Sabtu, 30 March 2024 | 12:08pm
Ibrahim (kiri) menyampaikan zakat kepada sebahagian penerima ketika ditemui di Majlis Pemberian Zakat dan Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Kariah di Masjid Imanul Fai’zin, Kampung Padang Kala. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ibrahim (kiri) menyampaikan zakat kepada sebahagian penerima ketika ditemui di Majlis Pemberian Zakat dan Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Kariah di Masjid Imanul Fai’zin, Kampung Padang Kala. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Andalusia Travel tawar pakej umrah percuma 200 anak muda

KOTA BHARU: Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) menawarkan pakej umrah percuma kepada 200 anak muda yang masih bujang dengan syarat menghadiri solat jemaah tanpa gagal selama sebulan di

Masjid Imanul Fai'zin, Kampung Padang Kala, di sini.

Pengarah Urusannya, Ibrahim Mat Sin, berkata tawaran berkenaan terbuka kepada semua anak muda seluruh Kelantan tetapi perlu berjemaah di masjid terbabit dan pemilihan akan dimulakan selepas Ramadan nanti.

Katanya, penyertaan terbuka kepada mereka yang berusia 20 hingga 35 tahun yang mana wajib hadir untuk solat Subuh, Maghrib dan Isyak selain akan disediakan 'punchcard, sebagai bukti kehadiran.

"Pihak pengurusan memilih tiga waktu solat ini kerana faham akan situasi peserta yang mungkin tidak sempat untuk ke masjid atas urusan kerja dan sebagainya. Tetapi biasanya tiga waktu ini adalah masa lapang yang membolehkan mereka berjemaah.

"Sebelum ini Andalusia Travel sudah menjalankan program sebegini dengan membawa kumpulan asnaf ke Tanah Suci, tetapi kali ini kita memfokuskan kepada golongan muda.

"Saya yakin ia akan mendapat sambutan dan secara tidak langsung objektif kita untuk menggalakkan anak muda ke Rumah Allah akan dapat direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada siding media selepas Majlis Pemberian Zakat dan Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Kariah di Masjid Imanul Fai'zin, Kampung Padang Kala, di sini, malam kelmarin.

Terdahulu, Andalusia Travel menyampaikan sumbangan zakat kepada 200 penerima dan mengadakan majlis berbuka puasa kepada 3,000 jemaaah membabitkan peruntukan hampir RM100,000 di masjid berkenaan.

Ibrahim berkata, penerima zakat adalah dalam kalangan pelajar pendidikan khas, anak tahfiz dan keluarga asnaf dari kawasan sekitar yang berkelayakan.

"Pembahagian zakat serta majlis berbuka menjadi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya setiap tahun pada Ramadan membabitkan lokasi di seluruh negara.

"Bagaimanapun, program hari ini (malam kelmarin) lebih istimewa apabila kali pertama diadakan di Masjid Imanul Fai'zin yang juga di bawah kelolaan Andalusia Travel. Umum mengetahui, masjid ini juga kini semakin dikenali ramai walaupun ia baru dibuka kepada umum.

"Besar harapan kami agar pembahagian zakat ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan serta boleh digunakan untuk perbelanjaan sepanjang puasa atau sebagai persediaan di Hari Raya," katanya.

Katanya, setiap tahun Andalusia Travel mengeluarkan zakat bernilai lebih RM3 juta hasil perniagaan yang dijalankan pihaknya.

Berita Harian X