Ahad, 7 April 2024 | 7:01pm
Kelab Penyayang UiTM Shah Alam meraikan pelajarnya serta anak-anak dari Rumah Anak Yatim Damai, Kuang dalam satu majlis berbuka puasa, baru-baru ini. NSTP/Foto Ihsan Kelab Penyayang UiTM Shah Alam
Kelab Penyayang UiTM Shah Alam meraikan pelajarnya serta anak-anak dari Rumah Anak Yatim Damai, Kuang dalam satu majlis berbuka puasa, baru-baru ini. NSTP/Foto Ihsan Kelab Penyayang UiTM Shah Alam
Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan UiTM, Sumardianshah Silah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak dari Rumah Anak Yatim Damai, Kuang. NSTP/Ihsan Ihsan Kelab Penyayang UiTM Shah Alam
Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan UiTM, Sumardianshah Silah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak dari Rumah Anak Yatim Damai, Kuang. NSTP/Ihsan Ihsan Kelab Penyayang UiTM Shah Alam

Kelab Penyayang UiTM rai anak yatim dalam majlis iftar

SHAH ALAM: Sempena Ramadan yang penuh keberkatan, Kelab Penyayang, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam tidak melepaskan peluang meraikan pelajarnya serta anak-anak dari Rumah Anak Yatim Damai, Kuang dalam satu majlis berbuka puasa, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Wanita UiTM (PEWANI), Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM, Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS), Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (DANA KITA) dan Kidz Studios Printing itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan wang tunai dan beg sekolah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi, berkata selain memperoleh keberkatan di bulan Ramadan yang mulia ini, meraikan anak yatim dengan majlis berbuka puasa diharapkan dapat menyuburkan budaya bersyukur dan memberi dalam membantu meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

"Ini juga cara yang terbaik untuk menggalakkan semua untuk menghayati erti kasih sayang dan berkongsi rezeki melalui program kebajikan, selain mereka dapat berbakti kepada komuniti dalam melaksanakan amal kebajikan di bulan Ramadan.

"Kelab Penyayang UiTM ini komited menyokong aktiviti kesukarelawanan dengan menjadikan sebuah rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah warga tua atau rumah kanak-kanak istimewa sebagai rumah angkat yang bertujuan memberi bantuan berterusan secara sukarela kepada penghuni rumah kebajikan berkenaan," katanya.

Ahli Kelab Penyayang, Hafeeza Raihana Hosni, berkata kedatangan Ramadan, bulan mulia penuh keberkatan ini memang sentiasa ditunggu oleh seluruh umat Islam.

"Besar harapan saya dan Kelab Penyayang agar majlis berbuka puasa seperti ini dapat diteruskan dan sumbangan yang diberikan mampu untuk melahirkan senyuman di wajah mereka serta dapat meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Program iftar itu turut diserikan dengan persembahan oleh Kumpulan Nasyid, Soul As Sakinah dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Seksyen 3, Shah Alam.

Sementara itu, Kelab Penyayang UiTM turut melaksanakan pelbagai program bagi mengumpulkan sumbangan seperti larian amal, karnival keusahawanan dan aktiviti senamrobik.

Berita Harian X