Selasa, 26 March 2024 | 1:42pm
Dua kanopi besar menempatkan lapan peniaga di bazar Ramadan Teluk Renjuna yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa untuk pelanggan. NSTP/Siti Rohana Idris
Dua kanopi besar menempatkan lapan peniaga di bazar Ramadan Teluk Renjuna yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa untuk pelanggan. NSTP/Siti Rohana Idris

Bazar Ramadan Teluk Renjuna beri kemudahan kepada penduduk gugusan pulau

TUMPAT: Kewujudan bazar Ramadan di Kampung Teluk Renjuna, di sini, memudahkan penduduk di gugusan pulau, delta Sungai Kelantan, di sini mendapatkan juadah berbuka puasa.

Meskipun hanya lapan peniaga yang berniaga, bazar itu yang baru diwujudkan tahun ini berjaya mengurangkan kesukaran lebih 2,000 penduduk di beberapa kampung sekitar, antaranya Kampung Pulau Beluru, Pulau Cendol, Pulau Suri dan Pantai Haji Nik Mat untuk ke tanah besar bagi mendapatkan juadah berbuka puasa.

Pembukaan bazar Ramadan Teluk Renjuna di pinggir sungai itu adalah inisiatif pengurusan masjid kampung terbabit yang memberi kemudahan penduduk kampung itu, termasuk sekitarnya untuk mendapatkan pelbagai jenis makanan selain membolehkan penduduk menjana ekonomi.

Bagi penduduk Kampung Pulau Beluru, Nor Syarifah Eleana Che Ismail, 19, kewujudan bazar Ramadan yang terletak bersebelahan kampungnya itu sangat baik kerana penduduk sudah tidak perlu menaiki bot penambang ke tanah besar semata-mata untuk membeli juadah berbuka puasa.

"Jika sebelum ini kami menaiki bot sama ada menghala ke Tumpat atau Kuala Besar (Kota Bharu) untuk ke bazar Ramadan di sana dan perjalanannya agak mengambil masa.

"Apabila sudah ada bazar Ramadan di Kampung Teluk Renjuna, sangat memudahkan orang kampung walaupun tidak besar dan juadahnya tidak sebanyak di bazar lain," katanya.

Dia berkata, sebelum ini penduduk perlu keluar sendiri ke tanah besar atau menunggu penjaja datang menjaja dengan motosikal untuk membeli juadah berbuka puasa.

Seawal jam 2.30 petang lagi rata-rata peniaga akan tiba di jeti dengan menaiki pengangkutan utama iaitu bot atau perahu masing-masing sambil membawakan perkakas serta barang jualan mereka.

Bagi peniaga aneka lauk pauk, Norzilawati Yaacob, 37, pula, dia menghasilkan lebih 10 jenis lauk setiap hari untuk dijual di bazar Ramadan itu dan seawal jam 2 petang sudah tiba di jeti dengan dibantu seorang pekerja.

Katanya, walaupun sambutan tidak semeriah bazar Ramadan di tanah besar, sekurang-kurangnya mereka boleh menyediakan juadah untuk penduduk kampung dan kerap juga bersedekah.

"Menjelang jam 6.30 petang, bazar Ramadan di sini sudah tiada pembeli dan sebelum kami beransur pulang, segala lauk pauk yang tidak habis dijual akan disedekahkan kepada orang kampung.

"Tidak hanya penduduk di gugusan pulau, ada juga pembeli yang datang dari tanah besar semata-mata untuk merasai sendiri pengalaman menaiki bot sambil melihat juadah yang dijual di bazar Ramadan ini," katanya yang tinggal di Kampung Pantai Haji Nik Mat.

Bagi peniaga air balang pula, Mohd Noor Ibrahim, 46, dia menyediakan sekurang-kurangnya tiga jenis air setiap hari di bazar Ramadan itu dan dijual pada harga RM3 setiap satu.

Dia berkata, rata-rata penduduk di gugusan pulau juga berniaga di Pasar Terapung Sri Tanjung dan sepanjang Ramadan, pasar yang dibuka setiap Jumaat dan Sabtu itu ditutup.

"Jika sebelum ini setiap kali Ramadan, kami pun turut 'bercuti' dari berniaga kerana pasar terapung (Sri Tanjung) ditutup tapi apabila ada bazar Ramadan Teluk Renjuna, kami masih boleh menjana pendapatan," katanya.

Berita Harian X