Khamis, 4 April 2024 | 8:52am
Kakitangan sekolah SK Limau Kasturi 1, Gua Musang, memasang pelita, meraikan malam tujuh likur di sekolah itu, semalam. NSTP/Paya Linda Yahya
Kakitangan sekolah SK Limau Kasturi 1, Gua Musang, memasang pelita, meraikan malam tujuh likur di sekolah itu, semalam. NSTP/Paya Linda Yahya

Malam tujuh likur, SK Limau Kasturi 1 hias sekolah dengan 100 pelita

GUA MUSANG: Bagi menggamit kembali memori malam tujuh likur, lebih 100 pelita dipasang di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1, di sini, semalam.

Inisiatif memasang pelita dan lampu hiasan di sekitar sekolah itu disempurnakan hasil kerjasama guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa.

Guru Besar SK Limau Kasturi 1, Noorzilawati Ab Rahim, berkata sambutan malam tujuh likur menjadi acara tahunan sekolah terbabit untuk meraikan guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa, selain murid sekolah terbabit.

Katanya, sambutan lebih meriah tahun ini apabila mereka bekerjasama memasang lebih 100 pelita, selain lampu hiasan untuk menerangi kawasan sekolah.

"Sudah pasti malam ini kita juga meraikan murid-murid sekolah ini, terutama murid yang tinggal di asrama dan tidak dapat bersama keluarga mereka.

"Program macam ini sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran kepada anak-anak yang sambutan malam tujuh likur sangat meriah suatu ketika dulu.

"Kalau dulu malam tujuh likur disambut meriah dengan pemasangan pelita di sekeliling rumah, kini ia sangat jarang dibuat," katanya ketika ditemui di SK Limau Kasturi 1, di sini, semalam.

Guru, Khairuddin Othman, 35, berkata aktiviti memasang pelita dan menghias dewan itu dilakukan dengan kerjasama 30 guru lelaki dan penduduk kampung.

"Aktiviti memasang pelita dan menghias dewan sekolah ini juga secara tidak langsung mengeratkan silaturahim sesama kami dan komuniti di sini," katanya.

Berita Harian X