Isnin, 25 March 2024 | 12:19pm
Ibu tunggal, Surian Zakaria, 28, (tudung hijau) menerima sumbangan beras, gula dan ayam mentah daripada wakil KRT Kajang Sebidang/Teluk Jering ketika program Lambaian Ramadan di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat. NSTP/Siti Rohana Idris
Ibu tunggal, Surian Zakaria, 28, (tudung hijau) menerima sumbangan beras, gula dan ayam mentah daripada wakil KRT Kajang Sebidang/Teluk Jering ketika program Lambaian Ramadan di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat. NSTP/Siti Rohana Idris

Berbuka puasa lauk ayam boleh dihitung dengan jari

TUMPAT: "Jika sebelum ini lauk berbuka puasa hanya ikan goreng atau telur, hari ini dapatlah keluarga berbuka puasa berlaukkan ayam. Alhamdulillah," kata Suriani Zakaria.

Ibu tunggal berusia 28 tahun itu berkata, sepanjang puasa, boleh dihitung dengan jari berapa kali dia dan dua anak berbuka puasa berlaukkan ayam dan itu pun disedekahkan oleh ahli keluarga lain atau individu yang dermawan.

"Kadang-kadang ibu saudara atau emak yang menetap di rumah berasingan datang menziarahi kami dan menghulurkan lauk untuk berbuka puasa.

"Jika tidak, memadailah sekadar ikan atau telur goreng buat juadah saya dan dua anak yang berusia lima serta sembilan tahun," katanya yang kematian suami sejak dua tahun lalu.

Suriani berkata, pada hari biasa dia bekerja di gerai mi udang berhampiran rumahnya di Kampung Kajang Sebidang, di sini dengan upah sekitar RM25 hingga RM30 sehari, namun premis itu bercuti sepanjang Ramadan menyebabkan dia terputus sumber pendapatan.

Katanya, mereka hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima dua anaknya di bawah skim Bantuan Kanak-kanak berjumlah RM150 seorang.

"Persediaan raya langsung tidak difikirkan lagi kerana yang penting bagi kami adalah keperluan harian, terutama menyediakan menu berbuka puasa dan sahur untuk kami tiga beranak," katanya.

Suriani adalah antara 100 asnaf yang menerima bantuan makanan iaitu beras, gula dan ayam mentah sempena program Lambaian Ramadan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mukim Kajang Sebidang/Teluk Jering.

Pengerusi KRT terbabit, Mohamad Raduan Mohamad, berkata asnaf yang terpilih membabitkan empat kampung iaitu Kampung Kajang Sebidang, Palas Merah, Bendang Pak Yong serta Teluk Jering.

"Kita mendapat dana dari dermawan sudi membantu asnaf ini dalam bentuk makanan dan lauk iaitu ayam mentah kerana berasakan masih ramai asnaf yang tidak mampu membeli ayam walaupun harganya tidak seberapa bagi mereka yang berada.

"Insya-Allah selepas ini kami akan teruskan dengan bantuan menjelang Aidilfitri pula dan diharap lebih ramai penderma dapat menghulurkan sumbangan," katanya.

Berita Harian X