Rabu, 17 April 2024 | 3:23pm
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau (dua kanan) menyampaikan bantuan awal pengajian Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada penerima di daerah Tuaran. - FOTO IHSAN YAYASAN BANK RAKYAT
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau (dua kanan) menyampaikan bantuan awal pengajian Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada penerima di daerah Tuaran. - FOTO IHSAN YAYASAN BANK RAKYAT

YBR sumbang bantuan awal kepada 60 pelajar kurang mampu

TUARAN: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran memberi bantuan awal pengajian kepada 60 pelajar kurang berkemampuan di daerah itu untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Bantuan kewangan YBR itu diberi kepada penerima layak sebagai sumbangan memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian diperlukan.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, yang menyempurnakan penyerahan bantuan itu, menyifatkannya sebagai inisiatif terbaik dalam membantu membangunkan masyarakat terutama di luar bandar.

"Saya berterima kasih kepada YBR atas bantuan yang diberikan dalam membantu golongan memerlukan di Tuaran untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan membantu kawasan ini dua tahun berturut-turut.

"Saya harap usaha ini dapat dikekalkan kerana masih ramai yang memerlukan bantuan dalam pendidikan, sekali gus dapat mengurangkan bebanan kewangan ditanggung keluarga di luar bandar," katanya di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Bantuan YBR disasarkan kepada kumpulan pelajar dalam kalangan asnaf dan keluarga B40 membabitkan 60 pelajar dari sekitar daerah ini.

Sementara itu, Philip berkata, bantuan tunai diberi YBR adalah inisiatif yayasan berkenaan bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup.

"Bagi meneruskan usaha dalam menyediakan pelajar dan golongan muda akses kepada pendidikan berkualiti, inisiatif ini diharap dapat membantu lebih ramai pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

"Ia juga diharap dapat meniup semangat baharu kepada penerima bantuan untuk mencapai kejayaan dengan lebih cemerlang," katanya.

Katanya, bantuan kepada pelajar luar bandar di daerah itu juga disasar sebagai usaha untuk membantu daerah ini selepas disenaraikan antara sembilan daerah termiskin di Malaysia seperti dilaporkan Kementerian Ekonomi baru-baru ini.

Sepanjang tahun lalu, beliau berkata, seramai 3,580 pelajar menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.29 juta di seluruh negara.

Berita Harian X