Ahad, 7 April 2024 | 1:54pm
Anak-anak yatim Dar Asnaf Al Fateeh bergambar kenangan pada majlis berbuka puasa di The Base, Subang Jaya malam tadi. - Foto SAR
Anak-anak yatim Dar Asnaf Al Fateeh bergambar kenangan pada majlis berbuka puasa di The Base, Subang Jaya malam tadi. - Foto SAR
Anak-anak yatim Dar Asnaf Al Fateeh diberi peluang melawat Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM Subang petang semalam. - Foto SAR
Anak-anak yatim Dar Asnaf Al Fateeh diberi peluang melawat Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM Subang petang semalam. - Foto SAR

20 anak yatim dirai majlis berbuka puasa, lawat pangkalan udara bomba

SUBANG JAYA: Seramai 20 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Dar Asnaf Al Fateeh Ulu Yam, Batang Kali di Selangor diraikan pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di The Base, SS 19 semalam.

Pengasas rumah anak yatim tersebut, Mohd Fazzil Che Lah berkata, pihaknya berterima kasih kepada penyumbang yang sudi meraikan 20 anak yatim dari rumah tersebut.

"Program seperti ini amat baik terutama dalam bulan Ramadan ini dan kami juga sangat berterima kasih pada semua pihak yang sudi membawa anak-anak yatim ini untuk berbuka bersama-sama.

"Saya lihat rata-rata anak yatim ini begitu teruja terutama apabila berpeluang melihat sendiri jentera udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika melawat Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM tadi," katanya pada majlis itu.

Majlis anjuran Summit Attack Resources (SAR) dan Kelab Kembara Kosmopolitan (Kembara) itu ditaja oleh Dialisis Mukmin dan Baqara Fine Meat.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan BG Capital Holdings.

Semua anak yatim dibawa melawat ke Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM di Subang sebelum sama-sama menyertai majlis bacaan Yasin dan Tahlil sebelum berbuka puasa.

Sementara itu, Pengarah SAR, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, program tahunan yang diadakan itu adalah bertujuan menyantuni anak yatim dan berkongsi rezeki bersama mereka.

Pihaknya turut berharap program seumpama itu dapat menyuburkan lagi perasaan bersyukur dan berkongsi terutama dengan golongan kurang bernasib baik ini.

"Kita bercadang untuk menyantuni lebih ramai lagi golongan kurang berkemampuan pada masa akan datang.

"Kami turut berbesar hati apabila program ini turut mendapat tajaan serta kerjasama daripada rakan strategik serta para sukarelawan serta dermawan," katanya.

Berita Harian X