Isnin, 8 April 2024 | 7:13pm
Anggota bomba dari BBP Pengkalan Kubor menjalankan operasi pemadaman di tapak pelupusan sampah yang terbakar sejak pagi Jumaat lalu.- Foto NSTP/Ihsan Bomba
Anggota bomba dari BBP Pengkalan Kubor menjalankan operasi pemadaman di tapak pelupusan sampah yang terbakar sejak pagi Jumaat lalu.- Foto NSTP/Ihsan Bomba

Cuaca panas, asap tebal, bau sampah meloyakan, cabaran getir anggota bomba

TUMPAT: Cuaca panas, asap tebal serta bau sampah yang meloyakan tidak menghalang operasi pemadaman pasukan bomba di tapak pelupusan sampah yang terbakar sejak empat hari lalu.

Dalam keadaan berpuasa, penugasan sehari suntuk di tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Bedullah, di sini, dengan mengenakan pakaian khas termasuk topeng muka, tetap dilakukan dengan jaya meskipun tidak dinafikan ia cabaran besar.

Bagi anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Khairul Fais Ariffin, 36, cabaran berpuasa amat dirasakan apabila berada di tengah kawasan pelupusan sampah di bawah panas terik dan bahang api yang masih berbara.

"Kami memulakan tugas jam 9 pagi dan kira-kira lima jam memadamkan kebakaran, kami berhenti seketika sebelum kembali dalam operasi.

"Cabaran memang sangat menguji kerana cuaca panas terik dan bahang api yang terasa sedikit sebanyak mengehadkan penugasan namun, ia bukan halangan untuk kami meneruskan ibadah puasa.

"Selepas tamat operasi harian jam 6 petang, pasukan kami bergerak pulang ke balai dan membersihkan diri selain bersedia untuk berbuka puasa beramai-ramai," katanya.

Mohd Khairul Fais berkata, meskipun sebelum ini pernah bertugas memadamkan kebakaran beberapa hari di tapak pelupusan sampah serta tanah gambut di Bachok, pengalamannya tidak begitu mencabar seperti ini kerana ia berlaku bukan di bulan Ramadan.

Bagaimanapun, katanya berpuasa bukanlah halangan besar, sebaliknya faktor fizikal lain yang menyumbang kepada keupayaan termasuk risiko bau bahan kimia yang dikeluarkan dari sampah sarap yang terbakar.

"Penugasan lima jam di tengah-tengah tapak pelupusan sampah bukan sesuatu yang mudah kerana kami perlu berjalan dalam timbunan sampah sarap yang lembap (bercampur air) selain berdepan asap beracun.

"Bagaimanapun, setakat ini semua anggota yang bertugas masih dalam keadaan baik dan keadaan penugasan juga terkawal namun kami tidak boleh menjangkakan bila operasi pemadaman sepenuhnya berakhir," katanya.

Pagi Jumaat lalu, tapak pelupusan sampah di Kampung Kok Bedullah di sini terbakar dipercayai disebabkan cuaca panas melampau.

Ketua BBP Pengkalan Kubor, Mohd Zamri Omar, berkata, operasi masih berjalan dan memasuki hari keempat dengan sebahagian besar dari keseluruhan keluasan 1.2 hektar sudah dapat dipadamkan.

"Bagaimanapun, kami bimbang ia akan kembali merebak kerana kebelakangan ini angin agak kuat dan ia bercampur dengan cuaca yang panas.

"Selepas operasi pemadaman harian tamat jam 6 petang, beberapa anggota akan kembali ke lokasi untuk meninjau keadaan semasa dan kami jangka akan padam sepenuhnya dalam beberapa hari lagi," katanya.

Berita Harian X