Khamis, 4 April 2024 | 8:22am
Suriani Saad, 64, (kanan) bersama rakan-rakan menyambut Aidilfitri di Pondok Tahfiz Darul Naim sejak 12 tahun lalu. NSTP/Nor Fazlina Abdul Rahim
Suriani Saad, 64, (kanan) bersama rakan-rakan menyambut Aidilfitri di Pondok Tahfiz Darul Naim sejak 12 tahun lalu. NSTP/Nor Fazlina Abdul Rahim

12 tahun sambut Aidilfitri di pondok

KOTA BHARU: Tatkala mereka yang lain bersama keluarga masing-masing setiap kali menyambut hari raya, berbeza dengan seorang warga emas yang sudah sebati menyambut Aidilfitri dalam keadaan sederhana di Pondok Tahfiz Darul Naim, Padang Kala, di sini, sejak 12 tahun lalu.

Suriani Saad, 64, menyifatkan pada awalnya ketika mula-mula tinggal di pondok berkenaan, dia mengakui agak sedih setiap kali menjelang hari raya.

Namun, selepas beberapa tahun berlalu, dia sudah dapat menerima keadaan itu dan rakan-rakan sudah dianggap keluarga sendiri memandangkan dalam hidupnya dia hanya mempunyai seorang abang yang berada di Thailand.

"Ketika mengambil keputusan untuk tinggal di pondok 12 tahun lalu, memang saya akui setiap kali Aidilfitri, saya menangis sedih memandangkan ramai rakan yang lain pulang beraya dan hanya tinggal beberapa orang sahaja.

"Namun kini saya sudah dapat menerima keadaan itu dan setiap tahun saya hanya menyambut Aidilfitri secara sederhana. Ada juga orang luar datang memberi juadah raya kepada saya.

"Ada kalanya anak saudara angkat akan datang menyambut Aidilfitri memandangkan mereka sedar saya keseorangan," katanya ketika ditemui di Masjid Imanul Fa'izin, di sini.

Suriani berkata, sebelum ini dia berniaga kedai makan dengan adik angkatnya dan tinggal di Kampung Seberang Salor sebelum berhenti dan mengambil keputusan tinggal di pondok.

"Saya juga mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan selain ramai yang datang ke pondok menghulurkan bantuan.

"Alhamdulillah walaupun tidak berkeluarga sebagaimana orang lain, saya bahagia dengan cara saya dan setiap hari saya belajar mengaji dan sebagainya. Rakan-rakan di pondok juga sangat baik dan saya anggap mereka seperti adik beradik," katanya.

Terdahulu, Suriani antara 1,500 penerima yang menerima bantuan agihan zakat anjuran RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) bersama Noir Health & Beauty Sdn Bhd (Noir).

Pengerusi RichWorks, Datuk Dr Azizan Osman, berkata Program Kongsi Rezeki Sebar Bahagia itu membabitkan 15 keluarga asnaf dengan setiap keluarga menerima 10 kilogram beras.

"Sebanyak 3,000 kampit beras disediakan hari ini dan kita berharap sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban penerima," katanya.

Berita Harian X