Selasa, 14 Mei 2024 | 11:46am
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin (dua, kanan) meninjau lokasi kebakaran tanah gambut di Beris Lalang, Bachok. - Foto IHSAN JAS KELANTAN
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin (dua, kanan) meninjau lokasi kebakaran tanah gambut di Beris Lalang, Bachok. - Foto IHSAN JAS KELANTAN

JAS aktifkan dua telaga tiub padam kebakaran hutan

BACHOK: Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi pelaksana Jabatan Mineral dan Geosains mengaktifkan dua daripada 15 telaga tiub di Bachok dan satu di Pasir Mas bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut di negeri ini.

Pengarah JAS Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin, berkata ia bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi terbabit dengan menyalurkan sumber air di lokasi kebakaran.

Katanya, telaga tiub di dua daerah itu dibina sejak 2009 dan tidak menolak kemungkinan menambah telaga tiub di lokasi lain jika memerlukan.

"JAS menerima 91 aduan dan laporan berkaitan kes kebakaran terutama di hutan tanah gambut membabitkan daerah Bachok, Pasir Puteh dan Pasir Mas.

"Mengikut rekod, keluasan tanah gambut di negeri ini adalah 7,692 hektar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Aminordin berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan di lokasi kebakaran tanah gambut secara berterusan terutama sekitar Beris Lalang yang menyebabkan jerebu setempat.

Katanya, beberapa program kesedaran dilaksanakan buat orang ramai mengenai kesan pembakaran terbuka dan kebakaran tanah gambut.

"Kita juga menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan kompaun di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 bagi individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka.

"Sehingga 10 Mei lalu, kita sudah mengeluarkan empat kompaun manakala enam lagi dalam proses penyediaan kertas siasatan bagi kesalahan pembakaran terbuka," katanya.

Wan Aminordin berkata, sehingga kini Indeks Pencemar Udara (IPU) di Kelantan berada pada paras sederhana dan hanya sekali mencatat bacaan tidak sihat melebihi 100 untuk tempoh beberapa jam.

Berita Harian X