Di Pulau Pinang apabila kita sebut nak tebang pokok memang sensitif selain dalam akta kerajaan negeri juga ada larangan menebang pokok yang mencapai ukur lilit tertentu dan perlu dapatkan kelulusan daripada jawatankuasa PBT.

"Tetapi pada masa sama, kita perlu pastikan pokok yang mungkin sudah berusia, ada yang sampai 80 hingga 100 tahun dalam keadaan selamat," jelasnya.

Sabtu lalu, lima kenderaan rosak termasuk sebuah kereta yang baru dibeli dua minggu selepas ditimpa pokok tumbang dalam insiden di Jalan Macalister.

Pokok tumbang dipercayai berusia puluhan tahun itu turut merosakkan pagar dan struktur bangunan di lokasi berhampiran dan ketika kejadian, beberapa pemilik kenderaan baru saja beredar ke restoran yang terletak beberapa meter dari tempat kejadian.

Berita Harian X