Sabtu, 16 March 2024 | 9:20am
Kakitangan WTCKL bersama anak yatim dan asnaf dari Rumah Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah yang diraikan dalam Majlis Iftar, malam tadi. NSTP/Ercy Gracella Ajos
Kakitangan WTCKL bersama anak yatim dan asnaf dari Rumah Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah yang diraikan dalam Majlis Iftar, malam tadi. NSTP/Ercy Gracella Ajos

40 anak yatim, asnaf dirai dalam Majlis Iftar kakitangan WTCKL

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) meraikan seramai 40 anak yatim dan asnaf dari Rumah Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah dalam Majlis Iftar kakitangan WTCKL, di sini, malam tadi.

Selain berbuka puasa bersama, warga kerja WTCKL terdiri daripada pihak pengurusan dan ketua unit di setiap jabatan turut menyampaikan sumbangan berbentuk 'goodies' dan duit raya kepada golongan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Mohd Yusri Mohd Junos, berkata inisiatif itu adalah tanggungjawab sosial korporat WTCKL bagi menyumbang dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

"Kita menyambut baik inisiatif penganjuran majlis ini kerana ia memberi impak positif, terutama kepada kakitangan kami dan komuniti setempat. WTCKL komited menyokong anak-anak kecil ini dan melakar pengalaman indah bagi mereka serta guru.

"Saya berharap program ini akan menjadi tradisi dalam mengeratkan hubungan WTCKL dengan rumah kebajikan yang lain pada tahun akan datang," katanya kepada media pada Majlis Iftar Kakitangan WTCKL bertemakan 'Selera Warisan Kampung'.

Turut hadir, Pengurus Komunikasi Pemasaran WTCKL, Hadi Wahab.

Selain anak yatim dan asnaf berusia tujuh hingga 17 tahun dirai, empat penjaga daripada Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah turut serta dalam Majlis Iftar itu.

Dalam pada itu, Yusri berharap dengan sokongan semua pihak, ia dapat membantu golongan memerlukan khususnya anak-anak yang dirai dalam aspek pembelajaran supaya menjadi insan yang dapat bergelar pemimpin pada masa hadapan.

Sementara itu, Hadi berkata, bagi mengelak pembaziran dan pembuangan makanan yang sangat tinggi, terutama di hotel dan restoran pada setiap kali sambutan puasa dan musim perayaan, WTCKL komited untuk meneruskan program 'Lets Tapau'.

Melalui kempen ini, katanya, pengunjung yang datang berbuka puasa di restorannya dibenarkan membawa pulang lebihan makanan bufet yang disediakan sepanjang Ramadan.

"Konsep ini adalah antara usaha WTCKL dalam menyokong kempen hijau.

"Justeru, bagi memudahkan pembungkusan makanan, pengunjung boleh beli mangkuk tingkat bercirikan mesra alam dengan harga RM59 untuk saiz kecil manakala RM79 saiz besar.

"Pengunjung boleh membungkus makanan selepas jam 9.30 malam," katanya.

Dalam pada itu, Hadi berkata, sehingga kini lebih 300 mangkuk tingkat bersaiz kecil dijual bagi tempoh tiga tahun manakala untuk saiz besar pula, lebih 200 terjual sejak diperkenalkan pada tahun 2022.

"Bagi tahun ini, kita perkenal tiga jenis mangkuk tingkat dengan corak eksklusif termasuk siri generik, Ramadan dan batik," katanya.

`Selera Warisan Kampung' adalah sajian Bufet Ramadan dibawakan oleh WTCKL yang disediakan oleh Kafe dan Restoran RiverSide, menampilkan lebih 300 hidangan segar yang disajikan setiap hari.

Orang ramai boleh menikmatinya sepanjang Ramadan, bermula 13 Mac sehingga 8 April 2023. Tempahan boleh dibuat di pautan https://riverside.wtckl.com.

Berita Harian X