Ahad, 12 Mei 2024 | 10:56pm
Penguat kuasa DBKL melaksanakan tindakan terhadap peniaga warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) dan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur. - Foto Ihsan DBKL
Penguat kuasa DBKL melaksanakan tindakan terhadap peniaga warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) dan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur. - Foto Ihsan DBKL

DBKL sita barang jualan penjaja warga asing di Jalan Silang

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barangan penjaja warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) dan Lebuh Pudu di sini, hari ini.

Sitaan dilakukan hasil operasi dan tindakan khas oleh Jabatan Penguatkuasaan dalam mengekang penjaja warga asing tidak berlesen.

DBKL berkata, tindakan diambil susulan video tular di media sosial petang tadi yang menunjukkan aktiviti penjajaan oleh asing di sekitar Jalan Silang.

"Pasukan pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL hadir ke lokasi berkenaan dan membuat tindakan penguatkuasaan sita, selain pindah halangan serta-merta ke atas tujuh penjaja warga asing.

"Mereka dikesan menjual sireh, makanan dan pakaian terpakai tanpa kebenaran pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tengah hari tadi, pasukan membuat rutin pemantauan dan tindakan ke atas seorang lagi penjaja warga asing yang menjual sireh di jalan berkenaan.

Tindakan diambil mengikut kesalahan Undang-undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

DBKL berkata, semua barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan rekod.

"DBKL akan meneruskan pemantauan dan tindakan manakala maklumat serta aduan boleh disalurkan di portal adu@kl di pautan adukl.dbkl.gov.my," katanya.

Berita Harian X