Jumaat, 3 Mei 2024 | 11:51am
Kawasan tanah dikatakan dibuka bagi penanaman pokok dan sayur berhampiran penempatan penduduk Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang. NSTP/Paya Linda Yahya
Kawasan tanah dikatakan dibuka bagi penanaman pokok dan sayur berhampiran penempatan penduduk Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang. NSTP/Paya Linda Yahya

Punca gajah liar masuk Kampung Mendrod

GUA MUSANG: Lebih 500 penduduk Orang Asli kaum Temiar di Kampung Mendrod, Pos Brooke mendakwa pembukaan tanah untuk pembinaan ladang dan kebun sayur menjadi punca gangguan gajah liar di perkampungan mereka sejak hampir tujuh tahun lalu.

Penduduk mendakwa kemunculan gajah liar itu menyebabkan mereka terputus sumber makanan apabila haiwan liar itu merosakkan tanaman mereka seperti ubi kayu dan pisang.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Mendrod, Sarudin Johari, berkata keadaan itu menyebabkan penduduk berputus asa untuk terus bercucuk tanam.

Katanya, kemunculan gajah terbabit sudah berlarutan sejak tahun 2017 dan masih terdapat empat ekor gajah yang berkeliaran di dalam kawasan kampung.

"Pembukaan kawasan hutan secara berleluasa untuk aktiviti perladangan dan pertanian di kawasan berhampiran kampung dipercayai menyebabkan gajah liar ini mula keluar dan masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan.

"Kami di kampung tanam ubi kayu dan pisang umpama beri gajah makan. Setiap pagi, kebanyakan penduduk takut ke kebun untuk menoreh getah kerana bimbang terserempak haiwan liar ini.

"Setakat ini ada empat ekor gajah liar berkeliaran di kawasan kebun dan kampung sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk Orang Asli," katanya ketika ditemui di Kampung Mendrod, Pos Brooke, di sini, hari ini.

Penduduk, Rama Ajom, 44, pula berkata dia pernah melihat kelibat gajah liar yang berkeliaran berhampiran rumahnya dan merosakkan ubi kayu yang ditanamnya.

"Saya dapat melihat dengan jelas gajah liar itu yang berjalan di tepi rumah dan turut merosakkan ubi kayu dan pisang.

"Kemunculan gajah liar ini membimbangkan kami, terutama pada waktu pagi ketika keluar menoreh getah dan menghantar anak ke sekolah setiap awal pagi.

"Sebelum ini penduduk pernah membuat beberapa laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap masalah ini dapat diselesaikan bagi menjamin keselamatan penduduk kampung," katanya.

Berita Harian X