Sabtu, 11 Mei 2024 | 4:20pm
 Ewon Benedick menyaksikan penyerahan replika cek RM300,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang disampaikan oleh Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, kepada Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin pada Perasmian Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri. Foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Ewon Benedick menyaksikan penyerahan replika cek RM300,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang disampaikan oleh Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, kepada Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin pada Perasmian Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri. Foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah

Yayasan Bank Rakyat sedia dana RM300,000 biayai yuran kursus INSKEN di Sabah, Sarawak

KUALA PENYU: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan dana sebanyak RM300,000 bagi membiayai yuran usahawan yang menyertai kursus Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, berkata dana terbabit bakal memberi manfaat kepada 1,200 usahawan yang ingin mengikuti program keusahawanan anjuran INSKEN, satu daripada agensi di bawah kementerian.

"Terdapat usahawan yang mempunyai pengetahuan terhad dalam membangunkan strategi perniagaan berkesan untuk bersaing di pasaran.

"Oleh itu, pendekatan pembangunan pengetahuan dan kemahiran usahawan diperlukan bagi menghasilkan perniagaan yang mempunyai daya saing kuat dalam pasaran," katanya ketika berucap pada Perasmian Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Dalam pada itu, Ewon turut berkata, pembiayaan terbabit juga akan memberi peluang dan galakan kepada usahawan di Malaysia Timur untuk menyertai program latihan keusahawanan.

"Yayasan Bank Rakyat akan memberi tajaan sebanyak RM250 bagi setiap peserta yang menyertai program latihan keusahawanan anjuran INSKEN di Sabah dan Sarawak.

"Melalui inisiatif ini, saya berharap agar lebih ramai usahawan informal di Sabah dan Sarawak akan mengambil peluang untuk menimba ilmu keusahawanan bagi memantapkan perniagaan masing-masing," katanya.

Berita Harian X